Pada peringkat awalnya, Projek Tanaman Bandar Melalui Kaedah Fertigasi menggunakan sistem kawalan IoT telah diilhamkan untuk memberi pendedahan dan pengajaran secara langsung kepada seluruh warga JEPS. Pihak pengurusan mula merangka kertas kerja dan mencuba nasib memohon geran daripada Geran Kecil Teknologi Hijau daripada Kementerian Teknologi Hijau Malaysia bagi menampung kos pembinaan dan pengendalian. Alhamdulillah, dalam bulan Mei 2023, pihak sekolah telah berjaya mendapat Geran Kecil Teknologi Hijau yang telah dimohon berjumlah RM15,000 daripada kerajaan Selangor. Kami mula membeli beberapa peralatan untuk membangunkan projek ini.
Namun sejurus selepas itu, kami dikejutkan pula dengan usaha daripada pihak Fakulti Pertanian, UPM (melalui Dr. Juju) yang telah memperkenalkan SK Jalan Empat kepada Urban Farm Tech Sdn Bhd (UFT). Di bawah program CSR sebuah syarikat bahan kimia iaitu Internatio-Müller Chemical Distribution Sdn Bhd (IMCD), UFT telah berjaya menambat hati IMCD untuk melaburkan dana dalam merealisasikan Projek Tanaman Bandar ini, tetapi menggunakan kaedah hidroponik dengan sistem kawalan IoT dan bukannya kaedah fertigasi seperti yang dirancang pada awalnya. Bagaikan mendapat durian runtuh, kami menerima dengan hati terbuka. Kami menukar tajuk projek kepada Projek Tanaman Bandar secara Hidroponik dengan kawalan IoT atau secara ringkasnya (SMART FARM JEPS)
Setelah mendapat kelulusan daripada JPN Selangor, perjanjian SK Jalan Empat bersama IMCD dan UFT ditandatangani. Pada tanggal 28 Oktober 2023, kerja-kerja pemasangan rumah hijau mula dijalankan.
Pembinaan rumah hijau di JEPS mengunakan dinding net dan bumbung plastik UV. Dengan keluasan 40 x 80 kaki, rumah hijau ini dapat memuatkan 3 set menara hidroponik, 4 meja hidroponikteknik filem nutrien (NFT) dan 3 meja hidroponik sistem pasang surut (flood & drain) menjadikan jummlah lubang pasu sebanyak 3800 lubang.
Hidroponik (berasal daripada perkataan Yunani hydro iaitu air dan ponos iaitu bekerja) adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja (nutrien) tanpa mengunakan tanah. Kaedah ini menggunakan bahan seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah, habuk kayu dan lain-lain menggantikan tanah. Penanaman secara hidroponik dilakukan oleh individu sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil.
Sistem hiroponik merupakan satu alternetif yang terbaik bagi mengatasi masalah ruang dan masa. Terdapat 6 jenis sistem hidroponik yang utama antaranya ialah Sistem kultur air dalam (DWC), Sistem sumbu, Sistem teknik filem nutrien (NFT), Sistem pasang surut, Sistem titisan dan Aeroponik.
Gambar rajah menunjukkan 6 sistem hidroponik yang boleh diusahakan.
Perubahan cuaca yang mendadak boleh menyebabkan berlakunya gangguan terhadap proses pembesaran dan penghasilan pertanian. Untuk hasil pertanian yang baik dan berkualiti, kawalan dan pemantauan terhadap faktor rumah hijau adalah penting dalam pertanian. Sistem konvensional susah untuk dipantau kerana ia hanya boleh dikawal di bilik kawalan. Bidang pertanian negara kini telah beralih kepada sebuah sistem inovasi yang baru dalam usaha menambahbaik sistem konvensional. Sistem ini dinamakan Sistem Pemantauan Automatik Bagi Rumah Hijau Menggunakan IOT.
Automasi rumah hijau ialah pendekatan teknikal dimana petani akan mendapat manfaat melalui pemantauan dan kawalan secara automatik. Ia menggantikan pengawasan langsung manusia terhadap pertanian yang dijalankan. Pada masa ini, disebabkan oleh pembangunan bandar yang pesat dan kekurangan tanah, terdapat keperluan besar untuk membina rumah hijau yang dikhaskan terutamanya untuk menanam tanaman. Dengan rekabentuk sistem ini, ianya boleh mengawal dan memantau rumah hijau menggunakan IOT dari lokasi pusat secara tanpa wayar.
Bilangan pengunjung SMART FARM JEPS