Perasaan Moral

Perasaan Moral / Emosi / Afektif

Penerokaan Maklumat

Arahan: Baca keterangan berikut.

Emosi moral dikaitkan dengan kehalusan perasaan individu yang mengandungi sentimen, empati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi, altruistik dan murah hati.

Individu yang mempunyai emosi moral tentunya memiliki sifat kepedulian. Kesemua kecenderungan dan perasaan ini akan mewujudkan perlakuan prososial dan merasa malu, takut, mudah menyesal dan rasa bersalah apabila melakukan perbuatan yang tidak wajar menurut prinsip moral.

Akan tetapi, insan bermoral tidak harus terlalu mengikut emosi kerana hal ini akan menimbulkan perlakuan tidak rasional manakala individu yang terlalu kurang perasaan moralnya pula akan dilihat kurang insani atau dikatakan sebagai bersifat impersonal.

Keupayaan dan kesanggupan mengalami emosi moral adalah prasyarat untuk melahirkan individu bermoral. Oleh sebab itulah, bagi Kupperman (1983) individu yang melakukan perbuatan tidak bermoral tidak semestinya lebih jahil atau lebih bijak berbanding orang lain. Namun begitu, lazimnya individu yang tidak bermoral memang kurang perasaan moralnya iaitu tidak peka terhadap pengalaman dan penderitaan mangsanya.

Begitu juga menurut Ewing (1990), kelemahan moral para pesalah juvana bukanlah disebabkan mereka tidak menyedari tentang perlakuan salah tetapi kerendahan moral mereka berpunca daripada tiadanya perasaan ingin berbuat kebajikan kepada orang lain.

Emosi moral dianggap sebagai 'penjana' atau 'pemangkin' kepada setiap perlakuan. Emosi moral juga mengawal perlakuan dan menghalang individu daripada melakukan sesuatu yang bersifat anti sosial. Misalnya, perasaan empati dan simpati akan menyebabkan individu sentiasa membantu orang miskin tanpa mengira kepentingan diri sendiri.

Maka, insan bermoral ialah individu yang mampu menyeimbangkan antara kognitif dan emosi dalam bertingkah laku.

Perbincangan seterusnya adalah tentang Perlakuan moral.

>> 1 2 3 4 5 6 7 kembali