MAKLUMAT TERKINI🚨
Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) diperkenalkan untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan murid. Murid digalakkan membaca pelbagai bahan seperti buku cerita, artikel, dan majalah. Mereka perlu mencatat maklumat bacaan dalam Buku NILAM, Google Form, atau kertas yang disediakan oleh pihak sekolah. Program ini bertujuan untuk membina budaya membaca, meningkatkan penguasaan bahasa, dan memperluas pengetahuan murid. Melalui pembacaan yang konsisten, murid dapat mengasah kemahiran berfikir, menulis, dan menyampaikan idea dengan lebih berkesan. Selain itu, guru dan ibu bapa turut digalakkan memberi sokongan agar amalan membaca dapat dipupuk secara berterusan dan berkesan. Guru-guru juga memperkenalkan sebuah buku setiap hari kepada murid-murid waktu perhimpunan pagi.
Program Anak Angkat diperkenalkan untuk menggalakkan guru memberi perhatian dan bimbingan khusus kepada murid yang memerlukan tumpuan lebih, terutamanya dari segi akademik, sahsiah dan emosi. Melalui program ini, setiap guru akan mengambil beberapa murid sebagai “anak angkat” untuk dipantau secara lebih dekat. Guru berperanan sebagai pembimbing, pendengar, dan penyokong kepada murid tersebut. Program ini membantu mewujudkan hubungan yang lebih mesra antara guru dan murid serta meningkatkan motivasi dan prestasi murid dalam pelbagai aspek.
Mesyuarat PIBG telah diadakan di dewan sekolah pada hari Sabtu yang lalu. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ibu bapa, guru, dan wakil pentadbir sekolah. Antara perkara yang dibincangkan termasuk prestasi akademik murid, disiplin, kutipan yuran PIBG, dan cadangan menaik taraf kemudahan sekolah seperti tandas serta makmal komputer. Selain itu, beberapa program sekolah seperti hari sukan, motivasi murid, dan aktiviti kokurikulum turut dibincangkan. Ibu bapa juga diberi peluang untuk memberikan cadangan dan pandangan demi meningkatkan kecemerlangan sekolah. Mesyuarat ini telah berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak yang hadir.
Sambutan Hari Guru peringkat sekolah bagi tahun 2023 telah berlangsung di dewan sekolah. Majlis yang dirasmikan oleh YDP PIBG Dr. Fairuz bin Abdul Razak turut dimeriahkan dengan persembahan dari pelajar serta Ikrar Guru oleh kesemua guru-guru MBS. Murid turut mengambil peluang alam majlis ini untuk mengucapkan penghargaan merekadan bersalaman dengan kesemua guru.
Unit beruniform TKRS telah ditugaskan untuk mengelolai perhimpunan Unit Beruniform ... see more
Majlis perlantikan bagi Ketua & Penolong Kelas, Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Briged Bestari dan Pembimbing Rakan Sebaya telah dirasmikan oleh Sarjan Noralinda Binti Mohamad Baharudin selaku Pegawai Perhubungan Sekolah. Diharapkan para pemimpin muda yang telah dipilih bagi tahun ini dapat melaksanakan tugas serta amanah mereka sebaiknya. Majulah MBS!
Majlis berbuka puasa bagi keluarga MBS telah diadakan pada awal Ramadhan 1444H. Majlis ini telah dimeriahkan dengan kehadiran murid-murid, ibu bapa dan juga bekas murid yang bersama-sama berbuka puasa dan menunaikan solat terawih berjemaah di tapak perhimpunan sekolah.
Pihak sekolah telah menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada kesemua murid-murid SK Methodist (L) Jalan Hang Jebat. Pihak polis telah mengiringi Puan Tay Mee Yong ke bank bagi memastikan segala urusan selamat dan lancar.
Seramai 20 orang murid telah terlibat dalam pertandingan mewarna dan puzzle. Pertandingan ini bertempat di Sunway Velocity Mall bermula pada pukul 10.30 pagi. MBS mendapat tempat ke-5 bagi pertandingan puzzle tahap 1, tempat ke-4 bagi pertandingan puzzle tahap 2, dan tempat ke-5 bagi pertandingan mewarna tahap 1. Syabas dan Tahniah diucapkan.
Pihak sekolah telah menerima lawatan dari jemaah nazir selama 2 hari bermula 27 hingga 28 September 2022. Pelbagai aspek sekolah telah diteliti oleh pihak nazir termasuk mencerap proses pengajaran dan pembelajaran guru subjek Bahasa Inggeris di sekolah. Pihak sekolah telah menerima respon yang amat positif dalam segenap penelitian pihak nazir bagi kali ini. Tahniah dan syabas untuk kesemua warga MBS!
Minggu PPDa dijalankan dengan tujuan untuk menyebarkan maklumat bahaya dadah bagi mencegah murid-murid dari terjebak dengan gejala tidak sihat ini. Pelbagai aktiviti kesedaran bahaya dadah dilaksanakan oleh Cikgu Yusran selaku penyelaras program serta guru-guru yang lain.
Sambutan Bulan Kebangsaan bagi tahun 2022 diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap pertandingan yang telah dijalankan. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh barisan pentadbir SK Methodist. Pemenang bagi pertandingan 'The Voice' turut menampilkan persembahan mereka dalam majlis kali ini.
Pertandingan nyanyian lagu patriotik bagi tahun 2022 telah menarik minat seramai 20 orang peserta . Kesemua peserta membawakan lagu patriotik yang dipilih sendiri oleh mereka. Juri bagi pertandingan ini ialah Puan Surinder dan Cikgu Shamsol.
Pihak sekolah telah menganjurkan Hari Pelaporan Profil sebagai suatu medium bagi guru untuk menerangkan hasil Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah diperoleh murid kepada ibu bapa. Sambutan yang amat menggalakkan telah diberikan oleh ibu bapa menunjukkan semangat kerjasama yang jitu antara pihak sekolah serta ibu bapa bagi mencapai kemenjadian kemenjadian murid SK Methodist (L) Jalan Hang Jebat.
Bagi memupuk semangat patriotik dan memberi kesedaran kepada murid tentang tarikh keramat 31 Ogos saban tahun, pihak sekolah telah mengadakan Sambutan Ambang Kemerdekaan di tapak perhimpunan sekolah. Beberapa persembahan seperti nyanyian koir bimbingan Pn Tay Mee Yong, persembahan piano oleh adik Chai Zhe Dong dan persembahan nyanyian lagu kemerdekaan telah dipersembahkan. Majlis sambutan ini diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik oleh kesemua warga MBS.
Kejohanan sukan bagi tahun 2022 telah berlangsung dengan jayanya. Bertempat di padang SMK Methodist, acara yang gilang- gemilang ini telah dirasmikan oleh Dr Fairuz selaku YDP PIBG sesi 2022/23. Tahniah diucapkan kepada rumah sukan Chow Thye kerana berjaya mengungguli pungutan mata sekaligus menjadi Juara Kejohanan Sukan 2022 tersebut.
Sambutan Maal Hijrah peringkat sekolah telah dijalankan di Dewan Puan Sri Datin Seri Lee Kim Hua. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Tay Mee Yong, Guru Besar SK Methodist (L). Ceramah Maal Hijrah Merdeka telah disampaikan oleh Encik Muhammad Irsyad Bin Rosli. Sebelum pulang, murid-murid diberikan bubur kacang yang disediakan khas oleh pihak pentadbir serta guru-guru.