LOVE AT FIRST PICTURE
❤️AUTHOR: CREDESIA
❤️PRICE: RM 6 (SEHINGGA 30 JUN SAHAJA)
❤️PAGES: 400+
❤️SINOPSIS:
Satu trend tiktok membawa kepada sebuah perkenalan antara Mia dan Mirza.
Terlanjur terserempak, Mirza terus melamar Mia menjadi teman wanita. Sayangnya Mia menolak.
Mirza tidak berputus asa. Kalau hati Mia susah ditambat, giliran hati ibu ayah Mia pula yang diambil.
Bila peluang sudah di depan mata, Mirza terlambat sesaat.
Sir Rafa, seorang pensyarah yang diam-diam menyimpan perasaan terhadap Mia, membawa rombongan merisik untuk Mia.
Hajatnya hanya satu. Untuk memiliki gadis itu.
Kalau Mirza yang baik pun Mia tolak, apatah lagi Sir Rafa yang dibenci.
Persoalannya, kenapa dia begitu nekad untuk tidak menjalinkan hubungan cinta dengan sesiapa pun?
Di sisi yang lain, Mirza tidak pernah berputus asa mencairkan hati keras milik Mia. Dia sentiasa berada di sisi Mia saat duka atau suka.
Usaha keras Mirza berjaya merobohkan tembok batu yang terbina dalam hati Mia. Personaliti Mirza yang unik mampu menambat hatinya.
Kata putus diberi. Dia tidak lagi takut dengan dunia luar. Kerana Mirza sentiasa ada di sisinya.
Adakah love at first picture itu akan menjadi the eternity love?
❤️TEASER 1:
“Total RM23.30. Awak nak bayar pakai cash atau pakai QR?” Malas dahlah aku nak bersembang dengan dia ni. Tak minat sungguh jenis buaya darat ni.
Tahulah dia handsome tapi janganlah mengaku handsome. Very not demure.
Lama dia merenung aku sehingga aku pula yang naik pelik dengan dia. Telefonnya diangkat paras muka kemudian dia bergilir-gilir memandang skrin telefonnya dan muka aku.
Dia nak scan QR dekat muka aku ke macam mana? Ke dia tak pandai nak pakai QR?
“Kenapa? Tak pandai nak pakai QR ke?” soal aku bila dah terlalu lama dia berkeadaan seperti itu. Nak bayar ke tak ni?
Lama sangat menunggu, aku menyedut air kotak sehingga berbaki suku. Tak apa, aku dah terbiasa berhadapan dengan orang yang tak boleh buat pilihan macam ni.
Lagi pun, pelanggan lain belum kelihatan lagi. Bolehlah aku menunggu dengan sabar.
“Kalau saya bayar pakai ni, boleh?” Mirza menunjukkan skrin telefonnya.
Tatkala mataku hinggap pada skrin itu, aku terbatuk-batuk akibat tersangkut air di kerongkong. Laju aku memusingkan kerusi membelakangi Mirza.
Apakah?!
Mirza ketawa bahagia.
“Tak sangka secepat ni saya jumpa awak,” katanya lagi buatkan aku berpusing semula ke arahnya. Liur aku teguk kesat.
“Jumpa apa?” soal aku selamba. Tangan menolak topi menutupi bahagian muka biar kalau boleh dagu aku je yang dia nampak.
Allahu…
Lain kali jangan di ikut trend yang melibatkan stranger, Mia. Kan dah makan diri. Padan muka! Gatal lagi main phone orang. Lelaki pulak tu!
❤️TEASER 2:
Aku ingatkan selepas dia siap membuat pembayaran, dia akan terus pulang ke rumah tapi lain pula yang jadi.
Dia berjalan ke tepi kedai ini lalu duduk bertenggek di tepi pintu masuk yang aku kunci tadi. Dengan tenang dia membuka plastik chewing gum dan mula mengunyah.
Perbuatannya tidaklah mengganggu aku tetapi kenapa aku rasa begitu terganggu? Sudahlah nanti waktu puncak akan tiba. Ramai budak-budak sekolah akan singgah di sini.
“Kenapa?” Sudahnya aku putuskan untuk bertanya kepada dia yang sedang ralit dengan telefon. Dia terus mengangkat kepala memandang aku lama. Lama sehingga akhirnya dia membuka mulut.
“Saya tengah berfikir ni, macam mana nak tanya soalan yang tiba-tiba dekat orang?” katanya. Telefonnya ditutup lalu dia letakkan di atas riba.
“Awak cakap macam tu pun dah nampak tiber,” balas aku selamba. Tangan sibuk menyusun duit di dalam bekas simpanan duit.
“Itulah. Kalau saya cakap benda yang saya nak cakap ni mesti lagi tiber,” balasnya pula.Seronok dia main tiup buat belon menggunakan chewing gum tu.
“Apa yang awak nak tanya? Awak nak tanya dekat siapa?” soal aku mula melayan.
Tadi menyampah dengan dia yang macam poyo sekarang macam seronok pula. Adalah juga teman untuk aku berborak. Tak adalah mengantuk sangat.
“Saya nak tanya dekat awaklah. Sebab tu asyik berfikir ni nak tanya ke tidak.” Chewing gum itu akhirnya dia ludah ke dalam pembalut semula lalu dicampak masuk ke dalam tong sampah di tepi kaki aku.
Balingan yang tepat. Cantik sampah menjunam masuk ke dalam tong.
Dia letakkan dagu pada pintu yang aku buka separuh itu dan aku pula mendekatkan kerusi kepadanya.
Muka aku dah excited menanti persoalan yang ada di dalam kepalanya. Bersemangat aku mahu menjawab soalan dia.
“Cepatlah tanya. Lebih baik menyesal tanya daripada menyesal tak tanya,” kata aku mengharapkan dia memilih untuk menyoal sahaja soalan yang kononnya sangatlah ‘tiber’ tu.
Mood kepochi aku sudah mula menguasai diri.
“Awak nak jadi girlfriend saya tak?”
“Ha?” Soalannya membuatkan aku melopong. Aku angkat topi di kepala dengan muka tak percaya.
Jari banyak kali tunjuk pada muka aku dan muka Mirza. “Apa dia?” Aku tayang muka terkejut.
“Tengok. Dah awak nak saya tanya, saya tanyalah. Kan tiber tu. Awak pun terkejut,” katanya selamba dengan wajah yang polos.
“Manalah saya tahu awak nak tanya soalan macam tu. Awak pun satu, buang tebiat ke? Kita baru jumpa dan bercakap hari ni tau?” Langsung aku menjarakkan kerusi jauh dari Mirza.
“Saya reject. Depan-depan dah ni saya cakap, saya reject,” ulang aku banyak kali sampai muka dia yang polos tadi terus berubah. Nampak seperti sedang berfikir.
❤️TEASER 3:
“Saya minta maaf pinjam anak dara pakcik sampai lewat malam. Tak minta izin pula tu.” Aku tepuk dahi apabila mendengar ayat yang meluncur keluar dari mulutnya.
“Nasib baik minta maaf. Pakcik baru ingat nak libas pakai batang penyapu tadi. Lepas ni jangan nak keluar berduaan lagi lewat malam. Siang pakcik tak kisah,” kata ayah pula sambil menjauhi Mirza dua tapak.
Mungkin faham dengan Mirza yang tidak tahan dengan asap rokok. Nampak sangat lelaki tinggi lampai ini tak merokok. Sampai berkerut kening dia sedaya upaya menahan nafas. Kadang kala aku nampak dia mencuri nafas kemudian berdehem sedikit.
“Muka macam nak mati dah ni bau asap rokok. Pergi balik sana.” Halau aku sebaik tiba di hadapan mereka. Aku yang juga tidak tahan dengan asap rokok terus menutup hidung dengan hujung tudung.
“Haih, kakak. Tak baik halau orang.” Usai ayah berkata begitu, kepala aku selamat dicepuk oleh ayah di hadapan Mirza.
“Aduh!” Mirza mengemam bibir menyembunyikan tawa.
Tak ramah punya ayah. Memang sungguh gangster rupanya ayah ni.
“Dah tu?” tanya aku tidak berpuas hati. Kepala yang terasa berbisa digosok perlahan.
“Nama siapa ni?” soal ayah tanpa menghiraukan aku. Terpinggir pula rasa.
“Panggil Mirza je pakcik,” jawab Mirza sopan.
“Mirza yang baru pindah tu ya?” Mirza angguk laju.
Rokok yang sudah separuh terbakar, ayah letakkan di sisi peha sahaja sambil bersembang ringkas.
“Esok kalau sudi, jemputlah datang breakfast sekali dekat sini. Boleh berkenalan lebih lagi. Malam ni kesian pula nak ajak kenal-kenal. Nampak sangat Mirza tak biasa dengan asap rokok ni,” pelawa ayah.
Bercahaya muka Mirza apabila mendapat jemputan dari ayah aku. Betullah orang kata, sedekah itu mampu membuka lebih banyak pintu rezeki. Tiada yang rugi pun apabila bersedekah.
Tadi dia belanja aku makan. Sekarang ayah dah ajak dia makan pagi di rumah esok. Murah sungguh rezeki Mirza.
“InshaAllah, boleh pakcik. Terima kasih. Dah lewat sangat dah ni. Saya minta diri dulu, pakcik. Assalamualaikum,” pamit Mirza sambil mengundur. Nampak tergesa-gesa. Mesti dah tak mampu nak tahan nafas.
“Ya la, waalaikumussalam. Hati-hati, lorong gelap ni.” Dan Mirza pun hilang di sebalik kegelapan malam.
❤️TEASER 4:
“Kakak, duduk sini.” Langkah perlahan yang aku atur mahu keluar dari ruang tamu terhenti.
Sekilas aku angkat pandang. Berderau darah aku apabila melihat pemilik tubuh yang duduk berhadapan denganku. Senyum sinis terukir di wajahnya.
"Kakak kenal tak ni siapa?"
Aku mengangguk. "Sir Rafa..." jawabku separa berbisik namun tetap sampai di pendengaran ayah.
"Amboi malu dia. Tak terkeluar suaranya." Kata-kata ayah disambut dengan ketawa lucu oleh mereka semua. Sir Rafa turut tidak ketinggalan tersengih seperti kerang busuk.
Bagaimana bisa ayah masih boleh melakukan jenaka sedangkan aku di sini sudah mula dipanggang punggung?
“Ayah, kakak nak masuk dapurlah.” Aku berbisik di tepi telinga ayah.
“Duduk dulu… dengar apa yang mereka nak katakan.” Ayah menahan lengan aku agar aku tidak berganjak dari kerusi itu.
“Beginilah, sebenarnya kami ni ada hajat besar..." Ayah kepada Sir Rafa mula melontar bicara ke arah tujuan utama.
"Beginilah, sebenarnya kami ke mari sebab kumbang di rumah kami ni…” Ayah Sir Rafa menepuk bahu Sir Rafa mengusik. “…berkenan sungguh dengan bunga di taman tuan..." Ayatnya terhenti seketika. Semua mata memandang ke arahku.
Kumbang bunga apa pulak ni? Biasanya ayat macam ni muncul bila nak... Eh? Jantung aku berdegup kencang.
Jadi tak senang duduk pula aku. Apatah lagi bila aku menangkap senyuman Sir Rafa yang tak ubah seperti kerang busuk itu. Matanya pula meliar ke segenap tubuhku bagai.
"Jadi kami datang ni nak tahulah, boleh ke kami petik bunga tu? Andai kata bunga tu sudah menjadi milik orang, kami minta maaflah atas kelancangan kami." Mukaddimah ayah Sir Rafa bikin aku kejung.
“Bagi pihak anak dara saya yang tengah terkejut ni, biar saya sahaja yang tolong jawabkan.” Aku hembus nafas lega. Nasib baik ayah memahami aku.
“Dia masih belum berpunya tapi nampak gaya macam sedang mengenali seseorang.” Tenang ayah menjawab tetapi aku pula yang tersedak air liur dengan kuat.
Bila masa pula aku dalam fasa berkenalan dengan seseorang?!
Tiba-tiba muka Mirza datang menjengah ke segenap ruang fikiran aku.