Kata Penguat
1. Kata Penguat ialah perkataan yang digunakan untuk menguatkan maksud kata adjektif.
2. Kata penguat boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
Contoh:
Paling, Agak, Sungguh, Amat, Terlalu, Nian, Benar, Paling
3. Kata penguat seperti agak, paling, dan terlalu diletakkan sebelum kata adjektif.
4. Kata penguat seperti sekali, benar, betul dan nian diletakkan selepas kata adjektif.
5. Kata penguat seperti sangat, amat, dan sungguh boleh diletakkan sama ada sebelum atau selepas kata adjektif.
Contoh:
1. Murid yang paling pintar di sekolah ialah Latipah.
2. Pemandangan di tepi pantai itu sungguh indah.
3. Suhu di kawasan kutup amat sejuk.
4. Kereta api itu sangat laju.
5. Kereta itu laju sangat.
CONTOH KATA PENGUAT
Penguat hadapan : terlalu, paling, agak
Penguat belakang : sekali, benar, nian
Penguat bebas : amat, sangat, sungguh
terlalu – Baju di pasar raya itu terlalu mahal.
paling – Sambal tumis itu paling sedap.
agak – Jalan di kawasan itu agak bahaya.
sekali – Pendapat murid itu baik sekali.
nian – Nyaman nian udara di puncak pusat peranginan tanah tinggi.
benar – Cantik benar rantai mutiara ini.
Kata penguat bebas, digunakan secara bebas sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif. Berikut merupakan contoh kata penguat bebas dan penggunaannya.
amat
Kraf tangan itu amat cantik.
Kraf tangan itu cantik amat.
sangat
Beg pakaian yang dibawa oleh Suria sangat berat.
Beg pakaian yang dibawa oleh Suria berat sangat.
sungguh
Kereta yang dipandu oleh Jazeman sungguh laju.
Kereta yang dipandu oleh Jazeman laju sungguh.
Terdapat juga unsur penguat yang boleh hadir berderetan sebelum kata adjektif. Contohnya, sungguh amat merdu, sungguh kurang sopan, dan terlalu amat pedih. (Tatabahasa Dewan m.s 390). Contohnya:
Suaranya sungguh amat merdu.
Perangainya sungguh kurang sopan.
Kata-katanya terlalu amat pedih.