Galeri Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menceritakan tentang sejarah pembentukan wilayah Persekutuan, sejarah penubuhan MSWP Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bermula daripada rumah kedai, bangunan Kerajaan sehinggalah MSWP mempunyai bangunan sendiri yang tersergam indah di mata masyarakat.
Senarai hakim yang telah berkhidmat di MSWP serta koleksi-koleksi dokumen yang digunapakai oleh Mahkamah Syariah telah dipamerkan di dalam galeri dengan menunjukkan rekod catatan hakim yang berseni. Selain itu, senarai Anugerah/Sijil-sijil, koleksi cenderamata dari dalam dan luar negara, koleksi jubah, songkok, kerusi dan meja yang pernah diguna pakai oleh hakim turut dipamerkan untuk pendedahan umum kepada pelawat yang akan melawat galeri.
Hasrat penubuhan Galeri MSWP yang terletak di sayap kanan, aras 1, Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Sri Hartamas telah tercapai bersempena dengan Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqy Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 1 Disember 2011 bersamaan 5 Muharram 1433H
Pada tahun 2024, galeri Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah diubahsuai bersempena sambutan Jubli Emas Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ke 50 tahun. Pengubahsuaian galeri ini dijalankan hasil daripada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Jubli Emas 50 tahun. Gerak kerja bersepadu penambahbaikan Galeri MSWP ini telah diketuai oleh Seksyen Rekod MSWP dan dibantu oleh Unit Kewangan, Perolehan dan Jawatankuasa Publisiti dan Tugas-tugas Khas.
Terdapat beberapa ruang diubahsuai menjadi sudut khas bahan pameran Jubli Emas 50 tahun dan sudut khas bahan-bahan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqy Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, manakala sudut yang mengandungi maklumat anugerah dan pencapaian MSWP telah ditambah baik sehingga tahun 2024. Selain itu, maklumat Ketua Hakim Syarie yang berkhidmat sejak mula MSWP ditubuhkan sehingga tahun 2024 turut dipamerkan di dalam galeri.