Tarikh: 1 September 2022

Hari: Khamis

Masa: (8.00 - 10.00) pagi

Lokasi: Pusat Latihan Kokurikulum (PULAKO), IPGKI

Nama Pensyarah: En. Krishna Kumar A/L Varatharaj

Kehadiran: 18 orang (10 Lelaki, 8 Perempuan)

*kehadiran penuh

Laporan Aktiviti

Pada jam 8.00 pagi, semua pelajar yang terdiri daripada pelbagai unit uniform berkumpul di padang kawad PULAKO untuk aktiviti kawad kaki. Komander yang terdiri daripada kalangan pelajar akan memberi arahan keluar baris selepas pensyarah setiap unit berpuas hati dengan perbarisan kawad para pelajar. Pada jam 8.15 pagi, semua ahli BSMM W12 bergerak ke pondok bersebelahan tasik PULAKO dan bersedia dengan sesi perjumpaan bersama pensyarah subjek iaitu En. Krishna.

En. Krishna memaklumkan kepada kami berkenaan perubahan tarikh Perkhemahan Unit Beruniform yang telah diawalkan tarikh kejadiannya iaitu daripada 24 - 28 Oktober 2022 kepada 20 - 24 September 2022. Sehubungan dengan itu, kami dikehendaki berbincang mengenai lokasi perkhemahan yang bakal dilaksanakan iaitu antara Tapak Perkhemahan PULAKO, IPGKI atau di Kem Intan Suraya. Hasil perbincangan tersebut perlu dipertimbangkan daripada pelbagai aspek seperti kos penginapan, kos pengangkutan dan persetujuan daripada unit BSMM yang lain.

Agenda seterusnya adalah sesi latihan kawad kaki yang dilakukan mengikut kumpulan masing-masing. Sesi latihan kawad kaki dilaksanakan selama 30 minit dan diawasi oleh En. Krishna. Kemudian, kami berkumpul semula untuk sesi pembelajaran simpulan dan ikatan. Sesi pembelajaran simpulan dan ikatan, didemonstrasikan oleh Ahmad Iqbal Fikri iaitu ahli BSMM W12. Antara jenis simpulan yang ditunjukkan adalah simpul manuk, simpul tindih kasih dan ikatan buku sila. Seterusnya, En. Krishna turut menunjukkan cara balutan anduh kepala dan cincin dengan menjadikan Harith Najmi iaitu ahli BSMM W12 sebagai model pesakit. Pada akhir sesi perjumpaan ini diakhiri dengan nyanyian lagu BSMM dan ikrar BSMM.

Refleksi

Saya mula menyedari akan kepentingan ilmu balutan anduh dalam kehidupan seharian terutamanya ketika masa kecemasan. Saya juga perlu mempelajari dengan lebih gigih lagi mengenai cara-cara simpulan dan ikatan seperti simpulan manok dan tindih kasih kerana ia sangat berguna untuk mengukuhkan ikatan sesuatu penghasilan gajet.