Hi-5

Dunia VUCA dan kaitannya dengan kepentingan literasi menulis

Perbincangan berkaitan VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity) atau ‘The New Norm’ bukan perkara baharu, ia telah menjadi topik perbincangan dunia pada awal tahun 2000 lagi. Penggunaan VUCA mula diperkenalkan oleh Kolej Perang Tentera Amerika Syarikat untuk menggambarkan keadaan dunia yang tidak stabil (volatility), tidak pasti (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity). Kepelbagaian arah tuju ini adalah hasil daripada tamatnya perang dingin yang dipetik daripada sebuah kertas kerja oleh Sekolah Perniagaan, Kenan-Flagler University of North Carolina. VUCA terdiri daripada Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity. Volatility ialah perubahan yang sangat pantas. Seterusnya, Uncertainty ialah keadaan yang tidak pasti dan menggunakan kaedah mendengar. Selain itu, Complexity pula keadaan dunia yang serabut dan memerlukan arahan yang jelas. Akhir sekali, Ambiguity ialah keadaan yang samar-samar.

Kepentingan literasi menulis yang pertama ialah membantu untuk mengetahui dan memahami dunia yang serba mencabar ini. Clarity (kejelasan) dapat menangani complexity (kerumitan). Kejelasan dan kefahaman yang jelas terhadap visi yang telah ditetapkan dapat memberi kejelasan dalam mencapai matlamat. Kecerdasan emosi yang tinggi dapat membantu untuk membuat perancangan dengan baik agar tidak tersasar kelak. Ini kerana VUCA sendiri sudah mencipta kerumitan luar biasa dalam kehidupan sehari-hari, sebaiknya kita jangan terjerumus dan sentiasa berwaspada. Mempunyai maklumat yang cukup serta kajian yang mendalam dapat membantu membuat perancangan yang rapi. Terokai pelbagai bidang serta mengambil kira baik buruk sesuatu keputusan dapat membantu mengurangkan risiko yang diambil. Hal ini sekali gus dapat membantu dalam memahami dunia yang serba mencabar ini. Masyarakat yang celik berbahasa akan lebih mudah mengetahui dan memahami sesuatu kerana kebanyakan maklumat perlu diakses melalui bacaan dan disampaikan melalui tulisan.

Kepentingan literasi menulis yang kedua ialah negara maju seiring dengan negara - negara lain dalam dunia pendidikan. Agility (ketangkasan) dapat mengatasi ambiguity (kesamaran). Ketangkasan yang dimaksudkan adalah ketangkasan menghadapi perubahan, tuntutan dalam menghadapi perkembangan baharu yang bakal muncul. Jangan kita hilang dalam percaturan dunia VUCA hanya kerana kita terlambat dalam memahami perubahan, lambat bertindak serta lambat berubah sehingga kita kehilangan arah dan menjadi tidak relevan dalam situasi yang sentiasa berubah. Kreatif dalam mencari jalan menyelesaikan masalah, berdaya saing tinggi dan tidak cepat mengalah antara resepi untuk menawan ketidaktentuan dunia VUCA kelak. Persiapan ini harus dilakukan sekarang. Tiada masa lagi untuk kita bertangguh kerana dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang berlayar di lautan yang telah banyak kapal karam di dalamnya. Andai muatan kita adalah iman dan layarnya adalah takwa, nescaya kita akan selamat daripada tersesat di lautan hidup ini.