PERNYATAAN PERJALANAN PBS

PERNYATAAN SEBELUM PBS

  Sebelum saya menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), saya telah mendapat taklimat berkaitan dengan PBS daripada Dr Zabedah Mohammed selaku pensyarah penyelaras PBS. Taklimat tersebut dijalankan secara atas talian. PBS ini merupakan kali pertama bagi guru pelatih semester tiga untuk turun ke sekolah bagi menjalankan PBS. Program ini adalah bertujuan memberi kefahaman awal kepada siswa guru tentang alam persekolahan dari perspektif seorang guru. Oleh itu, siswa guru diberi peluang untuk menjalankan pemerhatian dan memahami perihal berkenaan dengan sekolah, guru-guru dan murid-murid.

         Menerusi program ini, siswa guru dapat mencari gali maklumat-maklumat dan menjadikan contoh melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi guru serta komuniti sekolah. Maka, pelbagai maklumat yang diperolehi oleh siswa guru berkenaan dengan sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan peranan sebenar seorang guru. Secara ringkasnya, melalui PBS ini, siswa guru akan dibimbing oleh guru untuk mengetahui cara atau kaedah pengajaran yang sesuai untuk dijalankan di bilik darjah dan cara pengurusan sekolah dalam pentadbiran.

         Melalui taklimat itu juga siswa guru diberitahu tentang pelbagai objektif yang hendak dicapai melalui PBS ini, mencerakinkan maklumat berkaitan pengurusan pentadbiran kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum, komuniti serta dasar pendidikan masa kini. Walaupun hanya diberi tempoh selama dua minggu, ianya sudah memadai untuk para siswa mencapai objektif-objektif dan membuat pemerhatian di sekolah. Kesannya dapat membina sikap positif dalam diri siswa guru terhadap profesion keguruan.

         Di akhir tugasan, saya diminta untuk membuat refleksi mengenai kekuatan dan kelemahan tugasan yang telah diberikan kepada saya sepanjang tempoh saya melaksanakan PBS ini. 

         Di akhir taklimat, saya diberi peluang untuk bertanya berkenaan dengan PBS jika terdapat sebarang kemusykilan dan saya akhirnya memahami serba sedikit tentang PBS. Saya perlu mengumpul maklumat yang berkaitan dengan soalan sepanjang saya melaksanakan PBS dan menyediakan laporan setelah selesai menjalankan PBS.


PERNYATAAN SEMASA PBS

  Tempoh ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam melaksanakan pemerhatian dan perbincangan mengikut aspek-aspek yang telah ditetapkan sebelum PBS. Perjumpaan bersama pentadbir dan kakitangan sekolah sangat membantu dalam melancarkan program PBS dan mencapai tujuan pelaksanaan PBS mengikut seperti yang dirancang. 

  Bukan itu sahaja, melalui PBS ini saya dapat melihat sendiri perjalanan pengurusan dan suasana yang sebenarnya berlaku di sekolah. Hal ini dapat membantu saya memahami selok belok pengurusan berkaitan dengan kebajikan murid, isu yang terdapat di sekolah, program yang dijalankan serta manfaatnya kepada murid-murid, ragam dan karenah murid yang sebenarnya, suasana dan keadaan serta adegan yang berlaku di sekolah, dan banyak lagi yang mana pengalaman ini akan dapat dimanfaatkan oleh saya untuk diaplikasikan  selepas tamat pengajian di IPGKBM. 

  Melalui tugasan ini juga, saya dapat menilai sendiri tahap penguasaan dan jiwa kepimpinan saya sebagai seorang guru dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari oleh saya sebelum ini di IPGKBM ke sekolah pilihan PBS pertama saya ini. Pelaksanaan PBS ini adalah mengikut senarai semak dan fokus tugasan yang telah dikemukakan di bahagian sebelum PBS. Proses mengumpulkan dan merekodkan maklumat dilakukan setiap hari. Maklumat yang diterima serta catatan aktiviti harian dicatat agar tiada keciciran semasa melapor. Setelah tamat tempoh PBS selama dua minggu ini, data dan maklumat-maklumat yang diperoleh dikumpulkan dan dikemas kini bagi tujuan memudahkan proses penulisan e-portfolio, laporan pemerhatian dan melaksanakan refleksi dalam PBS ini. Penilaian dalam laporan PBS ini akan dilaksanakan dengan penuh profesional. 


PERNYATAAN SELEPAS PBS

  Tuntasnya, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) telah banyak membantu serta memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan baru kepada saya. Penempatan PBS pada kali ini cukup bermakna kerana segala teori-teori dan ilmu yang dikongsikan oleh pensyarah di IPGKBM dapat dirasai sendiri oleh saya, melalui pengalaman merasai suasana sebenar persekitaran sekolah, pengurusan pentadbiran serta pembelajaran dalam bilik darjah. Bukan itu sahaja, melalui PBS ini saya dapat meningkatkan kemahiran komunikasi semasa berurusan dengan orang atasan, warga sekolah dan lain-lain. Secara tidak langsung, saya dapat memperbaiki tahap profesionalisme dan akauntabiliti sebagai seorang guru pada masa akan datang.