Karisma Saiyidi Umar

Saiyidina Umar Dan Zubair Bin 'Awam


Sekali peristiwa, pada suatu hari, dibawa orang akan Amirul Mu’minin Umar ibn al-Khatab radiallahuanhu beberapa baju dari benua Yaman. Maka dibahagikan Baginda Umarlah segala baju itu akan segala manusia. Maka dilihat Baginda Umar dalam antara baju yang banyak itu ada sehelai baju yang kasar. Maka fikir Baginda Umar dalam hatinya, “Betapa aku bahagikan baju ini? Jika aku berikan akan seseorang nescaya tiada mahu diambilnya kerana sangat kasarnya.”

Maka baju itu pun dilipatkanlah ke bawah kedudukannya, sehingga dikeluarkannya sedikit tepinya. Maka segala baju yang lain itu dihantarkannya Baginda Umarlah akan tiap-tiap orang.

Kalakian, maka Zubair ibn ‘Awam[1] radiallahuanhu pun datang. Maka terlihat Zubair akan baju itu yang di bawah kedudukan Baginda Umar. Maka bertanya Zubair akan Baginda Umar, “Ya Khalifah, apa yang di bawah kedudukan Tuan Hamba itu?”

Maka sahut Baginda Umar, “ Hai Zubair, Tuan tinggalkanlah sehelai baju ini.”

Maka sahut Zubair, “Tuan beri juga hamba lihat betapa rupanya.”

Maka sahut Baginda Umar, “Tuan tinggalkanlah baju sehelai ini.”

Maka kata Zubair, “Tuan beri jua akan hamba baju ini.”

Maka sahut Baginda Umar, “Ya Zubair, bahawasanya Tuan Hamba tiada redza mengambil baju ini.”

Maka sahut Zubair, “Tuan beri jua. Redzalah hamba mengambil dia.”

Maka sahut Baginda Umar, “Jika demikian, teguhkanlah janji Tuan Hamba pada menerima baju ini, kerana di dalamnya aib. Janganlah Tuan Hamba pulangkan kepada hamba.”

Maka kata Zubair, “Baiklah.”

Maka baju itu pun dilontarkan Baginda Umar akan Zubair. Maka tatkala dilihat baju itu amat kasar, maka katanya, “Ya Khalifah, tiadalah mahu hamba menerima baju ini.”

Maka sahut Baginda Umar, “Ya Zubair, bahawa hamba telah selesailah daripada baju ini.”

Maka tiadalah mahu Baginda Umar mengambil dia lagi.

Saiyidina Ali Menyelamatkan Wanita Yang Dianiayai


Kata اسماك انق حرب , ia mendengar daripada Hasan anak Mu’ammar, katanya:

Pada suatu hari, datang dua orang lelaki kepada seorang perempuan daripada kaum Quraish. Maka dipertaruhkan oleh keduanya kepada perempuan itu seratus dinar, serta kata keduanya kepada perempuan itu, “Jangan Tuan berikan dinar ini akan salah seorang daripada kami melainkan jika ada hadir keduanya kami maka Tuan berilah.”

Setelah itu maka pergilah keduanya hingga setahun lamanya. Maka datang seorang daripada keduanya, serta katanya, “Bahawa taulan hamba telah matilah. Tuan berilah dinar seratus itu akan hamba.”

Maka tiada mahu perempuan itu memberi dinar itu akan dia, serta katanya, “Tiadakah kata Tuan Hamba kedua jangan beri kepada salah seorang daripada kedua kamu. Maka sekarang tiada mahu hamba berikan akan Tuan Hamba.”

Maka dipintai lelaki itu jua, serta dibunyinya [2] dengan segala isi rumahnya dan orang yang sekampung dengan dia akan meminta dinar itu. Maka mereka itu pun serta meminta dia dengan terlalu amatnya. Maka perempuan itu pun malulah ia lalu diberikannyalah dinar itu.

Hatta, antara setahun lamanya, datanglah lelaki yang dikatakan taulannya mati itu, serta katanya, “Tuan berilah dinar seratus yang hamba pertaruhkan kepada Tuan Hamba itu.”

Maka sahut perempuan itu, “Bahawa taulan Tuan Hamba datang ia kepada hamba meminta dinar itu, katanya Tuan Hamba telah matilah sudah. Maka sudah hamba berikan dinar itu akan dia.”

Maka berbantahlah ia dengan perempuan itu, lalu ia pergi keduanya kepada Baginda Umar, mengadukan halnya. Maka hendak diputuskan Baginda Umar hukum antaranya keduanya. Maka kata lelaki, “Demi Allah, jangan Tuan Hamba putuskan hukum antara kedua kami ini, melainkan Tuan serahkan kedua kami ini kepada Baginda Ali.”

Maka disuruh akan Baginda Umar keduanya kepada Baginda Ali. Maka pergilah keduanya kepada Baginda Ali mengadukan halnya kepada Baginda Ali.

Maka diketahui Baginda Alilah perempuan itu teraniaya. Maka sabda Baginda Ali radiallahuanhu, “Tiadakah engkau kata akan perempuan ini jangan kau beri akan dinar ini kepada salah seorang daripada keduanya kamu ini?”

Maka sembahnya, “Bahkan.”

Maka sabda Baginda Ali akan lelaki itu bahawasanya hartamu ini adalah padaku. Pergilah engkau bawa taulanmu kepadaku supaya kukembalikan dinar itu kepada kedua kamu.”[3]

Teruskan lagi pelayaran.

https://sites.google.com/site/0361544/lelaki-dari-khurasan

1. Zubair bin Awwam (594-656), sahabat Rasullullah saw dan panglima tentera Rashidun; anak saudara kepada Siti Khadijah r.a.

2. Kurang pasti apakah perkataannya.

3. Anekdot ini tamat di sini dengan tiba-tiba, terasa seolah-olah baki kisahnya telah tertinggal.