APA ITU AKAUNTABILITI GURU ?
Menjadi seorang guru adalah sebuah profesion yang dipandang tinggi dan mulia. Profesion ini adalah sebuah profesion yang penuh tanggungjawab. Menurut Ahmad Sarji, akauntabiliti adalah sebuah bentuk obligasi dalam memberikan jawapan (pembuktian) terhadap sebuah tindakan dan keputusan yang telah diambil. Dalam hal ini, seseorang guru harus menyatakan hujahan terhdap sebuah keputusan yang diambil bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang guru di dalam profesion keguruan. Kesedaran dalam menjaga dan bertanggungjawab dalam akauntabiliti guru perlu dilakukan dalam setiap warga pendidik agar mereka akan dapat menyemai sifat tersebut ketika berada dalam profesion keguruan.
Menurut Kamus Dewan, ’profesion’ membawa maksud sebuah pekerjaan yang memerlukan latihan yang khas, dan pendidikan, kecekapan, kemahiran yang tinggi. Profesion juga membawa maksud sebuah pekerjaan yang berkaitan dengan peranan, tugas, tanggungjawab, sifat dan kualiti guru. Ia juga merupakan satu pekerjaan yang membawa bersama tanggungjawab, integriti dan akauntabiliti terhadap diri sendiri, pelajar, ibu bapa, rakan sejawat dan masyarakat. Dalam hal ini, profesion dapat disimpulkan merupakan sebuah pekerjaan yang memerlukan sebuah kecekapan dan kemahiran yang tinggi yang perlu dipikul dengan tanggungjawab termasuk integriti dan akauntibiliti.
Ini dapat dilihat bahawa pekerjaan sebagai seorang guru adalah sebuah pekerjaan yang memerlukan sebuah kemahiran dan tanggungjawab yang tinggi. Sifat tanggungjawab tersebut harus berlandaskan prinsip akauntabiliti bagi setiap warga pendidik. Setiap warga pendidik harus menghayati dan mengamalkan prinsip akauntabiliti supaya mereka dapat mencapai sebuah profesionalisme keguruan. Hal ini penting supaya seorang guru itu dipercayai, dihormati dan disanjungi oleh masyarakat.