Hari ini tular lagi berita kejadian buli yang melibatkan beberapa orang pelajar tingkatan 1 di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak. Seorang pelajar ditahan, diletakkan di tengah bilik dan ditumbuk di bahagian perut.
Bulan lalu, masih hangat ditularkan mengenai keputusan perbicaraan kes arwah Zulfarhan, penuntut UPNM yang meninggal dunia akibat dibuli melalui berbagai seksaan. Alhamdulillah, pelakunya sudah dijatuhi hukuman. Mereka meringkuk di penjara walaupun pelbagai reaksi masyarakat yang tidak bersetuju dengan hukuman itu yang dilihat agak ringan.
Secara peribadi, saya melihat tindakan buli sememangnya mendatangkan implikasi negatif yang tidak boleh dinafikan. Ini kerana saya juga adalah mangsa buli ketika masih bergelumang dalam kehidupan seorang pelajar sekolah. Namun, dari satu sudut yang lain, saya menilai 'sebahagian' tindakan senior ini sebenarnya menyedarkan perilaku buruk dan tabiat diri saya yang tidak digemari.
Semasa di asrama, perkataan 'perjumpaan' adalah lafaz yang paling digeruni pada setiap hujung minggu. Manakan tidak, perjumpaan ini diatur oleh geng-geng senior semata-mata untuk memberi 'nasihat dan teguran' kepada adik-adik supaya rasa hormat kepada mereka tidak berkurang.
Namakan apa saja tindakan buli ketika itu, semuanya saya pernah rasa.
Duduk setengah. Kena flying kick dari belakang hingga kita tergolek ke depan. Push up. Lompat bintang. Duduk setengah sambil perut dihinggapi tumbukan ala-ala perlawanan boxing Mike Tyson. Dah macam rekrut askar jadinya.
Cumanya alhamdulillah, bersyukur sangat saya tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk setelah itu. Otot peha kebas sewaktu naikturun tangga itu biasa.
Belum lagi tindakan buli yang bersulamkan jenama agama seperti ketuk ketampi Asmaul Husna dan lain-lain. Konon-kononnya dibuli sambil menambah pahala kendiri.
Saya dibuli agak teruk kerana peribadi saya yang tidak digemari oleh senior-senior. Kadang-kadang hanya sekecil-kecil perkara seperti tidak memberi salam, tidak senyum pada mereka dan tidak memenuhi permintaan mereka.
Mungkin juga sebab saya ini orang luar dari negeri itu dan baru bermastautin. Dan itu menyebabkan saya masih lagi kekok untuk bertutur dalam loghat yang dipakai.
Pada waktu itu, 'perjumpaan' itu dianggap sebagai biasa dan tradisi asrama yang setia diperturunkan dari generasi ke generasi. Sehinggalah jika ada junior-junior yang melaporkan kepada ibubapa atau warden, maka mereka kelak akan dipulaukan oleh senior dan senior meluaskan tindakan memulau itu kepada adik-adik junior sehingga satu asrama menekannya. Istilah 'Tok Bon' dipanggil terhadap golongan ini. Saya masih setia mengunci mulut demi 'menjaga' hubungan dengan abang-abang mithali ini.
Dan perkara ini diteruskan dari tahun ke tahun sehinggalah saya berada di satu posisi di mana saya ialah orang nombor satu asrama. Saya pada asalnya masih meneruskan tradisi ini tapi saya berkeras dan melarang rakan-rakan untuk melakukan sebarang sentuhan fizikal terhadap adik-adik. Cukuplah arahan atau denda yang dikeluarkan sebagai hukuman.
Namun, pada suatu tahap, saya merasakan perlu memiliki rotan untuk menghukum pelajar yang melanggar disiplin asrama. Hal ini disebabkan situasi stress yang saya alami dalam berdepan peperiksaan SPM dan juga amanah untuk menjaga warga asrama.
Alhamdulillah, setelah ditarbiah oleh guru disiplin dan ketua warden, saya sedar tindakan itu salah. Dan rotan itu terus dipatahkan dan dibaling jauh-jauh.
Saya mula berfikir, apakah alternatif lain dalam usaha untuk mendidik adik-adik asrama yang bermasalah. Saya buntu juga ketika itu.
Satu masa saraf otak ini bersambung dan muncullah idea hukuman dan denda melalui duit. Denda pembayaran RM1 dikenakan untuk masalah disiplin seperti bilik bersepah dan kotor, pembaziran elektrik dan lain-lain. RM1 juga dikutip secara bulanan untuk kebajikan asrama.
Apa saya buat melalui kutipan wang tersebut?
1) Saya membuat renovasi terhadap surau asrama dengan mengecat semula, memasang rak baharu, membeli Al-Quran dan Mathurat baharu dan membeli peralatan tambahan surau seperti sejadah demi keselesaan warga aspura.
2) Membeli koleksi buku-buku dan bahan bacaan santai untuk adik-adik meluangkan masa di surau seperti majalah Infiniti dan komik yang bermanfaat.
3) Membeli permainan seperti kad dan papan catur serta monopoli untuk hiburan di kala cuti.
4) Dan baki dari duit itu digunakan pada jamuan akhir tahun apabila setiap seorang pelajar aspura dapat menikmati sekotak pizza. Itupun ada lebihan dan menjadi rezeki buat kami.
Dan pada satu saat, saya berfikir sejenak. Apa perlunya ragging, sepak terajang, tempikan dan jeritan maki hamun sekiranya sikap manusia boleh dibentuk melalui bicara positif, teguran membina dan akhlak yang mulia.
Walaupun gejala buli tidak dinyahkan secara total di asrama ini, saya optimis bahawa bila ia perlahan-lahan dihentikan maka akan membawa kepada natijah yang diinginkan iaitu sifar buli.
Dan dari satu sudut yang lain, walaupun saya masih lagi mengingati senior-senior yang pernah membuli saya, saya positif bahawa mereka sebenarnya terikut-ikut dengan budaya itu dan masih tidak terfikir perkara alternatif lain selain tindakan buli yang membawa kesengsaraan.
Buli sebenarnya tidak menyelesaikan masalah malah menambahkan ia. Setelah ragging berlaku, mulut masih akan berkata-kata buruk perihal pembuli dan dendam masih lagi tersimpan rapi.
Apalah gunanya jika tindakan buli hanya membuahkan kepuasan yang sementara, tetapi natijah perbuatan itu akan kekal tersemat hingga ke alam sana. Kelak menangisi diri yang muflis dek tindakan itu.
Adlin Shaimi,
Bekas mangsa buli.