Oleh: ZULAIQAH ABDUL RAHIM
Dipetik daripada Berita Harian, 10 Ogos 2020
Estet perumahan serata Singapura menjadi pentas sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 negara semalam.
Ini apabila Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini diadakan pada skala sederhana dan dibawa ke setiap kediaman, di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Laungan sorakan dan kibaran bendera Singapura dilihat dari tingkap, balkoni, koridor serta di pinggir jalan raya.
Warga negara yang berpakaian merah dan putih menghiasi landskap 'bandar hijau' ini di merata-rata.
Sekiranya tahun-tahun sebelumnya NDP diadakan di satu lokasi dan bermula lewat petang, tirai sambutan tahun ini dibuka seawal 10 pagi dan ia dibahagikan kepada dua acara - perbarisan di Padang pada sebelah pagi dan persembahan di Pusat Seni Pementasan The Star pada waktu malam.
Segmen NDP kegemaran ramai seperti Perarakan Kenderaan, Singa Merah, Terbang Lintas Bendera dan Ngauman Perpaduan pula dibawa ke kawasan kejiranan semalam.
Bertemakan 'Bersatu, Untuk Singapura Yang Lebih Teguh', NDP kali ini menyeru warga Singapura memainkan peranan untuk melangkah ke hadapan dan menentukan masa depan negara, walaupun diduga kesukaran dan krisis.
Sambutan tahun ini juga cukup istimewa dengan penghormatan diberikan kepada petugas di barisan hadapan yang membantu negara menangani krisis Covid-19.
Di Padang, kontinjen daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) berbaris di bawah terik matahari, memakai seragam putih mereka bersama pelitup berwarna putih yang sepadan.
Suasana Padang yang kurang riuh seperti tahun-tahun sudah menerima sorakan paling kuat semalam apabila Presiden Halimah Yacob keluar dari kenderaannya dan melambai kepada penonton.
Turut dilihat hadir di Padang ialah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan beberapa Anggota Kabinet dan Parlimen.
Pelajar Sekolah Menengah Bedok South, Muhammad Farhat Jamaludin, 15 tahun, menganggap dirinya "bernasib baik" kerana menjadi antara 150 penonton yang dipilih untuk hadir bagi perbarisan di Padang yang menurutnya, suatu pengalaman yang beliau hargai.
Apabila Puan Halimah berdiri di podium untuk Lagu Kebangsaan, semboyan Sistem Amaran Awam berbunyi di seluruh negara, memberi isyarat kepada orang ramai menyanyikan Majulah Singapura bersama, dalam saat yang dipanggil Saat Menyanyikan Lagu Kebangsaan.
Bendera Singapura turut dinaikkan di tujuh lagi lokasi yang mewakili sektor utama negara.
Helikopter Chinook membawa bendera negara melintasi Padang sebelum membuat perjalanan 55 minit serata Singapura termasuk kawasan kejiranan di Bedok dan Marine Parade.
Tanda penghormatan kepada petugas di barisan hadapan semalam disampaikan melalui udara, darat dan laut Singapura.
Enam jet F-15SG melaksanakan formasi 'Delta' di Padang, dalam acra yang dikenali sebagai Ngauman Perpaduan, sebelum membuat penghormatan di sekitar lapan hospital.
Pasukan Singa Merah atau Red Lions pula melakukan Tabik Terjun Bebas dan mendarat di padang terbuka berhampiran Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH).
Kawasan kededua hospital itu dibanjiri ramai sejak awal pagi semalam.
Antaranya, penduduk Sengkang Cik Dewani Shahrani, 43 tahun, yang menantikan pertunjukan Singa Merah dekat SKH bersama keluarganya.
"Walaupun kami perlu amalkan jarak selamat, semangat (Hari Kebangsaan) tetap ada. Tahun ini adalah satu pengalaman yang unik," katanya.
Perarakan Kenderaan yang merangkumi 66 aset dari SAF, SPF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), tidak terkecuali menerima sorakan kuat apabila ia melalui lima laluan di serata Singapura semalam.
Di Marina South Pier, 13 kapal dari empat agensi maritim, antaranya Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan SCDF, berlayar selama sekitar 25 minit sebagai tanda penghormatan kepada petugas di barisan hadapan.
Acara lintas layar maritim ini kembali membuat penampilannya di NDP 2020 selepas 20 tahun.
Warga Singapura juga disajikan dengan persembahan yang cukup menyentuh dan dekat di hati ramai pada waktu malam.
Ini merupakan kali pertama persembahan yang disiarkan secara langsung dari The Star itu diadakan dalam bangunan.
Puan Halimah dan PM Lee turut hadir sebagai tetamu terhormat - antara 150 penonton yang diundang. Penonton dilihat duduk jarak dua kerusi antara satu sama lain dan perlu kekal memakai pelitup sepanjang acara - antara langkah keselamatan yang dilaksana.
Dibahagi kepada enam babak, pertunjukan tahun ini menceritakan 31 kisah warga Singapura yang tampil melawan Covid-19 dan menghulur bantuan kepada yang memerlukan di tengah-tengah pandemik ini. Hanya 87 bakat tempatan yang menjayakan acara malam tahun ini, berbanding ribuan yang terlibat dalam edisi perbarisan sebelum ini.
Tepat pada 8.20 malam, warga Singapura di serata pulau bersatu hati melafazkan ikrar dalam Detik Ikrar. Ini diikuti dengan Saat Pancarkan Cahaya dengan warga Singapura diajak menyalakan lampu suluh dari tingkap dan balkoni mereka.
Langit malam di seluruh Singapura kemudian bermandi cahaya dengan bunga api dilancarkan di 10 lokasi estet perumahan.
Kemuncak yang dinanti-nanti ini mengakhiri sambutan Hari Kebangsaan yang unik, namun penuh makna bagi setiap warga Singapura.
Oleh: ZULAIQAH ABDUL RAHIM
Dipetik daripada Berita Harian, 7 Mei 2020
Dalam gelanggang, srikandi silat ini gagah bersaing demi mengharumkan nama negara.
Di luar gelanggang pula, beliau berani berkorban demi membantu negara melawan Covid-19.
Pesilat Singapura, Atiq Syazwani Roslan, 27 tahun, tampil secara sukarela untuk ditugaskan di asrama yang didiami pekerja asing.
Sejak tiga minggu lalu, pakar fisioterapi di Hospital Tan Tock Seng itu dikerah ke asrama pekerja asing Woodlands Lodge - yang disahkan sebagai salah satu daripada kelompok Covid-19 di sini.
Beliau ditugas menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing di pusat perubatan asrama itu.
Mengongsi perasaannya pada awal menggalas tugas itu, Atiq berkata wujud rasa takut dan bimbang kerana bekerja di sekitaran yang terdedah kepada Covid-19.
"Tidak dinafikan, ada rasa takut dan ada juga fikir tentang risiko kesihatan bekerja di asrama.
"Tetapi, ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup untuk saya bantu mereka yang terjejas semasa tempoh mencabar ini," kata Atiq kepada Berita Minggu (BM).
Namun segala perasaan takut itu dapat diatasi srikandi silat ini setelah beberapa hari menyesuaikan diri pada tugas barunya.
Ditanya mana satu yang lebih mencabar - beraksi di gelanggang silat atau bekerja di barisan hadapan menentang koronavirus - Atiq menganggap kededua bidang itu memiliki cabarannya tersendiri.
"Kededuanya adalah minat saya. Bagi silat, saya harus menjalani latihan intensif untuk mencapai matlamat saya manakala bertugas di asrama pekerja asing juga ada pelbagai cabaran," ujarnya.
Beraksi dalam acara tanding Kelas A, Atiq merupakan pemenang pingat perak di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan pingat gangsa di temasya 2019 di Manila.
Atiq menambah memakai alat perlindungan merupakan cabaran utamanya sebagai petugas di barisan hadapan.
Lebih-lebih lagi sewaktu Ramadan.
"Memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE), pelitup N95 dan pelindung muka selama tiga jam ketika bertugas boleh dikatakan agak mencabar dan memenatkan. Ia macam lari maraton," kata Atiq.
Meskipun itu, beliau menambah pelan diet pemakanan yang dipelajari di Institut Sukan Singapura (SSI) bantu mengekalkan hidrasi dan tenaga sepanjang hari.
Pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA itu juga perlu mematuhi langkah keselamatan ketat yang ditetapkan.
Ini termasuk memastikan beliau telah membersihkan diri sebelum pulang ke rumah.
Apabila di rumah pula, beliau elak berkongsi makanan dan akan mengasingkan diri daripada keluarganya.
"Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila wabak Covid-19 ini berakhir adalah untuk memeluk ibu saya," kongsinya.
Menggambarkan pengalamannya sebagai "sesuatu yang tidak dapat dilupakan", Atiq, lulusan Institut Teknologi Singapura (SIT) yang telah berkecimpung dalam fisioterapi sejak lima tahun lalu, menambah:
"Walaupun saya seorang pakar fisioterapi, tidak kira sama ada anda bertugas di dalam atau luar bidang perubatan, anda boleh bantu menyumbang kepada usaha menangani Covid-19 negara."
Keberanian dan pengorbanan Atiq mendapat pujian Speaker Parlimen Encik Tan Chuan-Jin yang menganggap pesilat itu sebagai "pejuang dan pembela kita".
Dalam perkongsiannya di Facebook pada Ahad lalu, Encik Tan, yang juga Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), turut mengajak orang ramai supaya memberikan sokongan kepada petugas di barisan hadapan.
"Ingatlah tentang anak-anak kita di barisan hadapan yang berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan kita. Berilah mereka kata-kata perangsang!"