Oleh: AFIQAH HUSSAIN
Dipetik daripada Berita Harian, 19 Disember 2019
Dalam kalangan sekitar 13,700 pelajar yang mengambil keputusan Peperiksaan GCE Peringkat 'N', pencapaian seorang anak Melayu ini mungkin akan meniup inspirasi kepada ramai.
Seperti pelajar lain, Afiqah Samir Basrawi dari Sekolah Menengah St. Margaret's, berdebar-debar ketika menunggu untuk mengambil keputusannnya. Mentelah lagi, ini kali kedua beliau berkumpul di dewan sekolah untuk mendapatkan kertas keputusan peperiksaan.
Tahun lalu, dek cemerlang dalam mata pelajaran Inggeris, Aplikasi Komputer dan Sains bagi peperiksaan Normal (Teknikal), Afiqah layak ke aliran Normal Akademik. Beliau merebut peluang menjadi seorang pelajar Menengah 4 buat setahun lagi, kerana benar-benar ingin menceburi bidang psikologi di politeknik.
Walau bagaimanapun, di bawah kurikulum Normal Akademik, Afiqah perlu mengambil subjek ilmu kemanusiaan yang tidak pernah diduduki sebelumnya. Beliau gagahkan diri, gigih mengulang kaji dan rajin bertanya dengan guru setiap kali bertemu jalan buntu.
Berkat usaha gigihnya itu, Afiqah sekali lagi cemerlang dalam peperiksaan. Beliau malah mendapat gred 1 bagi subjek ilmu kemanusiaan walaupun hanya mendapat pendedahan kepada subjek itu selama setahun.
Semasa ditemui BERITAmediacorp, gadis itu dengan rendah diri berkata pencapaiannya "melebihi apa yang dijangkakan". Ini termasuk bagi subjek bahasa Mandarin. Afiqah sering kali 'terkial-kial' bagi subjek bahasa Ibunda itu tetapi keputusan peperiksaan nasional bagi mata pelajaran itu juga "memuaskan".
Anak kedua dua beradik itu juga seorang pelajar yang aktif dalam Kegiatan Ko-Kurrikular (CCA). Pelibatan aktif dalam Tarian Melayu membuatnya terpilih sebagai Ketua Teknik Tarian Melayu di mana beliau memikul tanggungjawab untuk mereka tari bagi rakan-rakan lain. Bukan itu sahaja, beliau terlibat dalam pelbagai persembahan seperti dalam Festival Belia Singapura pada 2017 dan 2019.
Ditanya bagaimana beliau masih sempat melibatkan diri dalam tarian, Afiqah berkata beliau menjadikan CCA sebagai cara untuk mengurangkan tekanan.
"Ibu saya juga sentiasa ada untuk saya dan memberi sokongan emosi. Beliau selalu bertanya bagaimana hari saya di sekolah dan jika saya masih terdaya atau mengalami masalah," tambah Afiqah lagi, yang menyifatkan ibu bapanya sebagai tunjang kejayaannya.
Dengan keputusan cemerlang, Afiqah merancang untuk selanjutnya melangkah ke Menengah 5 dan menduduki Peperiksaan Peringkat 'O' pula. Beliau menaruh harapan dapat mengambil kursus berkaitan bidang psikologi selepas itu.
Lebih 4,000 pelajar Normal Teknikal juga mengambil keputusan mereka hari ini. 98.1 peratus lulus sekurang-kurangnya satu subjek dan mendapat sijil GCE Peringkat GCE N(T). Ini berbanding 97.5 peratus pada tahun lalu.
Salah seorang daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang ialah Nurain Sanusi dari Sekolah Menengah Spectra.
Walaupun Nurain terpaksa bekerja sambilan bagi membantu meringankan beban keluarga, beliau sangat berdisiplin. Nilai terpuji pada dirinya itu membuat Nurain terpilih menjadi seorang pengawas sekolah. Malah, beliau salah seorang pelajar terbaik bagi mereka yang mengambil Sijil Kemahiran ITE bagi Khidmat Runcit.
"Waktu sebenarnya amat singkat bagi saya. Saya perlu bekerja, membantu adik dalam pelajaran. Tetapi saya perlu membuat kerja sekolah. Dari itu, saya mengatur masa dengan membuat jadual," kata Nurain.
Dek dedikasi dan pencapaian baik sepanjang di bangku sekolah menengah, Nurain sudah mendapat tempat dalam kursus Khidmat Runcit ITE Kolej Tengah, jauh sebelum keputusan dikeluarkan.
"Saya memilih bidang ini kerana semasa di sekolah, ia mengajar tentang bagaimana kita perlu berkomunikasi di luar. Itu sesuatu yang perlu di luar sana dalam banyak bidang," kongsi Nurain lagi.
Pada masa akan datang, beliau ingin menceburi bidang pelancongan dan percaya, kursus itu akan sangat membantunya kelak. Yang pasti, harapan untuk mencapai masa depan cerah buat keluarga terus membakar semangat pelajar ini, tanpa mengetepikan nilai-nilai baik yang disemai sejak kecil.
Nurain dikatakan sangat prihatin terhadap rakan-rakan lain di sekolah. Misalnya, setiap hari, beliau akan menghantar rakannya yang berkerusi roda berulang-alik dari sekolah ke stesen MRT Admiralty.
Nurain menerima Anugerah Perwatakan Edusave tahun ini atas jasanya itu. Tiga anugerah lain turut diterima kerana prestasi dan pelibatan aktif di sekolah seperti menerajui projek kemasyarakatan di Yishun Riverwalk selain mewakili sekolah di pertandingan-pertandingan sukan di peringkat nasional.