PANDUAN MENGIMPORT - BUTIRAN 112, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
PANDUAN MENGIMPORT - BUTIRAN 112, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
GARIS PANDUAN PERMOHONAN PENGECUALIAN DUTI IMPORT KE ATAS MESIN DAN PERALATAN DI BAWAH BUTIRAN 112, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
1. TUJUAN
Garis panduan ini dikeluarkan bertujuan memberi penjelasan berhubung dengan kriteria dan prosedur permohonan pengecualian duti import ke atas mesin dan peralatan di bawah butiran 112, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
2. LATAR BELAKANG
Y.B. Menteri Kewangan melalui peruntukan perundangan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kastam 1967 boleh membuat perintah bagi mengecualikan pembayaran duti import ke atas mesin dan peralatan yang digunakan secara langsung dalam pengilangan sebagaimana yang dinyatakan di bawah butiran 112, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017. Pengecualian duti import ini diberikan dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh pihak syarikat. Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Perintah ini.
3. SYARAT-SYARAT PENGECUALIAN
Pengecualian duti import diberi ke atas pengimportan atau pembelian mesin atau peralatan yang digunakan untuk pengilangan keluaran barang siap tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
3.1 Pengilang yang beroperasi di Kawasan Utama Kastam dan mempunyai Surat Pengesahan MIDA yang sah.
3.2 Barang yang dikecualikan duti adalah mesin atau peralatan. Pengecualian ini tidak layak bagi alat ganti dan bahan guna habis termasuk yang digunakan untuk tujuan penyelenggaraan.
3.3 Mesin atau peralatan adalah tergolong dalam kategori yang diluluskan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
3.4 Mesin atau peralatan adalah diimport atau dibeli dari Gudang Berlesen, Gudang Pengilangan Berlesen atau Zon Bebas.
3.5 Mesin atau peralatan adalah baharu dan belum digunakan dan hendaklah digunakan secara langsung dalam pengilangan barang siap di premis yang diluluskan.
3.6 Mesin atau peralatan itu diletakkan pada setiap masa di premis pengilang yang diluluskan.Mesin atau peralatan itu tidak dijual, dipindahkan, dieksport atau dikeluarkan dari premis pengilang yang diluluskan tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kastam.
3.7 Pengilang hendaklah menyimpan rekod atau akaun yang berkaitan dengan barang yang diimport atau dibeli seperti mana yang diarahkan oleh pegawai kastam.
3.8 Pengilang hendaklah membayar semua duti ke atas apa-apa mesin atau peralatan yang tidak boleh diakaunkan.
3.9 Bagi tujuan pelupusan, pemindahan, penjualan, eksport dan derma barang yang telah diberikan pengecualian duti, pengilang mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kastam tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
a) Bagi mesin atau peralatan yang berusia kurang dari 10 tahun dari tarikh import atau pembelian:
i. Pengilang hendaklah membayar semua duti berdasarkan keterangan barang dan kadar duti seperti di dalam Perintah Duti Kastam. Walau bagaimanapun, pengilang adalah dikecualikan daripada membayar duti jika mesin atau peralatan tersebut dieksport;
ii. Bagi mesin atau peralatan yang hendak dijual sebagai skrap seperti yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam, pengilang hendaklah membayar semua duti berdasarkan kadar duti di bawah kod tarif skrap (jika ada);
b) Bagi mesin atau peralatan yang telah mencapai jangka hayat ekonomi 10 tahun atau lebih, pengilang tidak perlu membayar balik duti yang telah dikecualikan.
3.10 Jika terdapat persoalan timbul berkaitan samada mesin atau peralatan itu tidak termasuk dalam kelas barang yang diberi pengecualian, persoalan itu akan diputuskan oleh Ketua Pengarah Kastam.
3.11 Apa-apa syarat lain yang dikenakan oleh Ketua Pengarah Kastam.