Faedah penubuhan AKRAB di organisasi boleh dilihat dari segi hasil kerja atau produktiviti pegawai atau pengamalan budaya kerja sesuatu organisasi. Impak penubuhan AKRAB dalam sesebuah organisasi memerlukan suatu jangka masa yang agak panjang untuk dilihat hasilnya. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian dan matlamat penubuhan AKRAB, ia mampu untuk;
Mewujudkan pegawai yang bersedia untuk melakukan transformasi.
Membantu dan mencipta suasana kerja yang harmoni.
Membantu mengurangkan masalah kerja yang ditanggung oleh pegawai.
Meningkatkan sifat empati dikalangan warga organisasi.
Seorang ahli AKRAB perlulah melengkapkan diri dan memberikan perhatian kepada aspek integriti, etika dan moral dalam menjalankan peranan sebagai ahli AKRAB.
Untuk menjadi contoh teladan kepada rakan sekerja yang lain, kompetensi peribadi haruslah berteraskan kepada keselarasan prinsip mengenai apa yang dikatakan dengan apa yang dilakukan. Lima ciri amalan yang boleh meningkatkan kompetensi peribadi adalah seperti yang ditunjukkan di bawah:
AKRAB A: AMANAH K: KOMITMEN R: RASIONAL A: AKHLAK B: BESTARI
AKRAB – Amanah
Tugas memikul amanah yang cukup berat kerana melibatkan rahsia dan maruah diri pegawai yang dibantu;
Amanah ini perlu dipegang demi menjamin keprofesionalan dalam melaksanakan tugas serta menjaga kelangsungan perkhidmatan yang diberi; dan.
Kepercayaan pada diri Rakan Pembimbing dan peranannya banyak bergantung kepada sejauh mana Rakan Pembimbing itu dapat menjaga dan menggalas amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
AKRAB – Komitmen
Menjaga amanah dan melaksanakan peranan pembimbing memerlukan komitmen yang jitu dan daya usaha yang bersungguh-sungguh;
Tanpa komitmen, Rakan Pembimbing pastinya merasa tertekan, keliru dan terbeban dengan tugas-tugas harian serta peranan sebagai Rakan Pembimbing; dan.
Komitmen yang tinggi, pembahagian masa, tenaga dan usaha dapat dilakukan bagi memastikan peranan sebagai pembimbing mampu dilaksanakan.
AKRAB – Rasional
Rakan Pembimbing perlu rasional dengan berpegang kepada konsep penerimaan tanpa syarat semasa berperanan sebagai Rakan Pembimbing; dan.
Ini penting supaya setiap pegawai yang memerlukan bantuan tidak dilabel dan diberikan tanggapan negative sebelum mereka diberikan bimbingan.
AKRAB – Akhlak
Bagi memastikan peranan sebagai Rakan Pembimbing berkesan dan mencapai objektif, setiap Rakan Pembimbing perlu menyediakan diri dengan akhlak yang mulia;
Akhlak sebagai Rakan Pembimbing seperti menepati masa, berakauntabiliti, berpegang pada janji, menghormati hak diri dan orang lain dan tidak mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain perlu ada pada diri setiap Rakan Pembimbing;
Akhlak mulia ini seharusnya bukan sahaja pada kata-kata tetapi juga pengamalan dan sebati dalam diri Rakan Pembimbing itu sendiri; dan.
Penampilan diri dan akhlak mulia yang dipamerkan boleh menambahkan rasa percaya orang lain terhadap diri Rakan Pembimbing dan perkhidmatan yang diberi.
AKRAB – Bestari
Tugas membantu dan membimbing merupakan amalan mulia yang perlu ada pada semua insan;
Meningkatkan rasa insaf dan kesedaran kendiri yang tinggi; dan.
Menimbulkan kekuatan dalaman yang sangat membantu dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja yang tinggi.
Kerahsiaan
Segala maklumat yang diceritakan kepada AKRAB adalah selamat dan tidak akan dibocorkan kepada orang lain. Maklumat hanya boleh diceritakan kepada pihak lain yang berkepentingan jika dapat membantu dengan syarat mendapat kebenaran rakan tersebut untuk maklumat tersebut diceritakan kepada pihak berkenaan.
Tidak Mengambil Kesempatan
Tidak akan mengambil kesempatan terhadap rakan yang meluahkan isi hati dan tidak akan bersikap “menangguk di air yang keruh”.
Bersikap Terbuka
Menerima semua rakan secara terbuka dan menerima persahabatan tanpa syarat serta tidak pilih kasih dalam menawarkan perkhidmatan menolong. Bersedia menerima teguran, pendapat dan pandangan orang lain terhadap sesuatu isu secara terbuka dan rasional.
Membimbing Rakan Hidup Berdikari
Tidak akan menggalakkan rakan yang dibimbing untuk sentiasa bergantung kepada Ahli AKRAB. Rakan tersebut seharusnya dibimbing ke arah hidup berdikari dan boleh membuat keputusan sendri serta bertanggungjawab terhadap keputusannya.
Mengekalkan Matlamat AKRAB
Sentiasa untuk menyumbang dan daya tindak kesukarelaan yang tinggi dalam organisasi.
Merujuk Kepada Rakan Pembimbing
Sentiasa menyedari keupayaan dan kemampuan dirinya untuk membimbing rakan. Ahli AKRAB yang berkenaan akan membuat rujukan kepada orang lain yang dapat membimbing rakannya dengan lebih berkesan jika beliau tidak mampu lagi membimbing rakannya. Jika rakannya tidak mahu dirujukkan kepada Ahli AKRAB yang lain, beliau haruslah menjelaskan limatasi dan kemampuan dirinya.
Mengimbang Keperluan
Harus menyedari keperluan diri, organisasi dan komuniti supaya dapat mengisi keperluan tersebut dengan seimbang. Boleh membahagikan masa dengan adil dan tepat dalam khidmat menolong dan dalam masa yang sama tidak terjejas kerja-kerja hakiki di jabatan.