SHEIKH ABDULLAH BASMEIH (1915 - 1996)
SHEIKH ABDULLAH BASMEIH (1915 - 1996)
Setiap kali kita membuka terjemahan al-Quran yang berbahasa Melayu, nama Abdullah Muhammad Basmeih pasti tertera. Tidak kira dalam aplikasi gajet mahupun naskhah terjemahan Al-Quran terbitan Malaysia. Siapakah gerangan yang namanya sentiasa terpapar bersama Al-Quran ini?
Beliau ialah Sheikh Abdullah Muhammad Basmeih, seorang tokoh ulama dari Tanah Melayu yang amat berjasa dalam bidang ilmu Al-Quran.
Nama penuh beliau ialah Sheikh Abdullah Basmeih bin Sheikh Muhammad Basmeih. Sheikh Basmeih berketurunan bangsa Arab baik daripada sisi bapanya mahupun ibunya.
Asal sebutan 'Basmeih' adalah Basumayh iaitu gelaran yang diberikan oleh golongan pedagang yang berasal daripada Hadramaut di Yaman. Untuk pengetahuan pembaca, huruf 'Ba' di awal perkataan 'Basmeih' menunjukkan bahawa pemilik nama-nama seperti ini berketurunan dari Hadramaut seperti Barakhbah, Bafaqayh, Baghdayh, Ba'lawi dan sebagainya. Dan Hadramaut di Yaman ini adalah kampung bapanya manakala ibunya pula berasal daripada wilayah Bisyah di Arab Saudi.
Sheikh Abdullah Basmeih dilahirkan pada tarikh 29 Disember 1913 di Ma'abah iaitu kawasan di sekitar kawasan Masjidil Haram di Mekah. Dan ada juga yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 1915. Beliau membesar di Mekah sehingga umur 12 tahun. Pada umurnya 2 tahun, ibu kandung beliau telah menghadap Ilahi dan penjagaannya diserahkan kepada ibu saudaranya. Kemudian beliau dibawa berhijrah ke Tanah Melayu oleh penjaganya pada umur 12 tahun.
PENDIDIKAN
Sheikh Basmeih mendapatkan pendidikan seawal usia 7 tahun. Terdapat satu tempat yang digelar Suq al-Layl, lokasi yang berdekatan dengan Masjidil Haram menjadi tempat beliau mempelajari agama Islam. Di situlah beliau menekuni ilmu-ilmu agama dan beliau telah mengkhatamkan Al-Quran serta mampu untuk membaca dan menulis.
Perjalanan pendidikan beliau seterusnya beralih ke Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka seusai mereka sekeluarga berhijrah ke Tanah Melayu. Atas sebab kecerdikan dan kepintaran beliau, sebulan kemudian beliau telah dimasukkan ke kelas yang lebih tinggi. Dengan semangat ketekunan yang tinggi, beliau telah menamatkan pendidikan di sekolah tersebut pada tahun 1927.
Walaubagaimanapun selepas itu, hasrat beliau untuk melanjutkan pelajarannya terbantut dek masalah kewangan. Namun, beliau tetap berikhtiar untuk mencari ilmu menerusi inisiatifnya sendiri melazimi bacaan buku-buku dan berguru. Beliau menguasai bahasa Melayu dengan baik hasil daripada kehidupan pergaulan dan interaksinya bersama masyarakat Melayu setempat.
PEKERJAAN
Sheikh Abdullah Basmeih seorang yang sangat rajin dan tidak kekok mencari rezeki di awal usia. Semasa beliau masih lagi di awal belasan tahun, beliau sudah berdikari dengan membantu ayahnya dalam menguruskan kedai makan di Pasar Padang Nyiru, Melaka. Selepas ayahnya meninggal dunia, beliau menjadi harapan keluarga untuk mencari rezeki dan menyara kehidupan keluarganya walaupun ketika itu beliau masih lagi bersekolah.
Sheikh Abdullah Basmeih juga pernah merantau ke negeri Pahang untuk misi mencari rezeki. Di sana, beliau melakukan pekerjaan buruh hutan di Triang, Pahang dengan bayaran upah serendah 18 ringgit setiap bulan namun beliau bekerja sekejap sahaja. Beliau kemudian bekerja pula di sebuah kedai dengan gaji sekitar 10 ringgit sebulan. Selanjutnya, beliau bekerja pula sebagai pembantu tukang masak di Asrama Pelajar-pelajar Melayu di Sekolah Inggeris Bandar Hilir yang sekarang dikenali sebagai SK Bandar Hilir. Beliau juga pernah memerah keringat bekerja di kilang pakaian Belanda, berniaga kain dan menjual rojak.
Dan di saat menjual rojak, beliau mula mengembangkan idea ilmunya melalui bidang penulisan. Beliau menulis artikel dan diterbitkan dalam majalah Warta Melayu. Bakat penulisan beliau ini telah disedari oleh pimpinan pengarang majalah Utusan Melayu iaitu Haji Mohammad Dahlan Masood (Hamdan) dan beliau telah diberi kepercayaan untuk menterjemah artikel-artikel agama Majalah al-Munawwar untuk dimuatkan dalam majalah Utusan Melayu. Bermula dari pengalaman awal inilah, beliau bergiat aktif dalam dunia penulisan dan penterjemahan. Beliau juga mempunyai pengalaman bekerja dengan Syarikat Qalam Press dan syarikat Utusan Melayu. Beliau memegang jawatan sebagai Penyunting Bahagian Agama dan penulis kolum Mimbar Islam yang disiarkan pada setiap hari Jumaat.
Selain itu, beliau juga pernah bekerja di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di samping menjadi penulis dan penterjemah amatur. Ketika berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri, beliau sempat mengarang beberapa karya ilmiah yang bermanfaat. Dan karya-karya beliau ini dihargai oleh Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri melalui penerbitannya. Ada juga karya lain beliau yang diterbitkan oleh penerbit yang lain. Semangat dan tekad yang begitu tinggi menjadikan beliau disegani walaupun tahap pendidikannya sederhana sahaja.
KARYA PENULISAN SHEIKH ABDULLAH BASMEIH
Berikut ialah karya-karya tinta beliau sepanjang melibatkan diri dalam bidang penulisan :
1. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran
2. Pengertian Ayat-ayat Al-Quran (naskhah jawi dan rumi)
3. Mukaddimah Mastika Hadith
4. Mastika Hadith Rasulullah SAW (Iman-Tauhid)
5. Mastika Hadith Rasulullah SAW (Sembahyang)
6. Khutbah Haji Wada' - Khutbah Rasulullah SAW
7. Panduan Mengurus Jenazah
8. Kedudukan Masjid Dalam Islam
9. Sejarah Hidup Siti Aisyah (1950)
10. Sejarah Hidup Abu Bakar Al-Siddik (1951)
11.Sejarah Hidup Nabi Muhammad (1952-1954)
12.Panduan Kanak-kanak Sembahyang
13. Muqaddam Al-Quran
14. Hikayat Salahuddin Al-Ayyubi
Kehebatan Sheikh Abdullah Basmeih dalam menulis turut menarik perhatian pemilik Syarikat Qalam Press iaitu Syed Abdullah Hamid al-Idrus. Akhirnya, beliau telah ditawarkan untuk memegang posisi Pembantu Pengarang untuk majalah bulanan agama terbitan syarikat yang bertapak di Singapura itu. Dalam tempoh 12 tahun berkhidmat, Sheikh Abdullah Basmeih telah berjaya membuat terjemahan terhadap lebih 30 buah buku yang pengisiannya berkisar kehidupan Rasulullah SAW, isteri-isteri, anak-anak baginda dan juga para sahabat. Antara karya yang diketahui adalah :
1. Sejarah Hidup Aisyah - Isteri Nabi SAW (2 penggal - 1950)
2. Sejarah Hidup Baginda Ali (2 penggal - 1950)
3. Sejarah Hidup Abu Bakar Al-Siddiq (Penggal - 1951)
4. Sejarah Hidup Nabi Muhammad SAW (Penggal - 1952)
5. Perempuan Islam (1952)
6. Perempuan dan Pilihanraya - Fatwa Ulama Al-Azhar (1952)
7. Puteri Sepanyol (2 penggal - 1952)
8. Sejarah Hidup Umar al-Khattab (4 penggal)
9. Sejarah Hidup Uthman bin Affan (2 penggal - 1953)
10. Sejarah Hidup Saidina Husein Di Padang Karbala (2 penggal - 1953)
11. Berjihad Pada Jalan Allah (1953)
12. Allah Jalla Jallaluhu - Tauhid (1953)
13. Qadha dan Qadar - Menurut Sayyid Jamal al-Din al-Afghaniy (1953)
14. Taasub - Menurut Pandangan Syeikh Muhammad Abduh (1953)
15. Kesatuan Hukum-hukum Islam (1953)
16. Wakil Rakyat Dalam Islam (1953)
17. Sejarah Hidup Bilal Tukang Bang Rasulullah SAW (1955)
18. Puteri-puteri Nabi (1957)
19. Sejarah Hidup Khalid Al-Walid (1957)
20. Isteri-isteri Nabi (1958)
Buku-buku di atas merupakan hasil penulisan Sheikh Abdullah Basmeih di Malaysia dan Singapura. Karya-karya inilah yang menjadikan beliau masyhur dan mempunyai imej yang tinggi dalam bidang penulisan Islam di dua negara yang berjiran ini.
ANUGERAH DAN BINTANG DARJAH KEBESARAN
Sheikh Abdullah Basmeih sudah menyumbangkan jasa yang cukup besar kepada umat Islam di Malaysia. Beliau yang sangat mencintai ilmu pengetahuan, telah menghabiskan umur separuh dari hayatnya untuk menulis dan menterjemah kitab-kitab agama yang seterusnya menjadi rujukan umat Islam khususnya di Malaysia. Setelah banyak sumbangan dan keringat yang beliau taburkan, akhirnya beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran iaitu pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibn al-Marhum Sultan Badlishah, Yang di-Pertuan Agong Kelima pada tahun 1973. Pada tahun 1989 pula, beliau dianugerahi pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) dari Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Mutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar. Dan pada tahun 1994, sekali lagi beliau menerima pingat anugerah Johan Mangku Negara (JMN) yang disampaikan oleh al-Marhum Tuanku Ja'afar di Istana Negara. Sheikh Abdullah Basmeih juga telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1415 (tahun 1994) peringkat Wilayah Persekutuan.
Setiap yang mempunyai permulaan pasti ada kesudahannya. Pada tanggal 14 Julai 1996, Sheikh Abdullah Basmeih telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau meninggal dunia disebabkan penyakit jantung yang dideritainya. Beliau kemudian dimakamkan di tanah perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Begitulah kisah seorang tokoh penulis Islam yang begitu menginspirasikan. Hasil penulisannya memberi impak yang cukup besar kepada bidang pengajian tafsir Al-Quran yang berkembang di Malaysia. Hasil kerja penterjemahan kitab suci Al-Quran beliau, betapa ramai yang membaca, memahami dan menghayati keindahan Al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia. Setiap saat, saham pahalanya terus mengalir dan ia terus memberi manfaat kepada kita semua.
Sebuah buku biografi mengenai Sheikh Abdullah Basmeih terbitan DBP.