Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam
Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam merupakan nama khusus bagi pegawai yang dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sekerja sepertimana dikehendaki dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005. Rakan Pembimbing merupakan agen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja kelas pertama dalam perkhidmatan awam. Ia diwujudkan dengan objektif bagi menyediakan perantaraan untuk memberi peluang pegawai berfungsi secara efektif dalam usaha membantu Pengurus Sumber Manusia di agensi. Di samping itu, Rakan Pembimbing juga bervisi menjadi penyumbang kepada usaha modal insan dalam Pengurusan Sumber Manusia.
AKRAB (dahulunya dikenali sebagai AKRAM) membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Mulia merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing. Tanpa ciri-ciri tersebut, peranan seseorang dalam menjalankan fungsi rakan pembimbing kurang berkesan. AKRAB juga merupakan penjenamaan semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan pembimbing di agensi. Ini bermakna, di dalam perkhidmatan awam, pegawai yang memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya akan dikenali sebagai AKRAB.
Maklumat Korporat AKRAB
Visi
AKRAB sebagai agen penggerak pembangunan modal insan dalam pengurusan sumber manusia.
Misi
Memberi perkhidmatan bimbingan yang berkesan
Objektif
Menyampaikan perkhidmatan membimbing berpandukan kod etika AKRAB.
Menjadi perantara kepada pegawai psikologi, penyelia dan ketua jabatan dalam organisasi.
Membantu pegawai ke arah kesejahteraan psikologi.
Menjadi agen perubahan di dalam organisasi.
Motto
“Berkhidmat Membimbing”
Falsafah
Sebagai ahli AKRAB, anda perlu sentiasa menghayati falsafah AKRAB iaitu : “Bantu Diri Untuk Membantu Rakan Lain”. Dalam usaha membantu rakan, anda mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk mempertingkatkan diri dari segi ilmu pengetahuan, tingkah laku, perhubungan, kreativiti dan nilai diri.
Prinsip
Bersedia dan rela membantu rakan yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan, perlakuan dan fizikal.
Peranan
Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling;
Memberi sokongan kepada perubahan yang lebih baik;
Sumber kepada rakan untuk berkongsi permasalahan; dan
Memperkuatkan semangat rakan yang ingin berubah.
Etika
Amanah dan menyimpan rahsia;
Menerima dan menghormati orang lain;
Memahami batasan dan keupayaan diri;
Sentiasa berusaha mempertingkatkan kemahiran daripada pelbagai aspek;
Melaporkan kepada kaunselor tentang kes yang boleh merosakkan diri dan orang lain;
Merujuk kes/permasalahan yang rumit kepada pegawai psikologi; dan
Memahami peraturan dan etika perkhidmatan awam.