Batu Bersurat Asia (Inscribed Stone in Asia)

Kumpulan 18

Tema : Artifak

Ahli Kumpulan :

  1. Nur Anisah binti Abdul Rahman (68402)

  2. Errine Anne ak Bujang (65898)

  3. Mohammad Khairuddin bin Ab Hamid (66665)

  4. Yasmin Syamimi binti Abdullah (62953)


Batu Bersurat Terengganu.

Batu Bersurat Terengganu dijumpai di Sungai Tersat (Tara), Kuala Berang yang terletak di negeri Terengganu. Batu Bersurat ini dijumpai oleh penduduk kampung sekitar tahun 1887 di tebing sungai. Batu Bersurat Terengganu dianggarkan berusia lebih kurang 700 tahun dan bentuk batu bersurat ini adalah berbentuk segi empat. Pada mulanya penduduk menjadikan batu bersurat ini sebagai alas kaki dan diletakkan di Surau Tok Abdul Rashid (Surau Tok Ki Rashid).

Pada tahun 1902, seorang usahawan Arab bernama Syed Husin Ghulam Al Bukhari yang mencari bijih di sekitar Kuala Berang telah menjumpai batu bersurat tersebut yang dijadikan alas kaki ketika beliau hendak menunaikan solat Zohor. beliau mendapati terdapat tulisan pada batu dan segera memberitahu Penghulu Mukim tentang kewujudan tulisan yang terukir pada batu bersurat tersebut. Syed Husin meminta orang kampung untuk membersihkan batu tersebut dan setelah dibersihkan, tulisan yang diukir ke atas batu itu adalah tulisan Jawi (tulisan berdasarkan huruf Arab). Batu Bersurat ini diangkat menjadi Batu Bersurat Terengganu yang menunjukkan kedatangan agama Islam di Tanah Melayu. Pada mulanya, batu ini dibawa ke Kuala Terengganu untuk dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III namun tiada siapa yang dapat menterjemahkan bahasa yang digunakan ke atas batu bersurat itu dan telah diarahkan oleh baginda untuk membawanya ke Bukit Puteri, Kuala Terengganu.

Usaha untuk menterjemah Batu Bersurat Terengganu dipergiatkan pada tahun 1922. Seorang penasihat British di Terengganu, Mejar H.S Peterson telah mengarahkan agar Batu Bersurat Terengganu dikapurkan agar senang untuk dibaca. Selain itu, usaha untuk menterjemahkan tulisan ini telah melibatkan beberapa negara, iaitu salinan tulisan ini telah dihantar ke Mekah, imej batu bersurat juga telah diambil oleh N. Suzuki untuk dihantar ke University of Oxford di England. Setelah dikaji, Batu bersurat Terengganu berjaya diterjemahkan dan isi kandungannya juga diterjemah dengan teliti.

Keunikan pada Batu Bersurat Terengganu adalah merupakan batu bersurat yang tertua yang dijumpai di Malaysia yang mempunyai tulisan yang ditulis pada 702 Hijrah atau bersamaan dengan 1303 Masihi. Tulisan yang tertera pada Batu Bersurat ini adalah tulisan jawi yang sering digunakan di dunia Islam di Asia Tenggara pada waktu itu dan terjemahan Batu Bersurat Terengganu ini mengandungi pengishtiharan undang-undang Islam serta hukum-hukum dari sudut Islam. Daripada batu bersurat ini, Islam pada waktu tersebut adalah agama rasmi di negeri Terengganu.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu ini sangat bermakna dan sangat bernilai kerana batu bersurat ini mengandungi cara peradaban masyarakat pada masa dahulu. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa negeri Terengganu sebuah negeri yang berpengaruh dalam dunia Islam pada ketika itu. Pada tahun 1960 Batu Bersurat Terengganu disimpan di Muzium Negara ketika di awal pembukan muzium tersebut sehingga pada tahun 1979 dan kerajaan Terengganu menuntut hak untuk menyimpan batu bersurat tersebut pada 6 Julai 1991.


Bahagian pertama

Sumber : https://einspem.upm.edu.my/dismath/paper/2010/

Bahagian kedua

Sumber : https://einspem.upm.edu.my/dismath/paper/2010/

Bahagian ketiga

Sumber : https://einspem.upm.edu.my/dismath/paper/2010/

Bahagian keempat

Sumber : https://einspem.upm.edu.my/dismath/paper/2010/

Batu Bersurat Kedukan Bukit

Batu Bersurat Kedukan ditemui di Kedukan Bukit, Selatan Sumatera, Indonesia yang terletak di Palembang. Batu bersurat ini ditemui di tebing Sungai Tatang yang mengalir terus ke Sungai Musi. Penemuan Batu Bersurat Kedukan adalah bukti teks penulisan silam bagi masyarakat Melayu zaman kuno. Artifak ini menjadi artifak yang penting dan ditempatkan di Muzium Negara Indonesia yang terletak di Jakarta. Orang yang menemui Batu Bersurat ini ialah M.Batenburg iaitu seorang pegawai yang berasal daripada Belanda.

Batu Bersurat Kedukan adalah bersaiz 45cm x 80cm dan bertarikh 682 Masihi atau 605 Tahun Saka (Choo et al., 2013). Tahun saka menurut masyarakat India adalah perhitungan untuk menentukan peredaran matahari. Tulisan yang dikenalpasti adalah menggunakan tulisan yang berasal daripada India Selatan Purba menggunakan huruf Kawi dan Nagiri atau lebih spesifik Palava. Tulisan ini dipercayai digunakan sebagai tulisan untuk penyebaran agama Hindhu pada asalnya dari India Selatan. Selain itu, ada yang berpendapat bahawa Batu Bersurat Kedukan mengandungi bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Sanskrit dan mengandungi 10 baris ayat.

Keunikan pada Batu Bersurat Kedukan adalah batu bersurat ini dijadikan batu keramat oleh penduduk yang menetap di tepi Sungai Musi bagi mendapatkan kekuatan semasa berlumba perahu. Selain itu, Batu Bersurat Kedukan ini juga menceritakan perjalanan seorang raja yang menaiki kapal untuk mendapatkan kuasa sakti atau kejayaan (Siddhayatra) yang akhirnya menjadi milik Srivijaya dan kemakmuran serta keamanan kerajaan Srivijaya. Batu Bersurat Kedukan juga dikenali sebagai Prasasti yang berbentuk kecil dan menggunakan bahasa Melayu Tua/Kuno.

Batu Bersurat Kedukan Bukit ini jelas menunjukkan tentang kewujudan masyarakat yang hidup di bawah naungan raja dan sistem tulisan menjadi bukti untuk menyampaikan perkara yang berlaku pada masa lalu. Pada masa yang sama menjadi bahan artifak yang membuktikan naungan Raja di bawah kerajaan Srivijaya.

Batu Bersurat Kedukan Bukit

Batu Bersurat Kedukan Bukit. Credit : Gunawan Kartapranata

Batu Bersurat Kedukan Bukit mempunyai 10 baris ayat yang menceritakan perjalanan Raja menggunakan kapal untuk mendapatkan kuasa sakti atau Siddhayatra . kira-kira empat minggu , baginda berangkat dari muara Tamwan dan mengerahkan 20,000 orang tentera menaiki kapal dan menggunakan jalan darat. Dengan sukacitanya, baginda memberikan Siddhayatra menjadi milik Srivijaya dan menjadikannya makmur (Choo et al., 2013).


Batu Bersurat Palas Pasemah

Batu bersurat Palas Pasemah ini telah ditemukan di Palas Pasemah di tebing Way Pisang (Sungai Pisang), Lampung Indonesia dan batu bersurat ini merupakan salah satu batu bersurat Kerajaan Melayu Srivijaya. Batu Bersurat Palas Pasemah merupakan salah satu sumber sejarah daripada masa lampau dan telah tertulis pada atas batu atau logam. Kebiasaannya, ia dikeluarkan oleh penguasa yang memerintah wilayah pada masa itu sama ada dalam pusat pemerintahan ataupun pemerintah daerah.

Bukti kewujudan batu bersurat ini adalah dengan beberapa peninggalan dari masa lampau serta menunjukkan bahawa masyarakat bukanlah daripada pusat kerajaan tetapi masyarakat berada di bawah satu kerajaan tersebut. Berdasarkan batu bersurat yang telah ditemukan, ia menunjukkan bahawa daerah Lampung pernah berada di bawah penguasaan Kerajaan Srivijaya yang pernah memperoleh kejayaan mereka di Nusantara pada 500 Masihi yang ditakluki oleh seorang raja Dapunta Hyang Si Jayanasa. Daripada Batu Bersurat Palas Pasemah, ia berperanan sebagai memberikan informasi kepada masyarakat terutama kepada generasi seterusnya tentang jejak masa lalu.

Penulisan dalam Batu Bersurat Palas Pasemah ditulis menggunakan huruf Palava dan bahasa Melayu Kuno sebanyak 13 baris. "...menjadi salah penanda bahwa orang Lampung sejak zaman dulu sudah mengenal tulisan" (Zainal, 2017). Daripada petikan tersebut, penggunaaan sistem tulisan sudah mula digunakan oleh masyarakat Lampung sejak dahulu lagi dan digunakan sebagai salah satu medium untuk berkomuniksi. Namun begitu, bentuk penulisan batu bersurat tersebut telah dianggap berasal pada akhir abad ke-7 Masihi. Dalam isi penulisan Batu Bersurat Palas Pasemah itu juga terdapat kritikan bagi orang-orang yang tidak patuh kepada kerajaan Srivijaya pada masa itu.

Batu Bersurat Palas Pasemah menekankan kehidupan bermasyarakat yang diamalkan oleh rakyat pada zaman dahulu yang menekankan prinsip hidup patuh pada aturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan menunjukkan sistem tulisan adalah satu sistem yang mampu membantu masyarakat dalam berkomunikasi antara golongan atasan dengan rakyat.


Batu Bersurat Palas Pasemah

Sumber : https://sumbersejarah1.blogspot.com/2018/11/isi-prasasti-palas-pasemah.html


Batu Bersurat Palas Pasemah ini mengandungi cara pentadbiran Kerajaan Srivijaya yang menegaskan akan sikap atau peradaban masyarakat yang harus mereka patuhi dan perbuatan derhaka yang dilakukan akan membawa kepada perkara buruk kepada mereka atau terkena sumpahan.

Kewujudan batu-batu bersurat di Asia kebanyakkannya membuktikan wujudnya sistem tulisan pada waktu tersebut dengan pelbagai jenis tulisan yang dikenalpasti. Hal ini membawa kepada sistem komunikasi yang dijalankan pada waktu dahulu juga melalui sistem tulisan dan bukan melalui lisan sahaja. Pengaruh lisan bukan sahaja memberi impak kepada cara hidup masyarakat terdahulu malah ianya juga membentuk peribadi masyarakat melalui sistem undang-undang yang digunakan bahkan apa yang cuba disampaikan melalui batu bersurat juga dapat disampaikan kepada generasi baru dengan menterjemah tulisan yang digunakan oleh orang-orang terdahulu walaupun usaha untuk menterjemah tulisan yang digunakan mengambil masa yang agak lama bagi mendalami maksud yang terdapat pada batu tersebut.

RUJUKAN


Choo, S, T., Goay, T, C., & Zainuddin, A. (2013). Teks pra-u stpm bahasa melayu. Bangi, Selangor: Percetakan Jiwabaru.

Memory of the world. (2009). Batu bersurat Terengganu (Inscribed stone of Terengganu). Retrieved June 24, 2020, from http://www.unesco.org/new/en/communication-and-information/memory-of-the-world/register/full-list-of-registered-heritage/registered-heritage-page-1/batu-bersurat-terengganu-inscribed-stone of-terengganu/

South east asian kingdom. (2016, June 21). The inscribed stone of terengganu. Retrieved from https://southeastasiankingdoms.wordpress.com/2106/06/21/the-inscribed-stone-of-terengganu/

Teras, P. (2017, September 25). Menelisik awal mula ditemukanya prasasti batu tulis palas pasemah. Retrieved June 23, 2020, from https://www.teraslampung.com/menelisik-awal-mula-ditemukannya-prasasti-batu-tulis-palas-pasemah/