Sekolah Kebangsaan Jalan Empat yang kini lebih dikenali sebagai JEPS (Jalan Empat Primary School) terletak di 21, Jalan 4/8A, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. JEPS merupakan sekolah keempat yang dibina di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 2.884 hektar. Sekolah ini mula dibina pada pertengahan tahun 1999 dan siap sepenuhnya pada tahun 2001. Rekabentuk sekolah adalah berkonsepkan ‘design and build’ secara runding harga antara Syarikat Umi-Rose dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sekolah mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jun 2001 dengan kekuatan pengajar seramai 24 orang guru dan 600 orang murid Tahun 1 hingga 3 dari SK Jalan 3 yang beralamat di Seksyen 4. Encik Zulkifli bin Tahir yang merupakan “care taker” sekolah telah dilantik sebagai Penolong Kanan 1, pada masa itu. Manakala, Guru Besar yang pertama ialah Puan Hafsah bt Abd Hamid. Puan Hafsah dan En Zulkifli telah bersama-sama mencipta lencana dan bendera sekolah. Lirik lagu sekolah dicipta oleh Puan Hafsah manakala lagunya adalah gubahan daripada seorang pensyarah kepada guru muzik ketika itu iaitu Puan Zatinah.
Guru-guru JEPS sangat komited dalam melaksanakan kurikulum dan kokurikulum yang diberikan. Guru-guru juga terdiri daripada pelbagai bidang dan kemahiran. Kombinasi kepelbagaian kemahiran ini telah menjadikan JEPS salah sebuah sekolah yang gah di daerah Hulu Langat dan Zon Bangi. Keharuman nama Sekolah Kebangsaan Jalan Empat telah menarik minat ramai ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah di sini. Keadaan ini telah menjadikan bilangan murid tahun satu yang mendaftar di JEPS meningkat saban tahun.
MAP