Corak perkembangan pendidikan di Malaysia telah melalui pelbagai fasa, bermula sebelum merdeka sehingga kini. Setiap fasa mencerminkan usaha yang dijalankan untuk menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Perubahan ini selaras dengan perkembangan sosial, politik dan ekonomi negara. Perpaduan kaum merupakan elemen penting dalam pembentukan identiti negara Malaysia. Sebelum merdeka, pendidikan di Tanah Melayu dipisahkan mengikut kaum dan bahasa, dengan adanya sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil (Ashari, A., & Ariffin, K., 2024). Setiap kaum mempunyai sistem pendidikan yang berbeza, berdasarkan bahasa ibunda dan budaya masing-masing. Ini menyebabkan pendidikan terpecah kepada beberapa aliran yang tidak menggalakkan perpaduan kerana pelajar dari kaum berbeza jarang berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya, sekolah Vernakular Melayu lebih menekankan pelajaran asas dengan penggunaan Bahasa Melayu manakala Sekolah Vernakular Cina dan Tamil lebih berpusatkan bahasa dan budaya kaum masing-masing (Krishnan, P., 2020).
Bagi pendidikan selepas merdeka, pelbagai inisiatif telah diambil untuk menyatukan masyarakat melalui pendidikan. Salah satu langkah utama yang diambil adalah melalui Penyata Razak (1956), yang menjadi titik tolak penting dalam usaha perpaduan. Dalam penyata ini, sistem pendidikan kebangsaan diperkenalkan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan. Walaupun pendidikan vernakular masih dikekalkan, sekolah kebangsaan diharapkan menjadi platform di mana pelajar dari pelbagai latar belakang dapat belajar bersama dan membina perpaduan (Yusop, S. H., 2024).
Melanjutkan usaha Penyata Razak, penyata Rahman Talib menekankan pentingnya memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan. Penekanan kepada mata pelajaran sejarah dan Rukun Negara sebagai sebahagian daripada kurikulum bertujuan untuk membentuk identiti kebangsaan yang bersepadu. Selain itu, dasar ini juga memperkenalkan pendidikan percuma di sekolah rendah dan menengah, memberi peluang sama rata kepada semua kaum untuk mengakses pendidikan berkualiti.
Seiring dengan perkembangan pendidikan selepas merdeka, tumpuan yang berterusan diberikan kepada pembentukan integrasi nasional. Contohnya, Kem Perpaduan Anak Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), bertemakan "Menjiwai Rukun Negara" (Ishak, N. E. B., 2024). Kem ini menyatukan pelajar dari pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, serta etnik Sabah dan Sarawak, dengan matlamat untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
Kaitan ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), yang menekankan pendidikan sebagai alat untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. FPK menegaskan bahawa pendidikan harus membentuk warganegara yang bersepadu, berakhlak mulia, dan mampu menyumbang kepada masyarakat yang harmoni. Melalui program seperti Kem Perpaduan, prinsip FPK dinyatakan dengan usaha menyatukan pelajar pelbagai kaum melalui nilai-nilai Rukun Negara dan kepelbagaian budaya.
Selain itu, Falsafah Pendidikan Guru memainkan peranan penting dalam memastikan guru-guru bertindak sebagai pemimpin dan fasilitator perpaduan. Guru berperanan memupuk nilai perpaduan, toleransi, dan kerjasama dalam kalangan pelajar melalui pengajaran yang inklusif dan penuh empati. Falsafah Pendidikan Guru menekankan bahawa guru bukan sahaja mendidik, tetapi juga membentuk pelajar menjadi agen perpaduan dalam masyarakat. Ini termasuk menyemai semangat kekitaan dan menghormati kepelbagaian budaya, seperti yang diterapkan dalam Kem Perpaduan.
Oleh itu, peranan guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan saling melengkapi dalam mencapai matlamat perpaduan kaum melalui pendidikan. Program-program seperti Kem Perpaduan Anak Malaysia adalah manifestasi yang jelas bagaimana pendidikan boleh digunakan untuk membina masyarakat yang bersatu dan harmoni, sejajar dengan visi dan misi FPK dan Falsafah Pendidikan Guru.
Salah satu ciri penting pendidikan di Malaysia adalah pembangunan individu yang berkemahiran, sejajar dengan matlamat negara untuk melahirkan tenaga kerja berketerampilan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan salah satu strategi utama dalam merealisasikan matlamat ini. Sistem pendidikan di Malaysia telah lama menekankan kepentingan pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional melalui pelbagai akta dan laporan pendidikan yang memacu ke arah pembentukan individu berketerampilan.
Misalnya, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang telah menetapkan asas kukuh untuk pendidikan inklusif yang merangkumi semua lapisan masyarakat. Laporan-laporan ini menekankan penyediaan latihan yang menyeluruh, termasuk dalam bidang teknikal dan vokasional untuk melahirkan tenaga kerja yang diperlukan oleh ekonomi negara. Di samping itu, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah menggariskan keperluan untuk memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional sebagai salah satu komponen utama pendidikan kebangsaan. Hal ini bertujuan memastikan bahawa pendidikan tidak hanya berfokus kepada aspek akademik tetapi juga pembangunan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh pelajar untuk memasuki pasaran pekerjaan.
Sehubungan dengan itu, salah satu elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu "melahirkan rakyat yang berketerampilan." menunjukkan bahawa pendidikan di Malaysia tidak hanya berfokus pada aspek akademik semata-mata, tetapi juga aspek kemahiran teknikal dan vokasional yang diperlukan oleh pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negara. TVET memainkan peranan besar dalam memenuhi matlamat FPK dengan memastikan bahawa setiap pelajar memiliki kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri melalui latihan vokasional. Oleh hal yang demikian, mereka bukan sahaja dapat memenuhi keperluan diri dan keluarga, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara. Ini seiring dengan prinsip FPK yang menekankan peranan individu dalam memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.
Dalam konteks TVET, guru bertanggungjawab memastikan bahawa pelajar tidak hanya mendapat kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia pekerjaan yang kompetitif. Guru-guru TVET haruslah cekap dalam menyediakan latihan yang relevan dengan keperluan semasa industri. Misalnya, penggunaan teknologi kecerdasan teknologi buatan (Artificial Intelligence - AI) yang membantu meningkatkan kualiti pengajaran guru dalam bidang ini (Awang, 2023). Guru boleh menggunakan AI bagi melaksanakan simulasi interaktif secara maya untuk melatih kemahiran teknikal pelajar tanpa memerlukan peralatan fizikal. Ini membolehkan pelajar mengamalkan kemahiran kejuruteraan dengan selamat dalam persekitaran simulasi yang realistik sebelum beralih kepada peralatan sebenar. Maka, Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dapat dipenuhi apabila guru berjaya membantu pelajar mengembangkan potensi mereka dan menjadikan mereka sebagai tenaga kerja yang berketerampilan.
Kesimpulannya, TVET bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi tetapi juga membantu membina masyarakat yang lebih inklusif. Individu yang mendapat latihan vokasional lebih berpeluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran (Saud, 2021). Ini selari dengan matlamat untuk melahirkan "individu yang menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara" yang dinyatakan dalam FPK. Melalui program TVET, pelajar juga dididik untuk menghargai nilai kerja dan tanggungjawab sosial, yang mana ini menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni dan produktif. Pembangunan modal insan melalui TVET turut menyumbang kepada pembangunan sosial dengan mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pendidikan percuma memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang berilmu dengan menawarkan akses kepada pengetahuan tanpa halangan kewangan. Melalui pendidikan yang disediakan kepada semua tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, peluang untuk membina masyarakat yang terdidik dan progresif menjadi lebih nyata sejajar dengan matlamat negara untuk menyediakan peluang-peluang pendidikan yang sama bagi semua warganegara Malaysia. Oleh itu, bagi memahami peranan pendidikan percuma dalam membentuk masyarakat berilmu, terdapat beberapa perkembangan dan laporan pendidikan yang diwujudkan sebelum dan selepas merdeka ke arah pembentukan individu yang berilmu pengetahuan. Misalnya, sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, Laporan Barnes pada tahun 1951 telah diwujudkan bagi menekankan keperluan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang boleh diakses oleh semua kaum di Tanah Melayu, salah satunya adalah pendidikan percuma di peringkat rendah (Hashim & Tan, 2020). Pada waktu itu, pendidikan tidak menyeluruh dan akses kepada pendidikan lebih banyak tertumpu kepada kaum elit atau golongan yang berkemampuan. Oleh itu, dengan adanya cadangan Laporan Barnes, langkah pertama ke arah mewujudkan pendidikan percuma dilihat sebagai strategi untuk memperbaiki struktur pendidikan sekaligus dapat memupuk perpaduan dan memberikan peluang kepada semua kanak-kanak tanpa sebarang diskriminasi kaum (Tie, 2024). Pendidikan dilihat sebagai medium untuk membentuk individu yang celik huruf, terdidik, dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Bagi pendidikan selepas merdeka, pelbagai inisiatif telah diambil untuk memperluaskan pendidikan percuma. Salah satu langkah utama yang diambil adalah melalui Penyata Razak (1956), yang menjadi asas penting kepada sistem pendidikan Malaysia. Laporan ini menekankan bahawa pendidikan percuma adalah satu keperluan untuk membangunkan negara dan memupuk perpaduan nasional tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, pendidikan percuma ini dihubungkan dengan usaha untuk mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal, yang bertujuan untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini melalui satu bahasa yang dikongsi bersama (Tan, 2020). Tambahan pula, dengan wujudnya sistem sekolah kebangsaan yang berasaskan prinsip pendidikan percuma, peluang untuk kanak-kanak dari pelbagai latar belakang dapat menikmati pendidikan yang sama. Melalui dasar ini, masyarakat yang lebih inklusif dan berilmu dapat dibentuk. Selain itu, pendidikan percuma juga menggalakkan lebih ramai individu untuk melanjutkan pelajaran menjadikan mereka lebih berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, terutamanya dalam bidang-bidang yang memerlukan tenaga kerja mahir (Fatt-Hee Tie, 2024).
Kaitan ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), yang menggariskan matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Pendidikan percuma selaras dengan matlamat ini kerana ia membolehkan semua rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan yang mampu melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga beretika dan bertanggungjawab (Kamarulzaman & Abdullah, 2019). Melalui pendidikan percuma, lebih ramai individu mempunyai akses kepada pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai murni yang diperlukan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. FPK juga berhasrat untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, berdisiplin, dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara. Pendidikan percuma menyediakan landasan untuk mencapai matlamat ini, kerana ia memastikan bahawa tidak ada golongan yang tercicir atau tidak berpeluang mendapatkan pendidikan akibat kekangan ekonomi (Zulkifli et al., 2020). Dengan ini, lebih ramai rakyat Malaysia boleh berpartisipasi dalam pembangunan negara, menjadikan masyarakat lebih berdaya maju dan berdaya tahan.
Secara keseluruhannya, pendidikan percuma adalah asas penting dalam pembentukan masyarakat yang berilmu dan berdaya saing. Melalui pendidikan percuma, setiap individu diberikan peluang yang sama untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang akan membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara. Laporan Barnes dan Penyata Razak menjadi bukti bahawa pendidikan percuma bukan sahaja membantu dalam membina masyarakat yang berilmu tetapi juga berperanan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru, pendidikan percuma bertujuan melahirkan individu yang seimbang, bermoral, dan produktif yang akhirnya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.