PANDUAN AM
Secara amnya, permohonan ini perlu dikemukakan melalui Pharmacy Information System (PhIS) kecuali bagi kes-kes tertentu yang memerlukan permohonan secara manual (rujuk Lampiran 2, 3, 4 dan 6).
Panduan am pengisian permohonan adalah seperti berikut:

Permohonan UKK termasuk permohonan secara stok perlu dibuat oleh pakar / doktor yang merawat pesakit / bertanggungjawab dan memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan.
Secara amnya, kuantiti ubat yang dimohon adalah tidak melebihi tempoh rawatan untuk 12 bulan. Namun bagi rawatan kanser, kuantiti ubat yang disarankan adalah tidak melebihi 6 bulan. Laporan justifikasi permohonan perlu dilampirkan bagi kesemua kategori permohonan baharu (rujuk Lampiran 5) disertai dengan sebut harga ubat yang terkini.
Penggunaan ubat-ubatan yang berdaftar dan tersenarai dalam FUKKM tetapi dengan indikasi luar FUKKM untuk kes kecemasan boleh dipertimbangkan di peringkat Jawatankuasa Ubat dan Terapeutik (JKUT) di fasiliti masing-masing, berdasarkan bukti-bukti klinikal yang kukuh. Prosedur pelaksanaan adalah berdasarkan Tatacara Pengendalian Mesyuarat JKUT di Fasiliti KKM yang terkini. Permohonan UKK untuk penggunaan ubat-ubatan berdaftar yang disenaraikan dalam FUKKM bagi kes kecemasan masih perlu dikemukakan kecuali bagi penggunaan secara stat dose.
Pakar perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan Ubat Kelulusan Khas dengan memastikan pesakit diberikan penerangan yang secukupnya serta melengkapkan Borang Keizinan Pesakit, sekiranya berkenaan.
Bagi ubat yang tidak berdaftar dengan PBKD, sebut harga perlu disertakan dengan maklumat nama pengilang, negara pengeluar dan syarikat pengimport. Tempoh sah bagi kelulusan pengecualian untuk mengimport ubat tidak berdaftar adalah terhad kepada maksimum satu tahun sahaja dan terbatal dengan serta-merta apabila ubat berdaftar telah berada di pasaran Malaysia. Pemohon perlu memulangkan dokumen pengecualian asal dan menghantar sesalinan borang import Kastam kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM dalam tempoh 30 hari setelah tamat tempoh sah pengecualian / selesai pengimportan / tiada lagi keperluan untuk mengimport ubat berkenaan.
Pengecualian daripada keperluan untuk mengemukakan permohonan UKK bagi ubat tertentu adalah tertakluk kepada sebarang keputusan semasa.
Proses kerja permohonan Ubat Kelulusan Khas boleh dirujuk pada Carta Alir 1.