Sabun diperbuat daripada lemak.
Molekul lemak terdiri daripada dua bahagian yang penting iaitu:
gliserol
asid lemak
Dalam satu molekul lemak gliserol, terdapat 3 asid lemak yang sama atau berlainan.
Contoh asid lemak adalah asid palmitik, asid laurik dan asid stearik.
Proses ini dikenali sebagai proses saponifikasi atau hidrolisis minyak beralkali.
Sabun dihasilkan melalui tindak balas antara minyak dan alkali pekat seperti larutan natrium hidroksida atau kalium hidroksida.
Minyak + Alkali (pekat) ➨ Garam asid lemak (sabun) + gliserol
Apabila larutan natrium hidroksida pekat ditambahkan ke dalam minyak kelapa sawit, hidrolisis akan berlaku iaitu minyak akan diasingkan kepada asid lemak dan gliserol.
Asid lemak kemudiannya bergabung dengan ion natrium untuk membentuk sabun.
Oleh itu, sabun sebenarnya adalah garam natrium asid lemak.
Molekul sabun terdiri daripada kepala dan ekor.
Bahagian kepala sabun adalah hidrofilik iaitu boleh larut dalam air.
Bahagian ekor sabun adalah hidrofobik iaitu tidak larut dalam air tetapi larut dalam minyak atau gris. Maka sabun dapat melarutkan kotoran dalam gris dan juga air.
Apabila sabun dilarutkan dalam air, sabun akan merendahkan ketegangan permukaan air dan membolehkan sabun membasahi permukaan kain yang mempunyai kotoran gris.
Bahagian ekor molekul sabun akan melarut dan melekat pada kotoran gris.
Tindakan menggosok atau menggoncangkan air akan menanggalkan tompok gris kepada titisan minyak kecil yang dikelilingi oleh molekul sabun.
Bahagian kepala molekul sabun yang bercas negatif akan menghalang titisan gris daripada bercantum semula, maka sabun akan mengemulsi di dalam air.
Buih sabun yang terhasil akan memerangkap titisan kotoran bergris dalam air.
Apabila air sabun dan buih dibuang semasa membilas, kotoran bergris akan turut disingkirkan.