PASCA DEBAT CALON PRESIDEN KMUM: PERTEMBUNGAN 5 PENJURU PRK UM 2025
Semalam aku singgah dengar Debat Calon Presiden KMUM yang menampilkan 5 wakil dari front-front mahasiswa yang bertanding dalam Pilihanraya Kampus UM 2025 kalini.
Saban tahun Debat Manifesto ni buat di auditorium KPS. Tapi tahun ni dianjurkan di Akademi Pengajian Islam (API), 'lubuk' Neo-Siswa. Imam Musolla APIUM punya excited nak dengar manifesto sampai solat Isyak pun bantai jadi 5 rakaat. Hahaha.
Aku huraikan setiap isu dari setiap front dan rumuskan dalam bentuk point untuk korang mudah faham.
SUARA SISWA UM (SS)
• Front ni diwakili oleh Abishek Prasad di pentas debat. Bagi aku, pusingan pertama yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memperkenalkan manifesto tidak dimaksimumkan sebaiknya. Abishek try hard sungguh nak highlight Suara Siswa sebagai serpihan Pro-M yang meneruskan agenda pro-mahasiswa di UM seolah-olah SS je pecahan Pro-M padahal Neo-Siswa pun berasal dari DNA yang sama. Bukan pentasnya untuk dia berbicara soal sejarah gerakan mahasiswa di UM dengan masa yang amat terhad. Benda tu semua orang boleh Google & cari di ChatGPT. Sayang, peluang disia-siakan sebegitu.
• Kabinet Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) sesi sebelum ini dianggotai oleh Suara Siswa dan UMANY. Terlalu banyak rungutan dan kritikan dari mahasiswa tentang pengurusan gerak kerja mereka yang teruk. Apatah lagi bilamana ada isu besar yang terpalit kepada Abqori, mantan Presiden KMUM dari Suara Siswa. Aku tak berhajat nak ulas isu tu, korang boleh cari sendiri. Ahli-ahli eksekutif yang lain seperti Aiman Izzat pun ada complain tentang ruang yang ditadbir KMUM di Kompleks Perdana Siswa (KPS) pun tidak dijaga kebersihannya serta ahli-ahli eksekutif KMUM yang lain (baca: pembangkang) tidak dilibatkan pun dalam sebarang mesyuarat KMUM untuk menetapkan sebarang polisi, move dan kenyataan media.
• Terselak pekung apabila Suara Siswa sebenarnya meminjam wang UMANY sebanyak RM3,000 lebih dan masih belum melangsaikan hutang mereka hingga kini. Sesi soaljawab panas seketika bila 'isu dalam kain' SS-UMANY ini dibongkar di pentas debat. Tapi itulah, mahasiswa tak berminat pun nak tahu isu rumahtangga korang. Satu puak liat nak bayar hutang, satu puak lagi otak bisnes sungguh, tiru China buat perangkap hutang untuk cengkam pihak lain. Banyak juga duit UMANY ya, dapat dana dari mana tu?
• Bagi aku, kini Suara Siswa tak sekuat seperti dahulu. Kalau tahun 2019, adanya UMANY, Angkatan Mahasiswa dan Demokrat UM menjadikan Suara Siswa tidak mudah dicabar. Namun, kini masing-masing membawa haluan sendiri. Angkatan Mahasiswa telah dibubarkan. UMANY bertanding secara solo. Manakala pecahan UMANY, NewGen berkolaborasi bersama Demokrat UM membentuk pakatan. Tiada lagi sosok seperti Akmal Hazieq yang berupaya menjadi penyeimbang antara front-front ini.
• Bila ditanya oleh moderator pada akhir sesi debat, dengan siapakah Suara Siswa nak bergabung jika diberi mandat, jawab Abishek, "Kami akan kekal sebagai pembangkang." Ayat itu jelas menunjukkan Suara Siswa perlu direjuvenasi dan bermuhasabah kembali atas kegagalan mereka dalam memikul amanah yang diberi mahasiswa Universiti Malaya. Benarlah sifat gila kuasa akhirnya memakan diri.
NEWGEN x DEMOKRAT UM
• NewGen antara front yang baru juga tertubuh. Seingat aku 1-2 tahun yang lalu. Dengar cerita, mereka ini merupakan generasi yang rebel terhadap pembawaan UMANY yang agak ekstrim. Justeru, NewGen tampil di hadapan mahasiswa untuk mempersembahkan naratif pro-mahasiswa yang segar dan baharu. Namun, takda apa pun pembaharuan sebenarnya, lebih kepada 'taqlid' gerakan-gerakan mahasiswa yang sedia ada. Logo pun tak jauh beza dengan abangnya UMANY, tulisan Mandarin masih menghiasi ruang simbol perjuangan.
• Chong Zhi Xiang, calon Presiden KMUM dari NewGen-Demokrat menjelaskan bahawa mereka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi menubuhkan kabinet KMUM tapi ada 2 syarat:
1. Parti tu kena pro-mahasiswa.
2. Bukan parti ekstrimis.
Bila dia sebut begitu, nampak sangat ia ditujukan kepada UMANY yang sinonim dengan pembawaan imej yang kontroversi dan radikal.
NEO-SISWA
• Kalau sebelum ni Neo terpaksa berkongsi warna biru dengan Angkatan, namun sekarang mereka dengan bangganya menobatkan warna biru sebagai satu-satunya warna front mahasiswa di UM. Neo-Siswa, antara serpihan Pro-M yang diasaskan pada tahun 2016 dan tahun ini menjangkau usia hampir 1 dekad. Mereka antara parti senior di Universiti Malaya. Neo-Siswa tidak pernah dikalahkan di kerusi Akademi Pengajian Islam (API), dan mereka pernah menembusi kerusi fakulti seperti Fakulti Pendidikan, Pusat Sukan dan Fakulti Sains serta kerusi umum pada PRK lepas.
• Neo-Siswa diwakili oleh Aiman Izzat di pentas debat. Walaupun mereka tak berjaya membentuk kabinet KMUM sesi lalu bersama-sama Mahasiswa Progresif, mereka tetap bekerja & menabur khidmat, membantu mahasiswa dalam skop mereka yang terhad sebagai ahli eksekutif KMUM yang dipinggirkan. Buktinya, kad-kad laporan yang dikeluarkan mereka menunjukkan manifesto yang dijanjikan sebelum-sebelum ini ditunaikan. Misalnya, 60 inisiatif telah sukses dicapai di API oleh sekretariat KMUM API. Track record padu seperti ini jarang 'dijual' front-front lain.
• Namun, masalah yang menimpa Neo-Siswa saban tahun ialah ketandusan calon-calon selain dari Melayu & Islam. Inklusiviti yang dibawa tidak mencerminkan realiti. Dalam hal ini, ia sebenarnya menjadi cabaran besar buat Neo untuk mengaut undi dari rakan-rakan mahasiswa yang berlainan bangsa dan agama. Walaupun banyak inisiatif yang dilaksanakan Neo-Siswa untuk menonjolkan sisi inklusif seperti sambutan hari-hari perayaan (Deepavali, Tahun Baru Cina dll), namun kemuncak yang hendak dilihat ialah lahirnya calon-calon pelapis dari variasi latar belakang agama dan budaya.
• Dalam ucapan Izzat juga, beliau optimis bahawa Neo-Siswa akan menang secara majoriti dan membentuk KMUM yang diimpikan. Ucapannya cukup yakin namun usahalah yang akan menentukan hasilnya.
UMANY
• PRK kali ini, pertaruhan UMANY lebih kecil. Hanya 3 orang yang dihantar bertanding kerusi umum. Banner calon-calon pun dengan gaya yang cute, takda lagi genggam penumbuk. Ini cubaan mengalih persepsi negatif orang ramai kat korang ke? Hahaha.
Warga UM takkan lupa yang UMANY ni lah satu ketika dahulu yang mengangkat plakad 'Undur VC' sewaktu berlangsungnya istiadat konvokesyen UM yang bersejarah pada tahun 2019.
• Kabinet KMUM sesi lepas yang dianggotai UMANY juga ada buat kesilapan yang sangat kontroversi. Antaranya, mereka memuatnaik kenyataan solidariti terhadap pekebun-pekebun durian haram di Raub, Pahang melalui akaun media sosial rasmi KMUM. Masalahnya, mereka tak bincang langsung pun dengan pemegang-pemegang taruh (ahli-ahli eksekutif KMUM) yang lain sebelum up posting tu. Bila lidah lagi laju dari otak, beginilah jadinya. Celah mananya slogan mengangkat suara mahasiswa kalau perangai asyik membelakangkan mahasiswa. Langsung tak profesional.
• Wakil UMANY, Tang Yi Ze dalam ruang ucapannya membawakan satu kejayaan penting mereka semasa mengemudi KMUM iaitu berjaya menubuhkan akaun bank dan mengawal sendiri kewangan KMUM. Beliau juga menguar-uarkan manifesto terkait advokasi mahasiswa berkaitan pemindaan AUKU secara konsisten. Aku setuju tentang advokasi berterusan perihal AUKU. Tapi, bukan UMANY je, front lain pun lantang memperjuangkan autonomi mahasiswa melalui saranan pemindaan AUKU.
• UMANY juga seperti Neo-Siswa tapi versi eksklusif bangsa Cina. Tapi, aku puji bahasa Melayu wakil UMANY lebih baik dari wakil NewGen kelmarin. Ternyata abang lagi banyak makan garam dari adik.
• Di akhir sesi debat kelmarin juga, Tang Yi Ze banyak kali menempelak Suara Siswa atas 'fitnah-fitnah' yang dilontarkan kepada UMANY. Moderator pun penat nak sound mereka berdua yang sepatutnya bincang 'hal rumahtangga' di luar pentas debat. Dan UMANY juga berpendirian sama seperti Suara Siswa iaitu mereka tidak bercita-cita untuk menang dalam PRK kali ini dengan alasan masuk bertanding untuk berbakti kepada mahasiswa, bukannya menang. Macam ada pengaruh PAS dah, ikhlas daley perjuangey, toksey meney.
SISWA MALAYA (SM)
• Selepas solat Jumaat kelmarin, telah tular dan beredar sehelai kertas yang tertera gambar calon-calon Siswa Malaya diedit dan tulisan 'Bar*a HEP' menjadi headline kertas itu. Tak tahulah taktik kotor memburukkan lawan ini angkara siapa. Tapi persoalannya adakah ayat itu sebenarnya mencerminkan realiti?
• Untuk makluman korang, Siswa Malaya ni baru 2-3 bulan kewujudannya dikenalpasti di Universiti Malaya. Posting pertama di Instagram mereka pun bertarikh 17 Ogos yang lalu, baru sangat. SM telah didaftarkan sebagai salah sebuah front politik di UM. Siswa Malaya menghantar saudara Amiruddin Aqil menjadi jurubicara di pentas debat.
• Secara peribadi, aku suka dengan gaya pidato Aqil yang santai, tenang dan tidak bergantung pada teks berbanding calon-calon Presiden KMUM yang lain. Tetapi agak mengecewakan apabila beliau agak bacul berhadapan dengan soalan-soalan panas dan terlalu banyak berfalasi. Bila ditanya tentang isu peletakan jawatan Pengerusi UMCEC (Jawatankuasa Pilihanraya Kampus UM), jawapan yang diberi bersifat play safe dan seolah-olah membisu terhadap campurtangan 'pihak luar' dalam pilihanraya kampus ini.
• Jika kalian teliti calon-calon yang ditampilkan Siswa Malaya, majoritinya adalah datang dari geng pemudahcara mahasiswa (PM) yang berpengalaman dalam menguruskan projek-projek kolej kediaman dan memiliki hubungan erat dengan Badan Hal Ehwal Pelajar. Atas faktor itu, ramai mahasiswa melihat mereka adalah puppet dan bidak catur kepada pentadbiran universiti.
• Sungguh pelik bagaimana parti yang tertubuh tidak sampai 4-5 bulan mampu edarkan baju printed mereka kepada mahasiswa baharu secara percuma serta mengagihkan banyak bantuan makanan secara berkala. Siapa yang fund mereka?
Bila didesak oleh Presiden GAMIS, saudara Azam supaya mereka menunjukkan belanjawan kempen, Aqil sekali lagi bermain falasi menuntut supaya parti-parti lain turut berbuat perkara yang sama. Apa yang mereka goyang sangat sebenarnya?
• Keberadaan Siswa Malaya mengingatkan aku kepada front Mahasiswa Progresif yang juga muncul dari kalangan barisan pemudahcara mahasiswa di kolej-kolej kediaman pada tahun 2021. Tapi, Siswa Malaya kali ini agak misteri dan menimbulkan tanda tanya. Ideologi dan pembawaannya juga tidak jelas. Nak kata pro-mahasiswa pun bukan sebab Aqil langsung tidak menegaskan perkara tersebut. Yang dia duk ulang-ulang hanyalah membantai KMUM sesi lepas dan mengajak mahasiswa buat perubahan. Nak ubah macam mana kalau pembawaan parti pun kabur. Kalaulah niat mereka nak bawa aspirasi dan semangat kolej kediaman, boleh je hijack Mahasiswa Progresif tanpa perlu buat parti baru. Sah ada udang di sebalik maggi.
_______________________________
Walaubagaimanapun, pesta demokrasi ini bebas meraikan sesiapa sahaja yang ingin berpartisipasi.
Kemeriahan PRK tahun ini lebih terasa dengan wujudnya persaingan 5 front politik kampus ini. Kerusi Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) menjadi satu-satunya kerusi yang memperlihatkan pertembungan 5 penjuru. Sekaligus menjadikannya kerusi tumpuan dalam PRK kali ini.
Gerakan mahasiswa di Universiti Malaya sering menjadi perhatian masyarakat kerana di sinilah pemuka-pemuka politik Malaysia menapak suatu ketika dahulu. Maka, tak hairanlah bila orang kata Universiti Malaya adalah mini Malaysia.
Selamat memilih dan mengundi bagi mahasiswa/i Universiti Malaya.
Kata Bung Karno,
"Perjuangan-perjuangan membawa kesulitan-kesulitan. Perjuangan besar tidak hanya menuntut pengalaman tetapi juga menuntut keberanian."
Kalam Gus Dur pula,
"Kalau ingin melakukan perubahan jangan tunduk terhadap kenyataan, asalkan kau yakin di jalan yang benar, maka lanjutkan."
.
.
.
Adlin Shaimi
Bekas mahasiswa yang belum move on