Unsur emosi dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) memberi penekanan terhadap kestabilan dan kesejahteraan diri murid bagi melahirkan insan yang seimbang. Dalam konteks ini, pembangunan emosi tidak sekadar melibatkan kawalan perasaan tetapi turut mencakupi keupayaan murid untuk mengenal, memahami dan menzahirkan emosi secara rasional dan beretika. FPK menegaskan bahawa pendidikan perlu membentuk individu yang mampu mengurus emosi dengan bijaksana agar dapat berinteraksi secara harmoni dengan diri sendiri dan masyarakat. Oleh itu, penguasaan kemahiran emosi menjadi asas penting dalam membentuk kemenjadian murid yang stabil, berakhlak dan berdaya tahan.
Pendidikan di sekolah berperanan sebagai aspek utama dalam mengasuh dan menstabilkan emosi murid. Murid dapat belajar mengenal emosi sendiri serta mengawal reaksi terhadap pelbagai situasi melalui pendekatan bimbingan, aktiviti kolaboratif dan pendidikan nilai. Sebagai contohnya, aktiviti role play atau lakonan sosial membantu murid memahami perasaan orang lain, membina empati dan memupuk nilai toleransi (Ismail & Rahim, 2020). Proses ini juga membentuk kesedaran diri sendiri yang tinggi serta mengurangkan tingkah laku impulsif atau agresif. Murid yang mampu menyesuaikan diri dalam interaksi sosial menunjukkan tahap kesejahteraan emosi baik yang menyokong pembelajaran akademik dan perkembangan sahsiah.
Selain itu, pembangunan emosi yang kukuh membolehkan murid mengurus tekanan dan cabaran secara positif. Murid yang berupaya mengekalkan kestabilan emosi tidak akan mudah berputus asa apabila menghadapi kegagalan. Contohnya, murid belajar menilai kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya apabila gagal dalam peperiksaan atau pertandingan. Sikap tenang dan berdaya tahan ini melahirkan murid yang berfikiran matang serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan tekanan persekitaran. Hal ini sejajar dengan aspirasi FPK yang menekankan keseimbangan antara emosi dan intelek dalam membentuk insan yang berjiwa merdeka serta berpandangan jauh.
Pembangunan emosi juga menyumbang kepada pembentukan nilai moral dan akhlak mulia. Murid yang memiliki kesedaran emosi akan menghormati orang lain, bertimbang rasa dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri. Misalnya, murid belajar untuk menunjukkan empati dan memberi sokongan moral sekiranya dapat memahami perasaan sedih rakannya yang gagal . Sikap sebegini menggambarkan kematangan emosi yang selaras dengan nilai-nilai murni yang digariskan dalam FPK. Nilai kasih sayang, kejujuran, sabar dan hormat menjadi manifestasi kepada keseimbangan emosi yang membentuk insan yang harmonis dan berakhlak tinggi.
Dalam konteks murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), pembangunan emosi memainkan peranan kritikal dalam membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran. Tamsilnya, murid autisme sering berhadapan dengan kesukaran dalam mengawal emosi atau memahami ekspresi orang lain. Melalui aktiviti seperti terapi emosi, latihan pengurusan diri dan interaksi kumpulan kecil, murid dapat belajar menenangkan diri serta menzahirkan perasaan dengan lebih sesuai. Pendekatan ini bukan sahaja membantu kestabilan emosi tetapi juga meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi MBPK. Situasi ini jelas memperlihatkan bahawa kesejahteraan emosi menjadi asas kepada kemenjadian murid secara menyeluruh, selaras dengan prinsip inklusif yang ditekankan dalam FPK.
Secara keseluruhannya, unsur emosi dalam FPK memberi sumbangan besar terhadap pembentukan insan yang berdaya tahan, berakhlak dan seimbang. Murid yang mempunyai kestabilan emosi dapat berfikir secara rasional, membuat keputusan dengan bijak dan mengekalkan hubungan sosial yang sihat. Melalui pengurusan emosi yang baik, murid dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi kehidupan serta membentuk identiti diri yang kukuh. Oleh itu, pembangunan emosi yang digariskan dalam FPK bukan sekadar membentuk murid yang mampu mengawal perasaan sahaja tetapi juga melahirkan insan yang harmoni, penyayang dan berupaya menyumbang kepada kesejahteraan diri, masyarakat dan negara.