PENGENALAN PERTANDINGAN VIDEO KREATIF TV PSS SEMPENA HARI KEBANGSAAN TAHUN 2025
Pertandingan Video Kreatif TV PSS sempena sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025 merupakan inisiatif bagi mengiktiraf kreativiti dan inovasi warga sekolah dalam menyampaikan mesej patriotisme melalui platform TV PSS. Bertemakan “Malaysia Madani, Rakyat Disantuni”, pertandingan ini memberi peluang kepada murid untuk mengasah kemahiran teknologi dan literasi digital dalam penghasilan kandungan kreatif yang memupuk semangat cinta akan negara.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membangunkan generasi Malaysia yang kompeten, beretika, dan berdaya saing, di samping mengekalkan jati diri kebangsaan. Melalui penghasilan video kreatif, murid bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran pembelajaran mendalam (deep learning), malah dapat menyampaikan mesej nilai murni, perpaduan, dan tanggungjawab sebagai warganegara yang berfungsi dalam masyarakat berilmu dan harmoni.
MAKLUMAT PERTANDINGAN VIDEO KREATIF TV PSS SEMPENA HARI KEBANGSAAN TAHUN 2025
Objektif:
Mempertingkat kemahiran digital dan inovasi dalam kalangan murid
Mempertingkat kemahiran merancang murid dalam membuat bahan inovasi
Mempertingkat kreativiti murid dalam membangunkan bahan inovasi.
Melatih murid mempraktikkan kemahiran berkomunikasi, pendedahan kepada aspek-aspek kewartawanan, penulisan berita dan elemen-elemen lain ketika penghasilan bahan pendidikan.
Membina dan meningkatkan keyakinan melalui pengalaman berhadapan dengan kamera video dan khalayak yang ramai.
Melestarikan budaya pembacaan berkualiti dalam kalangan murid sekolah secara berterusan.
Menggalakkan penghasilan kandungan yang mempromosikan perpaduan, keharmonian, dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Pertandingan TV PSS 2025 diharap dapat:
Melahirkan murid yang Kreatif dan Inovatif dengan menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah Pendidikan Digital.
Menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menyokong pelaksanaan PPPM 2013-2025, terutamanya yang berhubung dengan Anjakan 7, iaitu Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran sekaligus dapat menyokong kualiti kemenjadian murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Murid dapat menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian masalah, penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif sekaligus menyokong kemahiran berfikir dalam Aspirasi Murid yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 -2025.
Memupuk semangat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan melalui mesej serta nilai murni yang disampaikan dalam penghasilan video sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN
Pertandingan ini terbuka untuk murid sekolah rendah dan menengah KPM Negeri Kedah (tidak termasuk Ting.5 & 6) secara berkumpulan sahaja ( 4 orang )
Setiap sekolah boleh menghantar satu video penyertaan sahaja.
Tema pertandingan adalah "MALAYSIA MADANI, RAKYAT DISANTUNI"
Penghasilan video mestilah dalam Bahasa Melayu SAHAJA. Sari kata dibenarkan.
Setiap video penyertaan mestilah mematuhi format TVPSS seperti yang dinyatakan dalam KIT TVPSS Kebangsaan.
Durasi video:
Tidak melebihi 5.00 minit, genre adalah bebas (dokumentari / temubual / tutorial / PDPc dan lain-lain) sama ada di dalam atau di luar sekolah.
Kualiti video amat dititik beratkan.
Penyertaan akan dibatalkan sekiranya hasil karya yang dikemukakan tidak asli atau diplagiat serta gagal mematuhi syarat pertandingan.
Hasil produksi yang dikemukakan mestilah tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan atau setara dengannya.
Bahan Video Kreatif yang dihasilkan hendaklah tidak menyentuh sensitiviti raja, agama, kaum, politik atau merendahkan martabat mana-mana komuniti dan kumpulan tertentu serta tidak menyinggung mana-mana pihak.
Penggunaan runut bunyi, muzik, animasi, gambar, logo dan lain-lain media hak cipta serta tanda perniagaan tanpa kebenaran adalah dilarang.
Semua video yang dihasilkan TIDAK DIBENARKAN disiar di mana-mana platform media sosial seperti Youtube, Tiktok, Facebook, Instagram dan lain lain. Penyiaran video tersebut hanya akan dibuat di YouTube penganjur sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran pada syarat ini, penyertaan akan dibatalkan.
Keputusan juri adalah muktamad.
CARA PENGHANTARAN PENYERTAAN
Pihak sekolah perlu memuat naik video ke platform YouTube dengan tetapan Unlisted. Pautan video tersebut hendaklah dihantar kepada pegawai penyelaras daerah masing-masing untuk penilaian peringkat daerah terlebih dahulu. (Sila rujuk pegawai penyelaras daerah masing-masing bagi tarikh akhir penghantaran peringkat daerah)
Pihak PPD hanya perlu memasukkan 1 pautan video terbaik dari daerah masing-masing melalui borang rasmi yang disediakan oleh pihak penganjur pada atau sebelum 10 September 2025.
PEMARKAHAN
Grafik - 15%
Aspek Komunikasi - 20%
Videografi / Suntingan - 20%
Jalan cerita / Skrip - 20%
Penataran Audio - 10%
Kreativiti Penutupan - 10%
Wow Factor - 5%