Unsur intelek dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan perkembangan daya fikir dan kebolehan mental murid secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang berilmu, rasional dan bijak membuat pertimbangan. Intelek bukan sekadar berkaitan pencapaian akademik tetapi juga melibatkan keupayaan berfikir secara kritis, kreatif dan analitis dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan. Melalui perkembangan intelek yang seimbang, murid dapat menjadi individu yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Dari sudut kemenjadian murid, unsur intelek memainkan peranan penting dalam membentuk murid yang mampu berfikir secara bebas dan bertanggungjawab. Murid yang mempunyai keupayaan intelek tinggi dapat menilai maklumat secara rasional serta membuat keputusan berasaskan fakta dan nilai yang betul. Sebagai contohnya, murid menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk menganalisis isu, menilai pelbagai pandangan dan mencipta penyelesaian yang inovatif Ā dalam proses pembelajaran. Ini sejajar dengan matlamat pendidikan abad ke-21 yang menuntut murid bersifat reflektif, kreatif dan mampu menyelesaikan masalah secara efektif. Misalnya, murid akan berupaya untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam kehidupan seharian melalui pembentukan murid yang efisyen dari segi unsur intelek.
Selain itu, unsur intelek juga mendorong pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan murid. Murid yang berintelek sentiasa mempunyai rasa ingin tahu dan berusaha menambah ilmu di luar bilik darjah. Sikap ini membolehkan mereka terus berkembang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran walaupun selepas tamat persekolahan. Secara tidak langsung, unsur intelek membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berfikiran terbuka, matang dan berupaya menyumbang idea bernas dalam kehidupan bermasyarakat.
Kesimpulannya, unsur intelek dalam FPK amat penting dalam melahirkan murid yang seimbang dari aspek kognitif dan moral. Melalui penguasaan intelek, murid dapat menjadi insan berilmu, rasional serta mampu membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan seharian. Hal ini secara langsung menyumbang kepada pembentukan insan yang harmonis selaras dengan matlamat utama FPK untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan negara.
Konsep 'intelektualisme' mempunyai makna yang berbeza-beza. Dari segi falsafah moral, perkataan ini digunakan untuk menyamakan apa yang dikatakan 'kebaikan' dengan ilmu pengetahuan dan apa yang dikatakan 'kejahatan' dengan 'kejahilan'. Dalam bidang estetika, fahaman intelektualisme mementingkan idea dan citarasa yang dinyatakan pada benda atau karya-karya seni. Manakala dalam teori ilmu pengetahuan, intelektualisme disamakan dengan rasionalisme dan di sini intelektualisme menitikberatkan akal fikiran daripada emosi dan gerak hati. Artikel ini bertujuan untuk mengupas maksud konsep 'intelektual' dan siapakah yang layakdipanggil sebagai 'intelektual' di kalangan masyarakat.Ā