PEMAKLUMAN PELAKSANAAN PROGRAM PEMBANGUNAN SISWA SULUNG UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
Ruj Kami: JPT(BHEPP)1000/016/018/01 Jld.16(43)
Tarikh: 5 September 2024
LATAR BELAKANG
YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi semasa Majlis Penutup Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada 4 Jun 2023 yang lalu, telah mengumumkan pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 2.0 bermula sesi akademik 2023/2024. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mensasarkan 10,000 orang pelajar yang mendapat manfaat di bawah Program SULONG 2.0 pada satu-satu masa bagi setiap sesi akademik.
Usaha meningkatkan akses dan enrolmen pendidikan tinggi khususnya kepada kumpulan sasaran merupakan salah satu tumpuan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). Perkara ini adalah sejajar dengan sasaran mewujudkan jaminan akses pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama seperti yang ditetapkan menerusi Goal 4: Quality Education di bawah United Nations’ Sustainable Development Goals (SDGs).
Dalam usaha mencapai aspirasi nasional dan global tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Program SULUNG bagi menyediakan peluang menyambung pengajian dan pembiayaan pendidikan kepada pelajar kategori B40 yang belum ada ahli keluarganya melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Program ini telah dilaksanakan secara rintis oleh KPT mulai Sesi Akademik 2022/2023 yang melibatkan seramai 75 orang pelajar dan lapan buah UA.
Kohort Pertama (1) Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) terdiri daripada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang, perakaunan dan perniagaan serta Teaching English as a Second Language (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Mengambil kira pertimbangan kemampanan kewangan jangka masa panjang dan potensi perluasan program ini kepada lebih ramai pelajar, KPT telah menambah baik kaedah pelaksanaan SULUNG bermula Sesi Akademik 2023/2024. Dalam konteks ini, program berkenaan dijenamakan semula kepada SULUNG 2.0. Ia juga telah diperluaskan kepada 10,000 orang pelajar daripada semua bidang pengajian dan melibatkan kesemua 20 UA. Pada masa yang sama, model pendanaan program yang lebih mapan turut diperkenalkan bagi menampung kos pelaksanaan program.
PELAKSANAAN PROGRAM PEMBANGUNAN SISWA SULUNG 3.0 (SULUNG 3.0)
Mesyuarat Pengurusan Tertinggi pada 29 Ogos 2024 yang dipengerusikan oleh Ybhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan cadangan mekanisma Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 (Sulung 3.0) yang akan bermula pada sesi akademik 2024/2025.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan 2,500 orang pelajar kategori Baharu (tahun pertama pengajian)dari pelbagai bidang pengajian yang mendapat manfaat di bawah Program SULUNG 3.0 pada satu-satu masa bagi setiap sesi akademik.