Bacaan Mentalis


Bacaan mentalis 

Bacaan mentalis atau dikenali juga sebagai bacaan akaliah merupakan bacaan secara senyap. Aspek-aspek kefahaman diberikan penekanan, sementara aspek sebutan, nada, tekanan dan intonasi tidak ditekankan dalam bacaan ini (Mohd Ra’in, 2012).

Tujuan bacaan mentalis 

Untuk memperoleh pengetahuan daripada bahan yang dipilih oleh guru.

Untuk memahami butiran atau kandungan teks yang dipilih oleh guru.

Untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam bacaan kepada situasi praktikal yang baharu.

Untuk menganalisis maklumat yang dinyatakan dalam teks bacaan mereka.

Untuk membuat penilaian terhadap isu atau pernyataan yang terdapat dalam teks kepada aspek-aspek lain yang berkaitan.

Untuk menghasilkan idea baharu daripada teks yang dibaca bagi membuat keputusan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.


Aktiviti bacaan mentalis ialah: 

1.Bahan-bahan yang disediakan adalah terancang dan sesuai untuk peringkat murid yang diajar.

2.Bahan bacaan yang disediakan adalah untuk kefahaman murid dalam lingkungan teks yang diberikan.

3.Aktiviti penyoalan adalah asas dalam memberi pemahaman yang mendalam kepada murid.

4.Guru hendaklah menyediakan soalan yang berperingkat iaitu daripada yang mudah sehinggalah soalan yang sukar.

5.Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) hendaklah diberi penekanan dalam soalan agar tahap pemahaman murid akan lebih meningkat dan mendalam.

6.Aktiviti yang dilaksanakan daripada yang mudah seperti makna perkataan, sehinggalah soalan-soalan menggunakan aras taksonomi kefahaman membaca hingga peringkat yang tertinggi.


Contoh soalan yang menguji kefahaman murid dalam bacaan mentalis 

Andaikan bahawa murid telah diberikan satu petikan untuk dibaca dan soalan-soalan untuk menguji pemahaman murid terhadap teks yang dibaca diberikan seperti di bawah:

a. Apakah nama benda ini? (aras mengingat)

b. Kenapa benda ini diperlukan? (aras memahami)

c. Bagaimanakah cara minum air yang sopan? (aras mengaplikasi)

d. Apakah perbezaan botol plastik dengan botol kaca? (aras menganalisis)

e. Penggunaan botol sebagai bekas minuman tidaklah relevan lagi. Berikan justifikasi anda. (aras menilai)

f. (i) Cadangkan satu inovasi untuk menghasilkan air jika dunia dilanda kemarau yang teruk secara berterusan dalam tempoh yang lama. (aras mencipta)

  (ii) Cadangkan penggunaan lain untuk botol selain digunakan sebagai bekas minuman dan buat justifikasinya (aras menilai & mencipta)