Prinsip-prinsip asas kemoralan

Prinsip Autonomi

Penerokaan Maklumat

Arahan: Baca keterangan berikut.

Autonomi bermaksud bebas, pertimbangan bebas dan kebebasan memilih. Keputusan dan tindakan individu haruslah bebas daripada pengaruh atau paksaan orang lain. Jadi, autonomi merujuk kepada perlakuan dengan kerelaan hati. Jika pertimbangan, keputusan, persetujuan dan tingkah laku yang diambil individu disebabkan oleh pengaruh atau tujuan tersembunyi maka, tingkah laku tersebut adalah tidak bermoral sekalipun mendatangkan kesan baik.

Misalnya kanak-kanak tidak membuang sampah merata-rata di kawasan sekolah kerana patuh kepada peraturan atau malu dianggap tidak berdisiplin serta takut akan hukuman, bukan kerana penghayatan moral melalui pertimbangan bebas. Akibatnya, apabila mereka keluar sahaja dari kawasan sekolah, mereka terus berani membuang sampah di tepi jalan tanpa rasa takut dan bersalah.

Begitu juga dengan pengakuan bersalah oleh seorang tertuduh kerana tidak tahan dengan deraan semasa soal siasat, didapati telah membuat keputusan yang tidak bebas.

Seorang hakim yang bertugas kelihatan memihak kepada orang tertentu kerana bimbang dengan kehilangan jawatannya juga tiada autonomi.

Autonomi juga dikaitkan dengan tujuan tersirat dan niat sebenar individu melakukan sesuatu. Contohnya, seorang penderma darah yang ingin menunjukkan sifat baik hatinya.

Jadi, tingkah laku kanak-kanak, si tertuduh, hakim dan penderma darah seperti contoh di atas pada hakikatnya tidak bermoral kerana ada unsur luar yang mempengaruhi. Oleh sebab itulah, guru-guru dan ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni pada kanak-kanak melalui kesedaran diri mereka berserta niat dan tekad yang betul, bukan hanya kerana pematuhan peraturan moral semata-mata.


Perbincangan seterusnya adalah tentang Prinsip keadilan.