Uji cuba prototaip merupakan bahagian terakhir Design Thinking (DT). Prototaip yang telah dihasilkan itu hendaklah ditunjukkan dengan pengguna bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka. Segala komen yang meliputi kekuatan, kelemahan dan penambahbaikan hendaklah didengar dan diteliti serta dipertimbangkan untuk menjadikan prototaip itu semakin baik. Berapa kali uji cuba dibuat bergantung kepada berapa prototaip yang telah dihasilkan. Apabila prototaip pertama dihasilkan, anda hendaklah membuat ujian atau uji cuba untuk mendapatkan maklum balas daripada pengguna. Selepas memperoleh maklumat daripada respons pengguna anda dikehendaki menambah baik mana-mana bahagian yang dicadangkan, serta mengambil kira kelemahan yang ada. Daripada maklum balas ini, anda akan menghasilkan prototaip kedua. Selepas itu, buat uji cuba semula dengan mendapat maklum balas semula daripada pengguna terhadap prototaip kedua itu. Selepas menerima teguran dan maklum balas daripada pengguna, anda hasilkan prototaip ketiga sebagai penambahbaikan. Begitulah seterusnya sehingga anda berasa yakin bahawa produk anda ini diterima oleh pengguna.