PEDAGOGI DAN PENGAJARAN SEJARAH ALAF BARU (KAPASITI PEDAGOGI PEMBELAJARAN BERMAKNA)
Sistem pendidikan negara berubah mengikut peredaran zaman. Negara menyaksikan perubahan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Jika dahulu pendidikan dan kaedah pengajaran hanya berpusat kepada guru, tetapi kini tidak lagi sebegitu. Hal ini dapat dilihat apabila negara mula mempraktikan Deep Learning atau lebih dikenali sebagai Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB). KPPB menggariskan enam aspirasi sebagai tunjang utama bagi melahirkan murid yang berkualiti. Enam tunjang tersebut ialah sahsiah, kreativiti, kolaboratif, kewarganegaraan, pemikiran kritis dan komunikasi yang dapat melahirkan murid yang berfikiran kreatif. Terdapat beberapa implikasi pelaksanaan KPPB dalam pemikiran kreatif murid.
Antara implikasi dari segi kompetensi pemikiran kreatif terhadap murid ialah murid dapat membina sebuah aspirasi dalam pembelajaran mereka. Aspirasi tersebut dapat dibentuk apabila guru melaksanakan pendekatan KPPB dalam PdP mereka. Dalam aspirasi ini, murid diberi peluang dan motivasi dalam berkarya secara kreatif terhadap isi pembelajaran. Seperti yang diketahui, elemen KPPB menganjuran pedagogi merentasi kurikulum bagi membina aspirasi murid yang kreatif. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Sejarah Tahun 4 dengan Standard Kandungan (SP) K.4.1.4 Menghuraikan kegiatan ekonomi Kerajaan Melayu Awal di Kepulauan Melayu dan Seni Tahun 4 dengan SP 1.1.2 Mengenal pasti dan membanding beza bahasa seni visual yang ada pada karya dalam bidang membuat corak dan rekaan: (ii) stensilan, murid dapat menghasilkan karya stensil tetapi dengan contoh kegiatan ekonomi kerajaan Melayu Awal. Dengan ini, murid dapat membina sebuah aspirasi yang kreatif dalam hasil karya mereka.
Selain itu, murid juga dapat membina sebuah perhubungan dalam pembelajaran mereka. Aspek perhubungan juga merupakan aspek penting dalam KPPB. Proses PdP tidak hanya menyampaikan ilmu dari guru kepada murid. Tetapi lebih daripada itu. Sebuah perhubungan dapat dibina antara murid dengan pihak yang terlibat. Misalnya, dalam PdP mata pelajaran Sejarah Tahun 4 dan Seni Tahun 4 itu tadi, murid dapat membina sebuah perhubungan dengan guru. Murid akan bertanyakan soalan kepada guru bagaimana cara untuk menghasilkan stensil dan begitu juga sebaliknya. Guru akan berkomunikasi dengan murid untuk memberi penerangan dan bimbingan mengenai bagaimana cara untuk menghasilkan karya stensil dalam topik sejarah. Hubungan juga dapat dibina antara guru dengan ibu bapa, serta ibu bapa dan murid terutama dari segi aspek untuk mendapatkan bahan penghasilkan karya stensil. Ini menunjukkan bahawa wujud sebuah perhubungan antara murid dengan pelbagai pihak.
Di samping itu, murid juga dapat belajar cara belajar apabila PdP melalui KPPB dilaksanakan. Belajar tidak hanya bergantung kepada buku teks semata-mata. Belajar juga tidak hanya bergantung kepada penerangan guru semata-mata. Dalam KPPB di era ini, murid dapat melakukan suatu anjakan baharu dalam memperoleh maklumat dari topik pembelajaran mereka. Hal ini dapat dilihat jika murid ingin mendapatkan maklumat tentang tajuk kegiatan ekonomi Kerajaan Melayu Awal misalnya, murid dapat mencari maklumat awal melalui internet, video dan sumber-sumber lain selain daripada buku teks. Dengan cara ini, murid dapat belajar cara belajar terutama terhadap perkara-perkara baharu.
Dalam pada itu, murid juga dapat mewujudkan sebuah Kerjasama atau kolaboratif dalam pembelajaran mereka. KPPB menekankan aspek Kerjasama atau kolaboratif bagi menjadikan murid berfikiran kritikal. Pembelajaran secara kolaboratif sangat ditekankan kerana akan wujud sebuah Kerjasama jitu antara seorang murid dengan murid yang lain. Misalnya, dalam penghasilkan karja seni stensil mengenai contoh-contoh kegiatan ekonomi kerajaan Melayu Awal seperti yang dibincangkan, murid dapat membina sebuah Kerjasama dengan murid yang lain apabila aktiviti penghasilan karya tersebut dilaksanakan secara berkumpulan. Pembelajaran secara kolaboratif dapat menghasilkan sebuah produk yang sangat berkualiti berbanding jika murid menjalankannnya secara berseorang. Unsur kolaboratif akan menjadikan idea dapat disumbang dengan banyak dan percambahan ilmu akan muncul dengan murid yang lain apabila digabungkan. Maka, murid dapat menghasilkan karya stensil kerajaan Melayu Awal dengan terbaik dan kreatif kerana mengambil kira unsur kolaboratif atau Kerjasama.
Di samping itu, murid juga dapat membina sahsiah apabila pembelajaran dilakukan dengan bermakna. Nilai yang terkandung dalam sesebuah isi pembelajaran tidaklah hanya terhenti di dalam kelas. KPPB menitik beratkan setiap isi pembelajaran akan dapat mewujudkan sahsiah diri murid di luar bilik darjah dan dijadikan sebagai pedoman pada masa akan datang serta dapat mengaplikasikannya pada generasi yang akan datang. Misalnya, apabila murid belajar kegiatan ekonomi kerajaan Melayu Awal, murid dapat mengenalpasti dan menganalisis bahawa kegiatan ekonomi pada masa kini amat berbeza pada zaman awal kerajaan Melayu. Dari situ, murid akan dapat menghargai sejarah dan menjadikan kesusahan masyarakat zaman dahulu sebagai tauladan dan memberikan sebuah rasa kesyukuran di atas nikmat menjalani kehidupan masa kini. Dari sini, kita dapat membina sahsiah murid yang menghargai nilai, bersyukur dan sebagainya.
Sebagai kesimpulan, KPPB sememangnya sangat tepat dilaksanakan pada masa kini. Murid perlu dan layak untuk mendapatkan pendidikan dan pembelajaran yang bermakna tidak hanya penyampaian ilmu di dalam kelas semata-mata. Pelaksanaan KPPB di peringkat awal akan menjadikan murid bersedia untuk menempuh cabaran baharu pada masa akan datang. Hal ini akan dapat melahirkan sebuah murid yang berkualiti dan berpemikiran kreatif dan kritis. Hal ini akan menjadikan Malaysia dapat melahirkan bangsa yang maju dan terkehadapan.