CINTA SANG MURABBI
(DR RIDUAN MOHAMAD NOR)
CINTA SANG MURABBI
(DR RIDUAN MOHAMAD NOR)
Buku Cinta Sang Murabbi
Semua daripada kita mengetahui akan kisah peperangan dan penjajahan di tanah suci Palestin. Bumi Syam ini seringkali digugat dan dijarah oleh rejim Zionis Israel yang berhatikan haiwan. Langsung tiada belas kasihan terhadap sesama manusia. Rumah penduduk Palestin dirobohkan meskipun didirikan di atas tanah tumpah darah mereka sendiri. Anak-anak kecil diculik dan langsung hilang khabar berita. Pemuda-pemuda Palestin cacat tangan dan kaki akibat ditembak dengan peluru hidup. Masjid-masjid dibedil dan dibom, lalu tinggallah puing-puing dan bangunan yang masih tersisa.
Walaupun aset diroboh, keluarga tercinta dibunuh, tanaman mereka dimusnah, dedaunan luruh, sumber air yang keruh, namun mereka tidak pernah mengeluh dan jiwa mukmin mereka sentiasa utuh dan teguh!
Semangat ini disebabkan oleh seorang tua. Seorang tua yang buta, lagi berkerusi roda. Logik di fikiran kita, apa yang mampu untuk seorang tua lakukan? Dengan berkerusi roda serta cacat penglihatan. Amat terhad untuk dia menghidupkan gelombang perjuangan dengan fizikalnya yang sebegitu rupa.
Beliau yang dimaksudkan ialah Sheikh Ahmad Ismail Yassin. Sheikh dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora di daerah Majdal dalam wilayah Asqalan pada tahun 1938. Sheikh Ahmad Yassin lahir tatkala pemuda Islam dari Mesir, Syria dan Iraq sedang ghairah untuk menyerbu ke Palestin. Hal ini disebabkan oleh gelombang Islam yang dicetuskan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna di Mesir.
Sejak kecil, Sheikh Ahmad Yassin dididik dan diasuh dengan didikan Islam yang menyeluruh. Beliau merupakan pelajar pintar kesayangan guru-gurunya. Sheikh Ahmad Yassin melihat sendiri tatkala beliau membesar, Palestin yang beliau amat cintai ini tergugat dengan ancaman dan serangan oleh rejim Zionis. Justeru itu, beliau memasang azam yang jitu untuk menjadi pemuda yang membebaskan tanah airnya dari genggaman durjana. Namun, di usia remajanya, Sheikh Yassin terpaksa menerima hakikat bahawa kemalangan yang membawa kepada lumpuh di kaki ketika bersukan. Hakikat ini amat perit untuk ditelan, namun beliau reda dan semangatnya tidak sirna dan luntur dibawa arus musibah.
Putaran masa ligat berpusing. Sheikh Ahmad Yassin menjadi seorang dewasa yang amat berwawasan dan hampir dengan Rabb-nya. Beliau bersama beberapa sahabatnya seperti Dr. Nizzar, Sheikh Solah, Dr. Abdul Aziz Rantisi serta yang lain telah mengasaskan gerakan HAMAS.
Gerakan HAMAS ini bukanlah sekadar gerakan ketenteraan gerila yang bernafsukan darah Zionis semata-mata. Akan tetapi, gerakan yang diterajui pemuda-pemuda mukmin Palestin ini menjaga setiap aspek kebajikan umat Palestin. Namun, tidak dinafikan, impian mereka yang paling besar ialah tatkala rejim Zionis Israel yang bacul ini dapat ditumbangkan dan Palestin berupaya bernafas kembali dari penjara yang menekan.
Sheikh Ahmad Yassin adalah sosok yang meniupkan roh dan semangat perjuangan kepada pemuda Palestin. Setiap pidato dan butir bicaranya menghidupkan api yang membara dalam jiwa dan sanubari mereka yang mendengarnya.
Menjadi perajurit HAMAS bukanlah sesuatu yang mudah. Proses merekrut pejuang antaranya berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :
1) Mengerjakan awal solat 5 waktu secara berjemaah.
2) Tidak meninggalkan solat sunat rawatib.
3) Penghafaz Al-Quran.
4) Memahami agenda perjuangan dan matlamat pembebasan Palestin.
5) Mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Jikalau diletak syarat ini dalam situasi kita, mungkin syarat yang pertama sudah cukup untuk menolak kelayakan kita menyertai HAMAS.
Di dalam buku ini, penulis mencoretkan pengalaman beliau bertandang ke rumah Sheikh Ahmad Yassin dan bertemu bertentang mata dengan anak beliau dan pimpinan HAMAS. Novel yang digarap berdasarkan kisah benar ini benar-benar menyedarkan kita para pemuda Islam yang masih leka dibuai mimpi.
Berikut saya titipkan beberapa mutiara pesanan Sheikh Ahmad Yassin kepada anak-anak muda Islam di seluruh dunia :
1) Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah dengan meninggalkan pelbagai keseronokan, kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian.
2) Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat Subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad SAW.
3) Aku menyeru kalian wahai anak-anakku supaya solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku supaya mendekatkan diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.
4) Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggungjawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap Allah SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.
5) Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada Allah. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.
6) Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada Allah akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.
7) Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.
8) Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada Allah.
Kesimpulannya, kita sebagai mahasiswa dan juga pemuda, adalah aset yang sangat penting untuk agama. Di kala usia yang muda ini, fizikal kita masih kuat, idealisme yang padat serta ruang masa yang membolehkan kita sebentar berehat. Teknologi, kemudahan, ilmu, segalanya sudah terhidang di depan mata. Gunakanlah semua medium dan kudrat yang kita ada untuk melihat kembali agama Islam ini dijulang tinggi. Usia yang tersisa amatlah tidak bermakna jika agamamu dihina tatkala engkau diam memejam mata dan memekakkan telinga!
Sheikh Ahmad Ismail Yassin