Golongan para sahabat adalah generasi umat terbaik dalam garis masa sejarah Islam. Hatta para ulama menyebut bahawa amalan solat 1000 rakaat kita pun tidak mampu untuk menyamai 2 rakaat solatnya para sahabat di belakang Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas :
إنما أصحابي كالنجوم، فبأيهم اقتديتم اهتديتم
Maksudnya : "Sesungguhnya sahabat-sahabatku umpama bintang-bintang (berkerlipan di langit), maka dengan siapa sahaja yang kamu ikuti, nescaya kamu akan peroleh petunjuk."
[Riwayat Ibnu Battah dalam al-Ibanah]
Buku Permata Umat ini menghidangkan kepada kita kisah 30 para sahabat رضي الله عنهم yang hidup mereka diabadikan untuk Allah dan Rasul-Nya.
Walaupun buku ini terdiri daripada 200 muka surat, namun membacanya tidak jemu dan bosan. Ini kerana pelbagai ilustrasi dan juga susunan peristiwa yang ringkas dan mudah difahami boleh dihayati dan diamati oleh pembaca.
Penulis juga mengolah setiap sifat serta peribadi para sahabat lalu mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang berlaku. Dengan demikian itu, para pembaca dapat mengambil motivasi dan semangat dari personaliti sahabat yang unggul serta terinspirasi dengan segala tindakan mereka yang bijak, berani, memanfaatkan potensi serta berkorban demi Islam.
Beberapa informasi baharu yang saya hadam dari pembacaan buku ini ialah :
(1) Kisah Abdullah bin Salam رضي الله عنه, seorang Yahudi yang beriman kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم setelah mendapatkan jawapan dari persoalan yang membelenggu fikirannya. Dan dia juga antara sahabat yang dijanjikan syurga selain dari 10 orang sahabat yang dimaklumi.
(2) Kisah Al-Syifa' binti Abdullah رضي الله عنها, sahabat wanita yang boleh membaca dan menulis serta menguasai ilmu perubatan dan ruqyah. Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengkagumi kemahiran tersebut dan meminta diajarkan kepada Ummul Mukminin Sayyidatina Hafsah binti Umar رضي الله عنهما.
(3) Kisah Hassan bin Thabit رضي الله عنه yang merupakan seorang penyair yang hebat. Beliau pernah mempersembahkan syairnya di hadapan raja Arab Kristian daripada Bani Hassan di Syria dan Lakhmi di Iraq. Setelah keIslamannya, beliau melantunkan syair-syair yang mempertahankan dan memuji Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari hinaan Musyrikin Mekah. Usianya cukup panjang iaitu mencapai 120 tahun. Ulama' bersetuju bahawa separuh umur beliau pada zaman jahiliyyah dan separuh lagi pada zaman Islam. Dan menariknya, 3 keturunan di atas beliau iaitu bapanya, Thabit, datuknya, al-Munzir dan moyangnya, Haram juga hidup sehingga umur mereka mencecah 120 tahun.
Satu inisiatif yang baik dari penulis untuk mendendangkan kisah-kisah para sahabat dari sumber rujukan yang berautoriti. Karya ini amat sesuai sekali untuk bacaan santai anak-anak kecil dalam mengenali para pendamping manusia teragung sepanjang zaman, Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Antara karya bergenre para sahabat dalam bahasa Melayu yang lain boleh juga dibaca seperti :
- Hayatus Sahabah (Ustaz Hazri Hashim)
- Ikon Syabab (Dr Umar Muhammad Noor)
- 47 Superstar Syurga (Dr Umar Muhammad Noor)
- Fadhilat Amal
P/s : Buku ini juga diselitkan dengan poster tempat wafatnya 30 para sahabat mulia ini.