Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAB merupakan nama khusus bagi pegawai yang ditauliahkan sebagai ahli AKRAB setelah berjaya mengikuti Program Peningkatan Kemahiran Asas Kaunseling (PPKK) atau Pra AKRAB sebanyak 2 tahap.
Ahli AKRAB telah dilatih dengan kemahiran menolong seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 tahun 2005 iaitu mengenai Aplikasi Psikologi dalam pengurusan sumber manusia sektor awam.
Perkataan AKRAB adalah merupakan gabungan ciri-ciri utama yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing iaitu Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari.
AKRAB juga berkonsepkan rakan membantu rakan dengan memupuk semangat berpasukan, keakraban dan keharmonian dikalangan warga kerja masing-masing.
Ianya juga merupakan kelompok sokongan yang menekankan hubungan humanistik. Sehubungan itu, kemantapan sesuatu organisasi banyak bergantung kepada komitmen dan sumbangan kepakaran daripada ahlinya. Ini adalah kerana tanpa komitmen, Rakan Pembimbing pastinya berasa tertekan, keliru dan terbeban dengan tugas-tugas harian serta peranan sebagai rakan pembimbing.
Pembentukan AKRAB dalam organisasi adalah diharapkan dapat membantu pembentukan kelompok pekerja yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap organisasi serta membantu pihak Kerajaan dalam melaksanakan program transformasi. Ahli AKRAB boleh dilatih menjadi agen transformasi kepada rakan sekerja di sesebuah Jabatan untuk menjadi pekerja contoh yang baik kepada rakan sekerja yang lain.