Jabatan Bimbingan & kaunseling

LAWATAN KE PUSPEN BENTA

Pada 29 Februari 2024 (Khamis), pihak Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik-PUSPEN Benta yang melibatkan 22 orang pelajar dari Unit BNK1 dan 24 orang pelajar dari Unit BNK2 serta pensyarah-pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling. Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar unit Bimbingan dan Kaunseling untuk memahami masalah yang dihadapi oleh penagih dadah dalam kehidupan.  

Pegawai PUSPEN Benta menjelaskan bahawa terdapat 30 buah PUSPEN di seluruh negara dan 6 buah terletak di negeri Pahang yang menempatkan 5 kategori utama pelatih iaitu remaja, sukarela, bekerja, wanita dan mandatori. Sesi perbincangan dengan para pelatih PUSPEN turut diadakan bagi membolehkan pelajar memahami keadaan dan pengalaman para pelatih serta mendapat iktibar daripada perkongsian tersebut. 

PROGRAMME TOMORROW’S LEADER

Pada 28 Februari 2024 (Rabu), Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan telah menjemput En. Mohamed Nazrul bin Suhaimi, Ketua Unit Penguatkuasaan Dan Keselamatan dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk berkongsi maklumat dan kepakaran berkaitan pencegahan dadah. Ceramah ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan membolehkan pelajar mendapat pemahaman yang betul tentang bahaya dadah.

Jabatan Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menganjurkan satu aktiviti explorace yang berkaitan dengan kesedaran antidadah. Permainan ini membolehkan pelajar belajar tentang pencegahan dadah sambil menikmati keseronokan permainan. 

PERTANDINGAN HIASAN PASU BUNGA 2024

Bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina, Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan telah menganjurkan Pertandingan Hiasan Pasu Bunga Tahun Baru Cina yang bermula pada 22 Januari 2024 (Isnin) hingga 5 Februari 2024 (Isnin). Pertandingan ini melibatkan semua pelajar Cina dari Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Melalui pertandingan ini, pelajar berpeluang untuk mengekspresikan kreativiti mereka dalam menghias pasu bunga yang unik dan bermakna. Pertandingan ini juga menjadi platform yang baik bagi pelajar untuk menghargai dan mempelajari warisan budaya Cina melalui seni hiasan pasu bunga. Pemenang bagi pertandingan ini ditentukan berdasarkan penilaian pensyarah-pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling IPGMKTAA.