MANFAAT PROGRAM
Terdapat tiga (3) manfaat yang disediakan kepada Siswa SULUNG di bawah program ini seperti berikut:
Manfaat 1: Laluan Khas SULUNG bagi Pelajar Baharu Sesi Kemasukan Akademik.
Manfaat 2: Pengecualian Yuran Universiti (kecuali Yuran Penginapan); dan
Manfaat 3: Program Pembangunan Insaniah serta Sokongan Akademik dan Kaunseling.
MANFAAT 1: LALUAN KHAS SULUNG BAGI PELAJAR BAHARU SESI KEMASUKAN AKADEMIK
Manfaat 1 meliputi keistimewaan yang diberikan kepada Siswa SULUNG untuk diterima menyertai Program Pembangunan Siswa Sulung adalah seperti berikut:
Laluan Khas SULUNG dari Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), JPT yang mana data calon Siswa Sulung akan diperoleh daripada sistem UPU Online;
Keluarga B40 yang berdaftar dengan sistem eKasih;
MANFAAT 2: PENGECUALIAN YURAN UNIVERSITI (KECUALI YURAN PENGINAPAN) BERMULA DARI SEMESTER YANG DITAWARKAN
Manfaat 2 meliputi keistimewaan pengecualian yuran universiti yang dberikan oleh UA kepada Siswa SULUNG.
Siswa SULUNG akan dikecualikan sepenuhnya yuran universiti sepanjang tempoh melanjutkan pelajaran meliputi yuran berulang pada setiap semester serta yuran tidak berulang/ one-off yang dikenakan sekali sahaja kepada pelajar sepanjang tempoh pengajian tetapi tidak termasuk yuran penginapan, kos sara diri serta lain-lain yuran/ bayaran yang dikenakan oleh agensi luar ke atas seorang pelajar.
Yuran berulang pada setiap semester antaranya termasuklah yuran pengajian, yuran perkhidmatan, yuran perpustakaan, yuran kegiatan/ aktiviti pelajar, yuran kebajikan, yuran makmal/ bengkel dan lain-lain yuran universiti mengikut ketetapan UA masing-masing.
Yuran tidak berulang/ one-off yang dikenakan sekali sahaja kepada pelajar sepanjang tempoh pengajian antaranya termasuklah yuran pendaftaran, yuran minggu orientasi, yuran konvokesyen, yuran kad matrik, yuran alumni dan lain-lain lagi mengikut ketetapan UA masing-masing.
Pelajar boleh mendapatkan lain-lain pembiayaan kewangan seperti pinjaman pendidikan, dermasiswa, bantuan zakat atau mana-mana pembiayaan yang ada untuk membiayai kos penginapan dan sara diri mereka dengan bantuan UA masing-masing.
Penerima biasiswa penuh pengajian daripada mana-mana pihak serta penerima tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menampung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang akan/sedang diikuti di UA tidak layak diterima sebagai Siswa SULUNG.
MANFAAT 3: PEMBANGUNAN INSANIAH SERTA SOKONGAN AKADEMIK DAN KAUNSELING
Manfaat 3 meliputi pelaksanaan Program Pembangunan Insaniah serta pemberian Sokongan Akademik dan Kaunseling ke atas Siswa SULUNG yang turut melibatkan program kepada Pembimbing SULUNG yang terdiri daripada pembimbing akademik SULUNG dan kaunselor.
Pelaksanaan program pembangunan insaniah bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang holistik dan berkualiti, memiliki kecemerlangan ilmu, kemahiran kreatif dan inovatif, berdaya saing, bersifat murni serta berminda kelas pertama dan mampu berdaya saing di peringkat global.
Program Pembangunan Insaniah Siswa SULUNG
Dua (2) bentuk Program Pembangunan Insaniah yang perlu dilaksanakan oleh setiap UA seperti berikut:
Program Unggul Siswa SULUNG
(a) Merupakan program pembinaan kecemerlangan dan kepimpinan mahasiswa yang bertujuan untuk membentuk dan melahirkan pemimpin mahasiswa yang berwibawa, berketerampilan dan daya usahawan.
(b) Objektif program adalah untuk:
1) Memupuk semangat jati diri dan pembinaan sahsiah mahasiswa;
2) Membentuk mahasiswa yang berperibadi unggul, berdaya tahan dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi; dan
3) Melahirkan mahasiswa yang kompeten dalam membuat keputusan.
Program Berasaskan Konsep J.E.R.I.S
(a) Merupakan program-program yang berasaskan konsep JERIS yang dilaksanakan di IPT masing-masing.
(b) Konsep JERIS merujuk kepada elemen-elemen pembangunan modal insan yang seimbang dan harmoni dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial.
Pembimbing SULUNG
Di bawah Manfaat 3 juga, pelajar akan menerima bantuan/ sokongan melalui Pembimbing SULUNG yang dilantik oleh UA iaitu:
(i) Kaunselor
(ii) Penasihat Akademik