Perlakuan Moral

Perlakuan Moral / Tingkah laku / Psikomotor

Penerokaan Maklumat

Arahan: Baca keterangan berikut.

Tingkah laku moral dikaitkan dengan perlakuan seseorang hasil daripada sesuatu keputusan yang telah dibuat dengan penuh tanggungjawab oleh penaakulan yang bebas dan rasional.

Individu yang tidak melakukan sesuatu yang telah difikirkan sebagai patut, wajar dan bermoral dianggap sebagai individu yang lemah moralnya. Fenomena inilah yang terjadi apabila individu berpendidikan dan mampu berfikir namun tetap melakukan sesuatu yang salah atau tidak bermoral.

Maka, individu bermoral adalah mereka yang bertindak dengan penuh tanggungjawab mengikut kemampuan sendiri berdasarkan keputusan moral yang berlandaskan penaakulan dan emosi moral.

Pertalian antara ketiga-tida dimensi moral

Individu bermoral ialah insan yang mampu menyeimbangkan antara penaakulan, perasaan dan perlakuan moralnya. Ketiga-tiga dimensi moral ini berfungsi menjadikan seseorang sentiasa mengawasi tingkah lakunya menurut norma masyarakatnya. Misalnya pelaku kesalahan yang menyesali tindakannya dan bertekad untuk tidak mengulanginya, mempunyai ketiga-tiga dimensi moral iaitu mengetahui kesalahannya (penaakulan moral), berasa menyesal (emosi moral), dan akhirnya dia bertekad tidak mengulangi perbuatannya (tingkah laku moral).

Bagi menghasilkan perlakuan bermoral, ketiga-tiga dimensi iaitu penaakulan, emosi dan tingkah laku moral perlu saling berinteraksi dan saling mempengaruhi.

Apabila individu menaakul secara bebas dan rasional, terhasillah tingkah laku. Pada masa yang sama, tingkah laku ini dipengaruhi emosi atau perasaan individu. Maka, lahirlah tingkah laku bermoral secara semulajadi dan tanpa sebarang unsur paksaan.

Individu bermoral ialah individu berautonomi, rasional dan bebas dalam dimensi-dimensi moral tersebut. Dia peka dan memahami peraturan dalam masyarakat dan mentaatinya dengan fikiran rasional bukan secara ikut-ikutan. Apabila berhadapan konflik atau dilema moral, dia mempertimbangkan dan memutuskan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip moral yang mengutamakan keadilan dan kepedulian serta menyatukan ketiga-tiga dimensi tadi.

Individu yang menaakul moral akan memahami nilai moral, mengenal pasti isu atau situasi yang melibatkan moral, menimbang situasi daripada perspektif orang lain seterusnya menyelesaikan isu moral secara objektif berasaskan prinsip moral.

Individu dengan afektif moral pula menyedari dan menghormati perasaan dan kebajikan orang lain serta bermotivasi untuk bertindak dengan nilai moral yang tinggi. Mereka memiliki sifat bertimbang rasa, belas kasihan, murah hati dan sifat-sifat kepedulian berkaitan. Mereka juga mempunyai perasaan malu atau bersalah apabila melakukan tingkah laku tidak wajar dari segi moral.

Individu yang memiliki tingkah laku moral pula bertindak secara autonomi, mudah dan konsisten berdasarkan prinsip-prinsip moral yang dipegang. Perkembangan kognitif dan pendedahan kepada pengalaman sosiomoral menentukan tahap pencapaian dalam perkembangan moral seseorang. Pemerolehan tahap kognitif yang tinggi adalah satu syarat bagi perkembangan moral yang mantap. Tahap penguasaan moral juga turut meningkat melalui pengalaman peribadi seseorang seperti melakukan tanggungjawab moral, pergaulan, pendidikan dan penglibatan dalam aktiviti kerohanian.

Perbincangan seterusnya adalah tentang Prinsip autonomi.

>> 1 2 3 4 5 6 7 kembali