SYARAT TAWARAN PROGRAM PEMBANGUNAN SISWA SULUNG
Dengan penerimaan tawaran ini, anda mengesahkan anda adalah anak pertama dalam keluarga yang memasuki UNIVERSITI dan anda perlu mengikuti program pengajian yang telah ditawarkan oleh universiti tersebut. Sekiranya anda menarik diri daripada program pengajian tersebut, penyertaan anda dalam SULUNG ini boleh ditamatkan serta merta.
Anda tidak boleh menukar program pengajian dan/atau universiti awam yang telah diluluskan ke mana-mana institusi pendidikan tinggi yang lain tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada UNIVERSITI.
Anda juga tidak dibenarkan untuk menerima sebarang biasiswa penuh daripada mana-mana penaja lain, sama ada badan KERAJAAN atau bukan KERAJAAN serta tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas Akuan Penerimaan SULUNG ditandatangani. Sekiranya anda menerima mana-mana biasiswa penuh daripada mana-mana penaja lain, anda hendaklah mengisytiharkan kepada UNIVERSITI akan hal yang tersebut dan memaklumkan pilihan tajaan.
Anda dikehendaki menamatkan program pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Sekiranya anda tidak dapat menamatkan program pengajian dalam tempoh tersebut, UNIVERSITI tidak akan membiayai sebarang perbelanjaan yang melebihi tempoh yang telah ditetapkan.
UNIVERSITI berhak untuk menarik balik penyertaan anda dalam SULUNG ini dengan serta merta sekiranya anda didapati memberi maklumat palsu atau mengemukakan dokumen sokongan yang tidak sah/tidak benar dalam Akuan Penerimaan SULUNG, atau anda telah hilang kelayakan untuk mendapat tawaran SULUNG.
Manfaat yang diterima di bawah SULUNG ini akan dihentikan sekiranya anda ditamatkan program pengajian oleh pihak universiti, dikenakan tindakan tatatertib yang dianggap berat oleh UNIVERSITI, meninggal dunia, hilang upaya secara kekal, muflis atau disahkan tidak siuman oleh pakar perubatan yang bertauliah.
Anda dikehendaki untuk memastikan prestasi akademik anda sekurang-kurangnya GPA 2.0 setiap semester.
Anda dikehendaki untuk mengikuti segala program berkaitan Pembangunan Siswa Sulung yang dianjurkan oleh pihak UNIVERSITI sekurang-kurangnya satu (1) kali setiap semester. UNIVERSITI berhak membatalkan penyertaan anda dalam Sulung sekiranya didapati alasan yang diberikan tidak munasabah seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung UiTM.