SYARAT PENGECUALIAN DUTI/CUKAI KE ATAS MESIN/ALAT-ALAT YANG DIBERIKAN MELALUI SURAT PENGECUALIAN PERBENDAHARAAN
SYARAT PENGECUALIAN DUTI/CUKAI KE ATAS MESIN/ALAT-ALAT YANG DIBERIKAN MELALUI SURAT PENGECUALIAN PERBENDAHARAAN
SYARAT-SYARAT PENGECUALIAN DUTI IMPORT DAN CUKAI JUALAN KE ATAS
MESIN/ALAT-ALAT YANG DIBERI MELALUI SURAT PENGECUALIAN
PERBENDAHARAAN
1. Tuntutan pulang balik ke atas duti import dan cukai jualan yang telah dibayar bagi pembelian mulai pada tarikh bermula pengecualian sehingga empat belas (14) hari selepas tarikh surat kelulusan boleh dibuat kepada stesen kastam (diimport). Syarikat diberi tempoh tiga (3) bulan dari tarikh surat kelulusan bagi mengemukakan tuntutan pulangan balik duti/cukai terlibat.
2. Syarikat tuan hendaklah menuntut pengecualian ini semasa mesin/alat berkenaan diimport/dilepaskan dari kawalan kastam dengan mengemukakan salinan asal surat pengecualian.
3. Semua invois dan bill of lading bagi pengimportan mesin/alat berkenaan hendaklah atas nama syarikat yang diluluskan pengecualian.
4. Tiap-tiap pengimportan itu hendaklah diikrarkan di dalam Borang Kastam No. 1 atau No. 9 dan diserahkan di stesen kastam di mana mesin/alat akan diimport. Pada tiap-tiap borang kastam tersebut hendaklah diikrarkan seperti berikut:
"Saya (Nama) Pegawai Syarikat (Nama Syarikat) kini berikrar dan memohon pengecualian duti/cukai kastam yang berkenaan barang-barang tersebut di atas di bawah kuatkuasa pengecualian yang diluluskan oleh Menteri Kewangan dalam surat Perbendaharaan bil. (sebutkan) bertarikh (sebutkan) yang mana berkuatkuasa sehingga (sebutkan)."
5. Bagi tujuan pelupusan mesin/peralatan yang telah diluluskan pengecualian duti/cukai termasuk pemindahan, penjualan, pengeksportan dan derma, hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia tertakluk kepada syarat seperti berikut:-
a. bagi mesin/alat yang belum mencapai usia 10 tahun dari tarikh pengecualian kelulusan:-
i. syarikat hendaklah menjelaskan segala duti/cukai terlebih dahulu berdasarkan diskripsi barangan dan kadar duti/cukai sebagaimana Perintah Duti Kastam dan Perintah Cukai Jualan semasa. Walau bagaimanapun, syarikat adalah dikecualikan dari membayar duti/cukai berkenaan sekiranya mesin/alat berkenaan dieksport semula; dan
ii. bagi mesin/alat berkenaan hendak dijual sebagai sisa/hampas (scraps), ia hendaklah menepati takrif hampas mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Cukai Jualan 2018. Syarikat hendaklah membayar duti/cukai berdasarkan kepada kadar duti/cukai di bawah kod tarif hampas berkenaan (jika ada).
b. bagi mesin/alat yang telah mencapai jangka hayat ekonomik iaitu 10 tahun atau lebih, syarikat adalah dikecualikan daripada duti/cukai terlibat di mana syarikat tidak perlu membayar balik duti/cukai yang dikecualikan sebelum ini.
6. Bagi mesin/ alat yang dilupuskan dengan kaedah pemusnahan, duti/cukai terlibat adalah diremitkan.
7. Mesin/alat tidak boleh dikeluarkan daripada premis lokasi yang telah diluluskan untuk tujuan kerja sub-kontrak kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Jabatan Kastam
8. Syarikat hendaklah menyimpan satu senarai (inventory) bagi mesin-mesin dan/atau alat-alat yang berkenaan. Senarai (inventory) tersebut hendaklah mengandungi butir-butir berikut’
a. Nama mesin
b. Make, Brand, Serial No. dan Model No.
c. Tarikh C.I.F. mesin/alat (matawang Malaysia)
d. Tarikh mesin/alat diimport dan no daftar Borang K1
e. Kuantiti mesin/alat
9. Syarikat hendaklah memberitahu Pegawai Kanan Kastam yang menjaga Stesen
Kastam di mana mesin/alat ditempatkan dalam tempoh 14 hari selepas berlakunya
salah satu perkara berikut:
a. Sesuatu ketetapan diluluskan untuk penggulungan syarikat;
b. Sesuatu perintah dibuat untuk penggulungan syarikat;
c. Perlantikan peliwidasi (liquidator) atau penerima (receiver) dibuat
d. Pegawai, pengarah syarikat/syarikat terlibat dalam apa-apa kes tuntutan civil, muflis, pemberhentian, penutupan perusahaan dan sebagainya.
10. Bagi peralatan yang diimport, ia hendaklah dibawa masuk menggunakan pelabuhan/lapangan terbang tempatan secara terus dari negara yang diimport atau jalan darat melalui pintu-pintu masuk kastam yang diwartakan.
11. Sebarang permohonan bagi melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan hendaklah dibuat sebelum tempoh pengecualian tamat. Permohonan yang dibuat selepas tamat tempoh dianggap sebagai permohonan baru.
12. Pengecualian ini boleh dimansuhkan oleh Menteri Kewangan pada bila-bila masa sahaja tanpa memberi apa-apa sebab.
13. Jika duti kastam dikenakan semula mengikut seksyen 15 Akta Kastam 1967 dan seksyen 35(5) Akta Cukai Jualan 2018 akibat tidak mematuhi syarat-syarat pengecualian ini, nilaian dan kadar duti/cukai semasa import akan dikenakan seolah-olah tiada pengecualian diberi.
14. Kelulusan ini juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan lain