Tarikh: 8 September 2022

Hari: Khamis

Masa: (8.00 - 10.00) pagi

Lokasi: Pusat Latihan Kokurikulum (PULAKO), IPGKI

Nama Pensyarah: En. Krishna Kumar A/L Varatharaj

Kehadiran: 18 orang (10 Lelaki, 8 Perempuan)

*kehadiran penuh

Laporan Aktiviti

Aktiviti pertama bagi sesi perjumpaan kali kelima dimulakan dengan aktiviti kawad kaki bersama-sama dengan pelajar-pelajar unit W9, W11 dan W13 tepat jam 8.00 pagi. Kemudian, pada jam 8.15 pagi, setelah mendengar arahan keluar baris, kami semua beredar ke tempat perjumpaan masing-masing. Ahli BSMM W12 ditugaskan untuk menanam pokok semambu dan menghasilkan gajet.

En. Krishna mengarahkan kepada kami mengambil peralatan-peralatan untuk mengorek lubang dan menghasilkan gajet yang berada di dalam stor seperti cangkul, golok dan chop tanah. Kemudian, kami bersama-sama mengorek lubang bagi menanam pokok semambu. Setelah selesai menanam dan menyiram pokok semambu, kami mengambil gambar bersama-sama sebagai tanda kenangan pada masa akan datang.

Kemudian, kami semua bergerak mengikut kumpulan masing-masing untuk menghasilkan gajet yang telah ditetapkan oleh Nurin Irdina iaitu AJK Gajet BSMM W12. Antara gajet yang dihasilkan adalah seperti rak kasut, tiang bendera, ampaian dan tempat menggantung air. Setiap kumpulan dihendaki menghasilkan hanya satu gajet. Misalnya, kumpulan 1 dikehendaki menghasilkan rak kasut dengan menggunakan kayu-kayu pokok yang telah dicari oleh ahli BSMM W12 di hutan sebelah PULAKO. Penghasilan gajet ini memerlukan kemahiran ikatan yang kukuh agar gajet yang dihasilkan adalah berkualiti dan tahan lama. Akhir sekali, semua kumpulan berjaya menghasilkan gajet yang ditugaskan dengan baik.

Refleksi

Perjumpaan kali ini menyedarkan saya akan kepentingan menghargai alam sekitar. Saya sangat menyukai aktiviti penanaman pokok semambu. Pokok semambu sangat bermanfaat untuk merawat penyakit demam campak, cacar air dan penyakit kulit yang lain. Aktiviti penghasilan gajet juga memberikan keseronokan dan pengalaman bermakna kepada saya kerana kali terakhir saya menghasilkan gajet adalah semasa di sekolah rendah. Saya juga mula memahami akan teknik ikatan yang betul seperti ikatan manok dan ikatan seraya yang diaplikasikan pada gajet rak kasut bagi menghasilkan rak kasut yang kemas dan kukuh.