Apakah stres atau perasaan tertekan?
Stres adalah suatu perasaan yang anda alami apabila anda menerima tekanan. Tekanan atau tuntutan yang anda terima mungkin datang dalam bentuk mengekalkan jalinan perhubungan, memenuhi harapan keluarga dan untuk mencapai matlamat akademik dan kesakitan fizikal.
Kenapa saya rasa tertekan?
Anda akan merasa tertekan apabila anda merasa seakan tidak mampu memenuhi tuntutan sebagaimana yang diharapkan daripada anda. Sejauh mana anda rasa tertekan dan bagaimana anda menghadapi perasaan tertekan itu adalah bergantung kepada keupayaan anda mengurus tekanan berkenaan.
Adakah stres itu tidak baik?
Stres boleh menjadi sesuatu yang positif dan juga negatif. Stres diperlukan untuk kemajuan di dalam kehidupan harian kita. Melalui keadaan tertekan kita dapat meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri, mengatasi dan bertindak balas terhadap cabaran kehidupan. Sebaliknya, stres memberi kesan yang tidak baik apabila ia tidak ditangani dengan sebaik mungkin atau dilihat sebagai negatif. Pengurusan stres yang lemah akan mengakibatkan perasaan luar kawal dan seterusnya menyebabkan pemilihan daya tindak yang tidak sihat.
Apakah punca utama penyebab stres?
Biologikal
Apabila badan anda tidak sihat
Contoh: kesakitan, ketidakselesaan, ketidakupayaan pada organ deria (penglihatan, pendengaran, dan lain-lain)
Pemikiran negatif
Takut dan bimbang, kenangan pahit, pemikiran yang tidak rasional secara automatik mengakibatkan perasaan tertekan
Tingkah laku
Tingkah laku anda yang suka berjalan cepat, bercakap dengan nada kuat dan mudah tertekan boleh mengakibatkan stres
Suasana sosial
Orang di sekeliling anda boleh menyebabkan stres
Contoh: Perselisihan di sekolah atau di rumah
Suasana fizikal
Perubahan yang tidak selesa di persekitaran tempat anda
Contoh: Suhu, kebisingan, warna, kecerahan, bauan, rasa dan kesakitan yang melampau
Bagaimana untuk mengetahui saya di dalam keadaan tertekan?
Degupan jantung meningkat
Rasa ketegangan otot yang bersedia untuk bertindak balas
Pernafasan menjadi cepat bagi membekalkan sebanyak mungkin oksigen kepada otot – otot
Proses pencernaan menjadi lambat dan pengeluaran asid bertambah di dalam perut yang mengakibatkan anda mengalami ketidakselesaan atau kesakitan fizikal
Mengalami perasaan negatif seperti keresahan, kebimbangan, ketakutan atau kemarahan
Mengalami masalah tidur (masalah untuk tidur dan tidur yang lena atau tidur berlebihan)
Mengalami masalah dalam selera makan (tidak berselera untuk makan pada waktunya, atau sentiasa terasa lapar)
Apa akan berlaku jika saya terlalu lama berada di dalam keadaan tertekan?
Mengurangkan daya pertahanan badan – mudah diserang penyakit
Menambahkan lagi keparahan penyakit yang sedang dialami
Menyumbang kepada wujudnya masalah kesihatan pada masa akan datang contohnya Tekanan Darah Tinggi, Paras Kolesterol yang tinggi, Penyakit Jantung dan Penyakit Angin Ahmar (Strok)
Timbul masalah psikologikal contoh : keresahan, kemurungan, kecelaruan pemakanan dan masalah tidur
Daya tindak yang lemah mengakibatkan anda tidak mengamalkan cara hidup yang sihat, contoh: menghisap rokok, ketagihan arak, penyalahgunaan dadah dan bergaduh
Apakah yang dapat saya lakukan apabila saya stres?
Kenal pasti punca yang menyebabkan anda stres
Balajar untuk menghadapinya
Dapatkan bantua
Bagaimana hendak menangani stres saya?
Tarik nafas dan perlahankan pernafasan anda
Kurangkan pergerakan atau berdiam diri untuk mengurangkan degupan jantung
Legakan otot-otot anda
Tukarkan pemikiran negatif dan tidak rasional anda kepada yang lebih positif dan membina
Tumpukan perhatian kepada pemikiran yang positif
Gunakan jenaka untuk merubah pemikiran yang tertekan
Ubah tempat persekitaran anda
Jauhkan diri anda dari suasana yang boleh memberikan tekanan
Libatkan diri anda dengan aktiviti yang menyeronokkan
Kenal pasti masalah dan cari jalan penyelesaiannya
Bagaimana hendak mencegah dari mengalami stres?
Kenali diri anda dengan lebih baik. Buat dan simpan catatan mengenai suasana, tingkah laku dan pemikiran yang menyebabkan anda stres dan bagaimana anda menanganinya di dalam buku catatan. Anda akan menguruskan stres anda dengan lebih baik setelah dapat mengenali diri anda sendiri.
Melalui buku catatan anda dapat mengenal pasti:
Cara pengurusan stres dan penyelesaian masalah yang paling berkesan bagi diri anda
Keadaan yang boleh membuat anda stres
Siapa yang boleh membuat anda stres
Kekerapan bersenam dapat membantu anda:
Meredakan tekanan
Meningkatkan daya tahan diri untuk mengelak stres
Kerap melakukan senaman relaksasi
Amalkan pemakanan seimbang
Amalkan tabiat tidur yang betul supaya anda mendapat cukup rehat dan mengelak stres
Mempunyai rangkaian kawan-kawan yang boleh menyokong dan membantu anda
Mempunyai kepercayaan hidup yang baik
Bolehkah saya menyediakan diri untuk menghadapi stres?
Ya, anda juga boleh berlatih untuk merancang bagaimana menghadapi keadaan tertekan bersama kawan-kawan atau ahli keluarga. Anda juga boleh mendapat bantuan daripada ahli profesional dalam pengurusan stres seperti kaunselor, pakar psikologi dan pakar psikiatri.
Adakah saya memerlukan ubat-ubatan untuk menangani stres?
Jika anda tidak dapat mengatasi stres anda, berkemungkinan anda perlu diberi ubat untuk menenangkan diri dan membantu untuk anda tidur pada waktu malam. Anda perlu mendapat nasihat doktor mengenai hal ini.
Siapa dapat membantu saya?
Ahli keluarga
Kawan-kawan
Guru
Kaunselor
Pakar Psikologi
Guru Agama