Lagi ... Kisah Raja Yaman (5)

Maka adalah perjalanan itu pada malam jua. Hingga siang, berhenti-henti. Kadar beberapa hari lamanya ia berjalan itu, maka pada suatu malam Saudagar itu pun terdahulu berjalan daripada kafilah yang banyak-banyak itu. Maka fikirlah ia, “Bahawa aku seorangku jua terdahulu berjalan daripada kafilah, baik kita nanti mereka itu di sini.” Maka duduklah ia tersilih sedikit daripada jalan raya. Dinanti-nantinya kafilah lambat jua datang. Maka matanya pun mengantuklah daripada kerana Saudagar itu makan makjun. Maka tertidurlah ia seketika, sementara menanti kafilah datang. Maka diikatnya tali baghal kepada lengannya. Maka ia pun tidurlah. Maka kafilah pun lalulah berjalan. Apabila baghal Saudagar itu melihat kafilah sudah berjalan, maka ia pun merentap dirinya, putus talinya. Maka diikutnyalah kafilah itu. Maka zuadah yang di atas baghal itu pun habis berhamburan sepanjang jalan.

Shahdan, hari pun sianglah. Maka Saudagar itu pun terkejut daripada tidurnya. Maka hairanlah ia akan dirinya. Baghal pun tiada dilihatnya. Dan isterinya pun dibawa baghalnyalah. Maka fikirlah ia dalam hatinya, katanya, “Hai badan, sekali ini dibunuh Badwilah akan daku.” Maka dalam antara itu, ada seorang Badwi berjalan dari belakang, menantikan orang bercerai daripada kafilah. Maka didapatnyalah segala zuadah Saudagar yang tanggal sepanjang jalan itu. Maka roti makjun pun didapatnyalah. Maka Badwi itu pun bertemulah dengan Saudagar itu. Maka katanya, “Hai Orang Benua, apa kerjamu?” Maka sahut Saudagar, “Aku hendak pergi ke Baitul Makdis. Pada malam ini terdahululah aku daripada orang banyak maka tidurlah aku seketika menantikan mereka itu. Tidur aku pun terlalu ghaliblah tiada khbarkan diri. Maka aku tiada khabarkan mereka itu berjalan. Maka baghal pun sudahlah mengikut segala kafilah itu dan segala zuadahku pun hanya semuanya di atasnya. Maka kata Badwi itu, “Hai orang benua, marilah engkau ke rumahku.”

Maka Saudagar itu pun pergilah dengan takutnya hingga sampailah ia ke rumah Badwi itu. Maka katanya, “Hai Orang Benua. Duduklah engkau di sini, jangan bercinta. Aku akan menghantar dikau kepada kafilah itu.” Maka diambilnyalah roti makjun itu serta katanya, “Hai Orang Benua, makanlah apa katamu roti yang aku dapat ini. Kepadaku tiada berguna. Namanya pun tiada kuketahui.” Demi dilihat Saudagar roti itu maka hatinya pun sukacitalah. Katanya, “Hambalah empunya dia. Bahawa kepala makanan hamba pun inilah. Jikalau tiada makjun ini berkata-kata pun tiada hamba dapat.” Maka diberi Badwilah makanan saudagar itu, seperti adat makanan dirinya. Maka dimakannyalah Saudagar itu. Maka kata Badwi akan isterinya, “Beri olehmu akan Orang Benua ini barang dipintanya. Dan beri olehmu akan dia air yang manis. Aku sekarang pun pergi mencari beras dan gandum akan dia kerana dia tidak lalu memakan makanan kita.” Maka Badwi itu pun pergilah ke benua mencari beras dan gandum. Maka dikerjakan isterinyalah seperti pesan suaminya. Kata yang empunya cetera ini, adalah isteri Badwi itu muda lagi elok parasnya. Maka sebagai ia melihat kepada Saudagar itu, seraya ia tertawa kerana mata Saudagar itu buta. Lagi pun tidak pernah ia melihat orang benua. Maka pada sangka Saudagar itu isteri Badwi itu ingin akan dia. Maka ia pun menghampirkan diri kepada isteri Badwi itu.

Maka katanya, “Hai Muda bahawasanya kupintai kepadamu barang yang ada pada antaramu.” Demi didengarnya isteri Badwi kata Saudagar demikian itu, maka iapun tersenyum seraya katanya, “Baiklah, tentang yang kau pinta itu ada yang empunya dia, nanti dahulu kutanyakan kepada empunya dia. Jika disuruhnya, nescaya kuberi akan dikau.”

Demi didengarnya Saudagar itu kata isteri Badwi itu demikian, maka ia pun menyesal dirinya daripada menawar isteri Badwi itu, serta ia fikir dalam hatinya, “Semena-mena aku menawar isteri Badwi itu dalam sekian ini ia berbuat baik padaku, isterinya pula kutawar dia. Jikalau dikatakan pula kutawar dia kepada suaminya seperti kataku ini nescaya dibunuhnya akan daku.” Setelah sudah ia fikir demikian itu maka ia pun ketakutanlah dan gementarlah sendi tulangnya sekali. Maka dilihatnya oleh isteri Badwi akan hal Saudagar demikian itu maka ia pun tertawa.

Tiada berapa ketika lamanya maka Badwi itu pun datanglah. Demi dilihat Saudagar itu Badwi datang makinlah ketakutannya dan pucatlah warna mukanya. Dan diceterakan oleh isterinya Badwilah kepada suaminya bahawa Saudagar itu menawari dia. Maka sahut suaminya, “Diamlah engkau, kerana ia orang benua demikianlah adatnya bersenda-senda, tiada dengan sesungguh hatinya. Pergilah permasak beras ini beri ia makannya.” Demi didengar saudagar kata Badwi itu demikian itu akan isterinya maka baharulah sukacita hatinya, serta berfikir dalam hatinya, “Hai badan yang tiada berbudi, sekian-sekian pula katamu akan isteri orang tiada jua dibalasnya dengan kejahatan, tiada jua egkau tahu akan dirimu.”

Hatta, maka makanan pun masaklah lalu makanlah Saudagar dengan Badwi itu. Tatkala sudah ia makan, maka diambilnyalah seekor unta yang pantas maka dihantarkannyalah Saudagar itu. Sekira-kira sehari perjalanan maka sampailah keduanya kepada kafilah. Maka kata Badwi, “Khemah tuan pergilah cari.” Maka sahut saudagar, “Itulah khemah hamba tetapi tuan hamba jangan pergi dahulu. Nanti hamba di sini.” Maka Saudagar pun pergilah ke khemahnya. Kalakian, maka Badwi itu pun fikir dalam hatinya, “Bahawa aku menghantar akan dia bukan kerana hendak upah. Niat aku kerana Allah jua.”

Demikian fikirnya, maka kembalilah ia. Maka Saudagar itu pun datanglah ia kepada tempat Badwi itu serta dengan sedihnya. Maka dilihatnya Badwi itu pun tiadalah. Maka ia pun menyesal serta katanya, “Wah! Dalam sekian-sekian ia berbuat kebajikan kepadaku suatu pun tiada aku membalas kebajikannya.” Hatta, maka Saudagar pun kembalilah kepada khemahnya lalu berjalanlah. Maka sampailah ia ke Baitil Maqdis. Dengan takdir Allah Taala, beberapa lamanya sangatlah banyak Badwi merampas segala kafilah. Maka tafahus[1] Hakim negeri itulah akan mereka itu pada segenap negeri dan pihak. Maka pada masa itu terlalu banyak Badwi tertawan oleh orang daripada lelaki dan perempuan. Habis dijual orang dalam negeri Baitul Maqdis itu. Maka pada suatu hari Saudagar itu pun bermain-main ke pekan pada tempat orang berjual sahaya itu. Maka dilihatnya isteri Badwi yang mengantar akan dia itu ada di sana. Maka katanya, “Hai empunya sahaya, berapa harga perempuan ini?” Maka, dihargakannyalah isteri Badwi itu dengan harga sesekian, lalu ditebus Saudagar akan dia dengan harga itu.

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/lagi-kisah-raja-yaman-6

Kafilah ..."adalah perjalanan itu pada malam jua ..."

1. Periksa dengan teliti.