Saya mendaftar diri di studio Nuewave Music Entertainment agak awal berbanding jadual sangkutan latihan industri kerana perpindahan mengejut daripada syarikat sebelumnya.
Walaupun hari pertama mendaftar sebagai pelajar latihan industri, saya berasa tidak janggal kerana saya mempunyai rekod bekerja bersama syarikat Nuewave Music Entertainment terutamanya dalam urusan songwriting dan publishing lagu. Bahkan, kebanyakan daripada karya ciptaan saya adalah berdaftar di bawah publishing Nuewave Music Entertainment sendiri. Disebabkan hubungan kerja kami, saya agak rapat dengan penyelia saya, encik Shafiqal Farith yang merupakan Pengurus Sumber Manusia dan juga co-producer untuk syarikat ini.
Minggu pertama boleh dikatakan agak sibuk kerana encik Shafiqal pada mulanya mencadangkan saya untuk membuat kertas kerja kepada Lofy Café atas tujuan cadangan pelancaran muzik video bagi lagu Kaefina, 3 a.m.; lagu saya yang berdaftar di bawah publishing syarikat mereka. Beliau mencadangkan agar kami membuat pelancaran muzik video kerana melihat kepada potensi lagu dan juga muzik video yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Dengan bimbingan beliau, saya telah menyiapkan kertas kerja untuk dihantar kepada pihak Lofy Café dan mereka bersetuju untuk mengadakan majlis pelancaran muzik video di kedai mereka pada 4 Februari 2023.
Secara jujurnya, semuanya berlaku terlalu cepat dan team Nuewave Music Entertainment telah bercadang untuk berangkat ke Kunak, Sabah pada 27 Januari. Sebelum terbang ke Sabah, saya menggunakan masa yang tersisa untuk menyiapkan lagu Kaefina, 3 a.m. di mana saya telah bekerjasama dengan penerbit muzik syarikat, encik Baitisan untuk menggubah semula instrumental lagu tersebut (remake beat) dan juga menyiapkan mixing dan mastering.
Setibanya di Kunak pada 28 Januari, saya diberi kebebasan untuk bermalam di rumah sahaja kerana lokasi rumah saya agak berdekatan dengan Lofy Café. Selama beberapa hari, kami telah membuat persiapan untuk majlis pelancaran muzik video yang bakal berlangsung pada 4 Februari, 8:30 malam. Kami telah melakukan raptai untuk persembahan akustik, sesi uji bunyi (sound check), menyusun atur kedudukan meja dan kerusi untuk para pelanggan dan banyak lagi.
Pada 4 Februari, bermula dari pukul 8 malam sehingga sekitar pukul 11 malam, Alhamdulillah Majlis Pelancaran Muzik Video Kaefina, 3 a.m. berjalan dengan lancar berkat kerjasama pihak Nuewave Music Entertainment dengan pihak Lofy Café. Sambutan daripada warga Kunak juga amat menggalakkan walaupun dengan ruang kedai yang kecil, sehingga ada pengunjung yang terpaksa duduk di luar kedai.
Secara peribadinya, saya berasa amat bersyukur, gembira dan berbesar hati kerana karya seni saya sendiri disambut oleh orang "kampung" meskipun secara sederhana. Malam itu amat istimewa bagi saya kerana merupakan kemuncak kepada usaha saya sendiri dalam menyiapkan lagu Kaefina, 3 a.m. bermula dari proses pembuatan lagu dan penggambaran muzik video yang telah pun berjalan seawal tahun 2022 lagi. Saya berasa amat berterima kasih kepada pihak Nuewave Music Entertainment dan juga Lofy Café atas peluang yang diberikan.
Pada minggu kedua pula, saya lebih banyak melakukan kerja dari rumah sahaja (WFH). Antara tugasan yang diberikan oleh saya adalah melakukan aktiviti promosi susulan pelancaran muzik video Kaefina, 3 a.m. Saya telah menyunting beberapa klip daripada muzik video tersebut untuk dijadikan posting content ke laman media sosial Nuewave Music Entertainment dan juga akaun peribadi saya seperti TikTok dan Instagram. Saya menggunakan perisian suntingan video yang bernama Filmora di laptop saya. Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk melakukan paid promotion menggunakan bajet yang disediakan di aplikasi TikTok agar mendapat capaian yang tinggi dari segi views dan likes.
Saya bersama team Nuewave Music Entertainment masih lagi berada di Kunak, Sabah bagi menjalankan promosi muzik video Kaefina, 3 a.m. Pada masa yang sama, kami turut melakukan rondaan sekitar Kunak mencari lokasi yang sesuai dan strategik untuk menjalankan aktiviti penggambaran bagi lagu-lagu yang akan datang. Ini kerana pekan Kunak merupakan sebuah pekan terpencil yang agak unik dan mempunyai banyak tempat menarik untuk penggambaran terutamanya bagi lagu-lagu yang bertemakan hiphop dan RnB.
Kami juga sempat melakukan perbincangan dengan beberapa kedai yang terdapat di sana atas tujuan sponsorship dan kolaborasi. Antaranya ialah Persatuan Kebudayaan Kunak Sabah. Sebenarnya, kami dikira agak bertuah kerana pengurus kepada Persatuan Kebudayaan Kunak Sabah, Puan Fina telah menghadiri Majlis Pelancaran Muzik Video Kaefina, 3 a.m. Beliau telah berbincang dengan encik Shafiqal untuk potensi syarikat kami membuatkan lagu rasmi Persatuan Kebudayaan Kunak Sabah. Secara lisan, pihak kami bersetuju untuk berkolaborasi dan bercadang untuk mengerjakan lagu tersebut sebaik sahaja kembali ke studio kami di Kajang.
Pada 22 Februari, saya sudah pun bergerak balik ke Kajang dan melapor diri semula di studio pada 23 Februari.
Pada minggu ini, kami sedang dalam proses mencari projek seterusnya untuk dijadikan lagu "selingan" setelah Kaefina, 3 a.m. Saya diarahkan oleh encik Shafiqal untuk membuat lagu yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat sekarang. Saya telah memainkan beliau beberapa demo lagu yang saya telah rakam pada tahun lepas. Encik Shafiqal menyukai demo lagu rap yang berjudul "PALA BANA"; sebuah slanga yang sering digunakan untuk menyindir orang yang dituju. Pada awalnya, saya membuat lagu tersebut untuk menggambarkan situasi toksik di tempat kerja. Beliau berminat dengan konsep yang saya cuba sampaikan dan mengarahkan saya untuk menyiapkan lagu tersebut untuk di-upload ke channel Youtube sebagai projek "selingan".
Pada mulanya, saya berasa agak risau kerana lagu tersebut merupakan lagu rap underground yang mempunyai bahasa yang agak kasar dan tidak berlapis. Namun beliau meyakinkan saya bahawa elemen "kasar" atau "rawness" yang terdapat dalam lagu ini akan mampu menarik pendengar-pendengar yang mengalami situasi yang sama di tempat kerja.
Saya mempercayai keputusan beliau dan akhirnya mengerjakan lagu ini. Oleh kerana demo lagu PALA BANA sudah pun siap secara kasarnya, saya cuma perlu melakukan beberapa final touch-up kepada lagu ini dan mengambil masa cuma seminggu untuk menyiapkan keseluruhan lagu tersebut. Ini termasuklah proses rakaman vokal, penulisan lirik, mixing, mastering dan juga penyuntingan visual untuk lyrics video.
Minggu ini saya lebih banyak melakukan persiapan untuk pengeluaran Lagu PALA BANA pada malam Jumaat di channel Youtube rasmi Rozarchy. Minggu ini juga diisi dengan aktiviti promosi dan pemasaran lagu tersebut di media sosial seperti Instagram dan TikTok.
Pada minggu ini juga, saya telah diarahkan oleh encik Shafiqal untuk membuat remix freeverse bagi lagu "Sengkek" oleh Yonnyboii, penyanyi terkenal tempatan. Remix freeverse adalah sebuah budaya hiphop di mana rapper atau penyanyi menggunakan instrumental daripada lagu-lagu tertentu untuk menulis dan menyanyikan verse (rangkap) mereka sendiri. Tujuan saya diarahkan melakukan freeverse ini adalah untuk menaikkan views sekali gus menjadi promosi kepada lagu PALA BANA kerana Yonnyboii telah membuat pertandingan open-verse challenge yang sedang tular di TikTok pada waktu dengan tanda pagar #sengkekfreeversechallenge.
Secara keseluruhannya, 5 minggu pertama saya berada di syarikat Nuewave Music Entertainment adalah agak sibuk dan mengejut terutamanya dengan perpindahan mengejut saya daripada syarikat sebelumnya dan juga Majlis Pelancaran Muzik Video Kaefina, 3 a.m. yang agak tergesa-gesa. Walau bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur kerana pengalaman bekerja dengan pihak Nuewave Music Entertainment sebelum ini membuatkan saya berasa lebih selesa dan rapat untuk bekerja bersama dengan team mereka, terutamanya bersama dengan encik Shafiqal sendiri.