TOK PERLIS (1860an - 1963)
TOK PERLIS (1860an - 1963)
Tak lengkap kiranya jika setiap negeri utara mempunyai tokoh yang dinisbahkan nama negeri seperti Tok Perak dan Tok Kedah tanpa kita bicarakan Tok Perlis.
Tok Perlis adalah gelaran yang diberikan kepada tokoh yang bernama Abdullah. Beliau dilahirkan di Kampung Surau Kuala Badang, Kota Bharu sekitar tahun 1860-an. Ibunya bernama Che Fatimah yang berasal dari Pasir Pekan, Kelantan. Manakala ayahnya bernama Che Sudin (Shamsuddin) namun tidak diketahui asal-usulnya.
Abdullah mempunyai 4 orang adik-beradik. Saudara sulungnya bernama Lebai Yusuf yang menetap di Kedah. Seorang lagi saudaranya bernama Ilias atau lebih dikenali Pak Da Yas Pendekar yang bermastautin di negeri Perlis. Seorang lagi iaitu saudari Cu Bibah yang merupakan isteri Haji Mat Sim Badang. Dan yang bongsu pula dikenali dengan gelaran Pak Su Mat 'Mata-mata'. Beliau seorang yang menguasai ilmu keduniaan dan menetap di Batu 10, Bagan Serai, Perak. Mereka semua sudah lama meninggal dunia.
KEHIDUPAN DAN PENDIDIKAN
Sejarah awal mengenai hidup Tok Perlis adalah samar-samar dan tidak diketahui. Namun dari sumber sejarah yang jelas, paras fizikalnya berbadan besar, tinggi dan kulitnya kehitaman. Beliau sangat gemar menjelajah dan berguru di kebanyakan tempat. Antara guru-gurunya ialah :
1. Sayyid Abdul Wahhab atau Tengku Abdul Wahhab (Tok Ku Bagus). Beliau berasal dari Sumatera Utara, dikenali sebagai seorang mahaguru silat gayung. Mengikut buah mulut masyarakat, Tok Ku ini (dengan izin Allah) berupaya untuk berjalan di atas permukaan air. Kuburnya terletak di Kubor Beruas, Kok Badang sejak 90 tahun yang lalu. Jasadnya turut dikatakan masih elok. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
2. Tuan Guru Haji Abdul Malek bin Hasan, Sungai Pinang.
3. Tok Klembak di Wilayah Patani (berguru selama 6 bulan).
4. Para ulama' Melayu dan Arab di kota Mekah. Tok Perlis bermukim di sana selama 10 tahun. Antara gurunya seperti Tok Wan Ali Kutan, Syeikh Nik Mat Kecik, Syeikh Wan Ahmad Patani dan Tok Shafie Kedah bin Muhammad Saleh iaitu seorang ahli sufi yang berasal dari Kampung Telok Badan, Alor Setar, Kedah. Beliau (Tok Shafie Kedah) meninggal dunia di Mekah pada tahun 1953).
Semasa dalam perjalanan pulang dari Mekah, Haji Abdullah singgah di rumah saudaranya Pak Da Yas di negeri Perlis dan tinggal di situ dalam tempoh masa yang agak lama sehinggalah beliau berkahwin. Kemudian barulah beliau pulang menetap di Kuala Badang. Namun disebabkan isterinya orang Perlis, beliau sering berulang-alik dari Kelantan ke Perlis. Maka, di sinilah gelaran 'Tok Perlis' melekat pada beliau.
Jarak perjalanan dari Kelantan ke Perlis menaiki kereta pada masa sekarang jika dihitung.
MENGAJAR
Sepertimana orang-orang Melayu yang menuntut ilmu agama di Patani dan Mekah pulang ke kampung untuk mengajar, Haji Abdullah begitulah juga. Beliau membuka sebuah madrasah kecil dan semakin lama ia berkembang menjadi pusat pengajian yang memiliki berpuluh-puluh bangsal dan pondok yang lengkap dengan Pondok Dalam (orang yang sudah berkahwin) dan Pondok Luar (golongan bujang).
Pergaulan antara lelaki dan perempuan di pondok Haji Abdullah dijaga dengan ketat dan tegas. Semua pelajar yang bukan mahram adalah dilarang untuk berbual atau berborak sembarangan. Demi tujuan menjaga pergaulan, pagar buluh dipasang untuk memisahkan ruang para penghuni Pondok Dalam dan Pondok Luar serta diletakkan juga dinding di ruang tengah madrasah untuk mengasingkan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan.
Haji Abdullah mengajar beberapa buah kitab seperti :
1. Syarah Hikam Jawi (Ibn 'Athoillah terjemahan Tok Pulau Manis, Terengganu dan Abi Madyan terjemahan Syeikh Daud Patani).
2. Al-Durr al-Nafis
3. Minhaj al-'Abidin
4. Sayr al-Salikin
5. Hidayat al-Salikin
6. Matla' al-Badrain
7. Jauhar al-Mauhub
8. Miftah al-Jannah
9. Munyat al-Musolli
10.Wisyah al-Afrah
Jelasnya, beliau amat meminati bidang ilmu tasawuf.
PERIBADI TOK PERLIS
Dalam kehidupan seharian, isteri Haji Abdullah ditegah dari melakukan kerja-kerja di luar rumah seperti mengangkut air, mencari kayu api dan membasuh kain sebaliknya diuruskan oleh Haji Abdullah sendiri. Hanya apabila tiba waktu senja barulah isterinya diberi keizinan keluar memandang dunia luar. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar lelaki tidak mengenali isteri Tok Guru Tok Perlis.
Tok Perlis juga terkenal dengan peribadinya yang kuat mengawal penglihatannya dari melihat wanita yang bukan mahramnya. Jika terpandang, beliau akan segera berpaling ke arah lain ataupun terus menundukkan kepala dan pandangan. Betapa hebatnya Allah menjaga beliau dari terjerumus ke lembah kemurkaan Allah.
Kehidupan Tok Perlis adalah sederhana sahaja, baik dari segi pakaian, makanan mahupun tempat dia menumpang teduh. Apa yang menjadi perhatiannya hanyalah kemuliaan di sisi Allah. Demi tujuan itu, beliau juga seperti ahli ibadah yang lain iaitu sentiasa bertaqarrub kepada Allah melalui amalan-amalan sunat yang tertentu seperti melazimi ibadah fardhu dengan amalan sunat (khususnya solat dan puasa), menjauhi perkara syubhah (ragu-ragu), menerima nikmat daripada Allah dengan perasaan qana'ah dan mengaplikasi sifat zuhud.
Jika terdapat pelajar dan anak muridnya yang terlupa melakukan amal ibadah atau membuat kesalahan, Tok Perlis akan menegur dan menasihati dengan baik. Mengikut cerita Tuan Haji Nik Dir bin Haji Nik Man dari Lambor, bahawa antara anak murid yang pernah dimarahi Tok Perlis ialah Wak Haji Daud Kampung Jal Kecik dan adiknya, Tok Imam Haji Ahmad Kampung Meranti. Mereka berdua dimarahi kerana tidak berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Peristiwa tersebut terjadi semasa mereka mengiringi Tuan Guru Haji Abdullah ke negeri Perlis.
Begitulah didikan tegas yang diterapkan Tok Perlis kepada anak-anak pelajarnya. Semestinya agama menjadi perkara pertama yang didahulukan dalam kehidupan.
PELAJAR DAN ANAK MURID
Berikut ialah senarai sebahagian anak-anak murid Tok Perlis :
1. Tok Lebai Lah Pondok bin Tok Ahmad Tupuk, Tanjong Madap.
2. Haji Che Abbas bin Che Awang, Kedai Buloh.
3. Haji Daud bin Haji Yusuf, Imam Jal Kecik, Tumpat (meninggal sekitar tahun 1957).
4. Haji Ahmad bin Haji Yusuf, Imam Mukim Meranti, Pasir Mas (meninggal pada 21 Ogos 1961).
5. Haji Salleh bin Haji Man, Tanjong Dal, Kota Bharu (meninggal pada pertengahan tahun 1960).
6. Haji Wan Mustafa bin Haji Abdul Rahman, Imam Peringat, Kota Bharu (meninggal pada tahun 1970 ketika usia 95 tahun).
7. Pak Muda Haji Che Deraman bin Ngah Ali, Badang.
8. Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Umar, Badang.
9. Awang bin Kasim, Badang.
10. Tok Ayah Janggut Haji Mat Ali, Badang.
11. Pak Pit, Badang.
12. Abdullah, Tumpat.
13. Mak Muda Hajjah Hawa, Badang.
14. Mak Nah binti Tok Puteh, Badang.
15. Pak Mat Telok Renjuna, Kedai Buloh.
16. Che Kub Tok Wali, Tumpat.
17. Pak Nik (Che Senik) Tok Wali, Kuala Krai (meninggal di Madinah sebelum pendudukan Jepun).
18. Pak Muda Him (Wan Ibrahim) bin Haji Wook, Kampung Surau Badang (meninggal pada 22 Ogos 1977 ketika usia 74 tahun).
19. Pak Bas (Abbas) bin Dol, Kampung Pulau Pasir (meninggal pada 31 Disember 1979).
20. Pak Ku Haji Tuan Soh, Kota Bharu.
ULAMA SEZAMANNYA
Terdapat beberapa orang ulama' dan tokoh-tokoh tempatan yang sezaman dengan Tuan Haji Abdullah dan pernah mendampingi beliau, antaranya :
1. Haji Che Min Pendekar bin Haji Sharif (abang kepada Haji Che Su Penambang), Kampung Kuala Badang.
2. Haji Yusuf bin Haji Abdul Rahman, Imam Mukim Meranti, Pasir Mas.
3. Tok Kemuning (Haji Ismail) bin Haji Senik (meninggal pada tahun 1934).
4. Tok Selehong (Haji Abdul Rahman) bin Haji Uthman (meninggal pada tahun 1935).
5. Haji Che Mamat bin Kasim, Badang.
6. Tok Khatib Haji Jusoh bin Kasim, Badang.
7. Ayah Su (Haji Him) bin Che Isa, Badang.
MENINGGAL DUNIA
Tuan Guru Tok Perlis menghembuskan nafasnya yang terakhir pada lingkungan usianya 60 tahun. Beliau meninggal dunia setelah menderita sakit demam panas selama beberapa hari. Tarikh kematiannya yang tepat tidak dapat ditentukan, tetapi dipercayai sekitar antara tahun 1921 dan 1923. Jasadnya disemadikan di Perkuburan Tok Panjang, Kuala Badang.
Selepas kematian Tok Perlis, kebanyakan anak-anak murid dan pelajarnya berkampung pula di Pondok Selehong yang bertempat di sebelah tebing barat Sungai Kelantan. Pada waktu itu, Tuan Guru Haji Yusuf Kampung Laut sering berulang-alik datang mengajar di Kampung Surau Badang.
Demikianlah kisah seorang ulama Tanah Melayu yang amat berjasa dalam mengembangkan syiar Islam melalui institusi pondoknya. Moga saya dan pembaca dapat mencontohi keperibadian Tok Perlis dalam menghidupkan agama.