Assalamualaikum,
Syukur alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran setinggi-tingginya ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan inayah-Nya, kita dapat bersama-sama terus berkhidmat demi kemajuan Koperasi Pendidikan Kuala Selangor Berhad (Koppend).
Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh barisan Ahli Lembaga Koperasi(ALK) yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui koperasi ini. Koppend mampu mengembangkan sayapnya hari ini salah satunya adalah kerana usaha gigih Pengerusi terdahulu dan ALK yang berusaha memastikan Koppend terus berdaya saing. Tentu sahaja tidak lupa kepada seluruh anggota Koppend yang turut memberi kerjasama terbaik dalam menggerakkan koperasi ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan kedudukan Koppend yang berada dalam 50 koperasi terbaik di Selangor dan 300 koperasi terbaik di peringkat kebangsaan pada setiap tahun.
Barisan ALK silih berganti sudah menjadi lumrah dalam sesuatu pertubuhan. Namun, yang penting ialah kesatuan yang padu sesuai dengan moto Koppend, iaitu BERSATU TEGUH. Insya-Allah, dengan bersatu, kita mampu terus mengembangkan aset dan meningkatkan modal demi manfaat seluruh anggota. Marilah sama-sama kita menarik sahabat handai warga pendidikan kita untuk menjadi anggota Koppend. Semakin besar anggota kita semakin kuat koperasi kita ini.
Teruslah memberi sokongan kerana dalam usaha kita berusaha menjanakan keuntungan, kita juga sebenarnya turut terlibat dalam memberi kebajikan sesama anggota. Oleh itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas amalan kita.
Sekian, terima kasih.
Koppend- Bersatu Teguh!
Tn Hj Kamarularipin bin Jaffar
Pengerusi Koppend 2026/2027