PANDUAN MENGIMPORT - BUTIRAN 113, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
PANDUAN MENGIMPORT - BUTIRAN 113, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
GARIS PANDUAN PERMOHONAN PENGECUALIAN DUTI IMPORT KE ATAS MESIN DAN PERALATAN DI BAWAH BUTIRAN 113, PERINTAH DUTI KASTAM (PENGECUALIAN) 2017 .
1. TUJUAN
Garis panduan ini dikeluarkan bertujuan memberi penjelasan berhubung dengan kriteria dan prosedur permohonan pengecualian duti import ke atas mesin dan peralatan di bawah butiran 113, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
2. LATAR BELAKANG
Y.B. Menteri Kewangan melalui peruntukan perundangan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kastam 1967 boleh membuat perintah bagi mengecualikan pembayaran duti import ke atas mesin dan peralatan yang digunakan secara langsung dalam perniagaan hotel sebagaimana yang dinyatakan di bawah butiran 113, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017. Pengecualian duti import ini diberikan dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh pihak syarikat. Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Perintah ini.
3. SYARAT-SYARAT PENGECUALIAN
Pengecualian duti import diberi ke atas pengimportan atau pembelian mesin atau peralatan untuk kegunaan di dalam perniagaan hotel tertakluk kepada syaratsyarat berikut:
3.1 Pengusaha hotel yang beroperasi di Kawasan Utama Kastam dan mempunyai Surat Pengesahan MIDA yang sah;
3.2 Barang yang dikecualikan duti adalah mesin atau peralatan. Pengecualian ini tidak layak bagi alat ganti dan bahan guna habis termasuk yang digunakan untuk tujuan penyelenggaraan;
3.3 Mesin atau peralatan adalah tergolong dalam kategori yang diluluskan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
3.4 Mesin atau peralatan adalah diimport atau dibeli dari Gudang Berlesen, Gudang Pengilangan Berlesen atau Zon Bebas.
3.5 Mesin atau peralatan adalah baharu dan belum digunakan dan hendaklah digunakan secara langsung dalam perniagaan hotel di premis hotel yang diluluskan pada setiap masa.
3.6 Mesin atau peralatan itu tidak dijual, dipindahkan, dieksport atau dikeluarkan dari premis hotel yang diluluskan tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kastam;
3.7 Pengusaha hotel hendaklah menyimpan rekod atau akaun yang berkaitan dengan mesin atau peralatan yang diimport atau dibeli sebagaimana yang diarahkan oleh pegawai kastam;
3.8 Pengusaha hotel hendaklah membayar semua duti ke atas mesin atau peralatan yang tidak boleh diakaunkan;
3.9 Bagi tujuan pelupusan, pemindahan, penjualan, eksport dan derma mesin atau peralatan yang telah diberikan pengecualian duti, pengusaha hotel mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kastam tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
a) Bagi mesin atau peralatan yang berusia kurang dari 10 tahun dari tarikh import atau pembelian:
i. Pengusaha hotel hendaklah membayar semua duti berdasarkan keterangan barang dan kadar duti seperti di dalam Perintah Duti Kastam. Walau bagaimanapun, pengusaha hotel adalah dikecualikan daripada membayar duti jika mesin atau peralatan tersebut dieksport; dan ii. Bagi barang yang hendak dijual sebagai skrap seperti yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam, pengusaha hotel hendaklah membayar semua duti berdasarkan kadar duti di bawah kod tarif skrap (jika ada);
b) Bagi mesin atau peralatan yang telah mencapai jangka hayat ekonomi 10 tahun atau lebih, pengusaha hotel tidak perlu membayar balik duti yang telah dikecualikan;
3.10 Jika terdapat persoalan timbul berkaitan samada mesin atau peralatan itu tidak termasuk dalam kelas barang yang diberi pengecualian, persoalan itu akan diputuskan oleh Ketua Pengarah Kastam; dan
3.11 Apa-apa syarat lain yang dikenakan oleh Ketua Pengarah Kastam
4. PROSEDUR PERMOHONAN
4.1 Syarikat dikehendaki mengisi maklumat mesin / peralatan yang ingin diimport / dibeli di dalam Borang Appendix II (SPM2/2022).
4.2 Syarikat boleh merujuk senarai mesin dan peralatan yang layak mendapat pengecualian duti import seperti di Lampiran B.
4.3 Syarikat hendaklah mendapatkan surat kebenaran menuntut pengecualian duti import daripada JKDM sebelum pengimportan / pembelian dilakukan. Permohonan syarikat hendaklah dihantar ke Cawangan Perindustrian, Bahagian Perkastaman zon / negeri yang berhampiran dengan alamat premis hotel dengan mengemukakan dokumen seperti berikut : i. Surat pengesahan MIDA; ii. Borang Appendix I (SPM2/2022) yang lengkap diisi; dan iii. Dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan.
4.4 Surat kebenaran daripada JKDM akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh dokumen lengkap dikemukakan.
4.5 Sebarang pertukaran stesen kastam yang diluluskan atau perubahan kuantiti, pihak syarikat hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada pegawai kanan kastam di stesen kastam yang meluluskan surat kebenaran JKDM terdahulu.