Orientasi Moral

Keadilan & Kepedulian

Penerokaan maklumat

Arahan: Baca keterangan berikut.

Dalam perbincangan tentang dimensi moral, kita ada menyentuh soal fungsi penaakulan moral dan perasaan moral yang melahirkan perlakuan moral. Penaakulan moral yang mementingkan pemikiran rasional amat penting dalam membentuk unsur-unsur moral tertentu antaranya ialah keadilan. Perasaan moral pula sangat signifikan dalam menerbitkan kepedulian. Di sini kita dapat lihat perkaitan dimensi moral dengan orientasi moral iaitu keadilan dan kepedulian.


Keadilan 

Keadilan didefinisikan sebagai tindakan dan keputusan yang saksama dan tidak berat sebelah. Keadilan melibatkan konsep kesaksamaan dan menghormati orang lain yang memastikan bahawa seseorang itu bercakap benar, menepati janji dan sebagainya. Keadilan yang saksama dapat menjamin kesejahteraan dam menjamin keadilan dan mengelakkan pertelingkahan.  Ketidakadilan atau kezaliman bukan sahaja boleh menyakiti orang lain, malah akhirnya merugikan individu yang tidak adil itu sendiri. Jadi, keadilan melibatkan sebarang perbuatan adil terhadap diri sendiri dan orang lain. 

Menurut Plato, keadilan sebagai the supreme virtue of the good state atau kebajikan tertinggi dalam keadaan yang baik , sedang orang yang adil adalah the self diciplined man whose passions are controlled by reason. Menurut Plato, keadilan tiada kaitan secara langsung dengan undang-undang. Baginya keadilan dan kedaulatan undang-undang adalah bahan umum masyarakat yang membuat dan mengekalkan perpaduannya. Konsep keadilan amat penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni dalam kehidupan.

Perlu disebutkan juga bahawa mengutamakan keadilan adalah satu sokongan kepada taakulan atau fikiran yang rasional dalam mengawal keghairahan dan kemarahan apabila perasaan itu melebihi had-had yang diterima dan menjadi punca kejahatan. Geach (1977) berkata bahawa manusia memerlukan keadilan untuk mendapatkan kerjasama dan saling mempercayai supaya kehidupan tidak bersifat jahat seperti haiwan.

Menurut Al-Ghazali, seperti yang diperkatakan oleh Muhammad Abul Quasem (1976), keadilan bukanlah satu jalan tengah antara dua hal yang melampau. Keadilan tidak mempunyai dua keterlaluan tetapi hanya ada pertentangan, iaitu ketidakadilan atau kezaliman. Tetapi Aristotle berpendapat bahawa tingkah laku yang adil terletak di tengah-tengah, iaitu antara melakukan ketidakadilan dengan menderita akibat dianiayai. Hal ini kerana yang satu melibatkan seseorang mendapat lebih, manakala satu lagi seseorang mendapat kurang daripada bahagiannya. Dalam membuat keputusan bagi sesuatu dilema moral, keadilan menerusi sifat berperikemanusiaan dalam situasi tertentu digunakan sebagai nilai asas. 

Berikut contoh perlakuan berlandaskan orientasi keadilan;


Kepedulian

Secara umumnya dari segi moral, kepedulian atau keprihatinan ialah kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian, atau dalam istilah yang lain ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain.

Individu yang mempunyai emosi moral akan memiliki sifat kepedulian. Kesemua kecenderungan dan perasaan ini akan mewujudkan perlakuan prososial dan merasa malu, takut dan mudah menyesal serta rasa bersalah apabila melakukan perbuatan yang tidak wajar dari segi moral. 

Dalam membuat keputusan bagi sesuatu perlakuan, keprihatinan digunakan sebagai nilai asas iaitu dengan mempertimbangkan kepentingan orang lain.

Berikut contoh perlakuan berlandaskan orientasi keprihatinan;



Hubungan antara Keadilan dan Kepedulian

Kepedulian merupakan prinsip etika yang sama penting dengan keadilan. Jika keadilan merujuk fikiran yang rasional, kepedulian pula dikaitkan dengan perasaan moral yang suci dan jernih. apa sahaja yang dilakukan individu secara moral akan melibatkan orang lain. Dalam keadaan ini, adalah lebih berperikemanusiaan jika hubungan itu berdasarkan belas kasihan, simpati serta memandang penting dan mengambil berat akan orang lain. Kepedulian juga akan menjauhkan individu daripada kejahatan yang disebabkan sikap mementingkan diri.

Mengapa keadilan dan kepedulian penting pada diri insan bermoral? 

Pertama, keadilan tidak diperoleh daripada kepedulian. Begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya adalah nilai asas (primary). 

Kedua, nilai moral lain boleh dianggap sebagai nilai sekunder (secondary) diperoleh daripada keadilan dan, atau kepedulian. Oleh itu, kedua-dua keadilan dan kepedulian boleh dianggap sebagai ibu nilai. 

Nilai moral lain yang biasa itu boleh juga diterangkan sebagai bentuk-bentuk keadilan atau kepedulian. Bagaimanapun, patut dinyatakan juga bahawa nilai-nilai moral yang biasa ialah alat dan punca untuk memperkembangkan dan memperkuatkan keadilan serta kepedulian. Nilai-nilai moral biasa ini, iaitu keberanian, kebijaksanaan, kejujuran, kerajinan, kesabaran dan sebagainya boleh menjadikan insan bermoral itu lebih adil atau mengambil peduli atau altruistik.

Prinsip keadilan dan kepedulian boleh digunakan untuk memandu individu membuat pertimbangan moral atau mengambil sesuatu tindakan yang tidak dapat dilakukannya jika hanya bergantung kepada peraturan masyarakat dan keperibadian mulia.

>>  1  2  3  4  5  6  7   kembali

Modul 2: Dimensi Moral

TAMAT