Pembimbing Rakan Dinamik (PRD) merupakan sekumpulan pelajar yang dipilih dan dilatih untuk membantu dan membimbing rakan-rakan sebaya dalam menangani pelbagai cabaran sebagai pelajar di Kolej Matrikulasi KPM.
Asas program ini berlandaskan konsep bahawa rakan sebaya adalah orang yang paling rapat dan lebih memahami isu atau konflik yang dihadapi oleh seseorang pelajar. Pelajar lebih selesa berkongsi isu atau konflik dengan rakan sebaya berbanding dengan orang dewasa. Oleh itu, jika diberi bimbingan yang betul, ahli PRD dapat menjadi sahabat pendengar yang baik dan rakan pembimbing yang bijak dalam mendapatkan bantuan kepada rakan-rakan yang menghadapi isu atau konflik.
Dalam menjalani kehidupan seharian di kolej, pelajar mungkin menghadapi pelbagai tekanan berpunca dari pelbagai sebab seperti masalah penyesuaian, pembelajaran, sosial, kewangan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya yang boleh mengganggu prestasi jika tidak dibendung. Pelajar yang bijak akan segera mendapatkan bimbingan kaunselor, sebahagian lagi melepaskan tekanan dengan melakukan pelbagai aktiviti sukan dan riadah, sebilangan lagi tidak berbuat apa-apa, manakala sebilangan lagi akan terarah melakukan perkara-perkara negatif.
PRD diwujudkan bertujuan untuk melatih seorang pelajar dalam bidang kemahiran asas komunikasi dan kaunseling. Ia berfungsi sebagai seorang kawan yang berkesan kepada rakan sebaya, terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan. PRD tidak berfungsi untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah rakan-rakan tetapi menjadi seorang pendengar yang peka kepada perasaan orang lain, berminat dan mengambil berat serta rela memberi khidmat dalam sistem sekolah.
Peranan ahli PRD bukan untuk menjadi kaunselor atau menggantikan tugas kaunselor, sebaliknya mereka adalah rakan yang dapat mendengar, memahami keluh kesah dan isu-isu yang dihadapi rakan-rakan, dapat mencerap segala yang didengar dan seterusnya membantu rakan-rakan untuk mendapatkan bantuan.
Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut seorang ahli PRD seharusnya dapat menjadi pendengar yang baik, berempati, menghormati rakan, pemberi maklumat yang betul, serta dapat merujuk rakan-rakan mereka yang memerlukan pertolongan kepada kaunselor kolej untuk bantuan yang bersesuaian.
BILIK PRD - pelajar-pelajar lain juga boleh menggunakan bilik ini untuk mendapatkan maklumat kerjaya
AKTIVTI PRD :
Kursus PRD Kebangsaan
Kursus Training of Trainers PRD
Karnival Pendidikan Kerjaya
Truth Speaks PRD ( Mini Counsellor KMPh )
Fasilitator Program Khidmat Bakti Felda Lepar Hilir
Fasilitator Promosi Program Matrikulasi bersama Sekolah Daerah Termerloh
Fasilitator Promosi Program Matrikulasi bersama Sekolah Sultan Ismail 2