Akibat Menukas Palsu (1)

Maka sembah Fadzil, “Ya Tuanku Syah Alam. Tahani Ali Jauhari ini barang tiga hari, jangan ia kembali ke rumahnya.”

Maka Ali Jauhari pun kabullah akan kata itu.

Maka disuruh Sultan Ma’amun Al-Rasyid seorang sahayanya ke rumah Ali Jauhari memberi tahu isteri Ali Jauhari itu adalah ia dalam jamuan Sultan Ma’amun Al-Rasyid tiga hari. Janganlah bercinta akan dia. Maka Fadzil pun bermohon kembali ke rumahnya dengan percintaannya, lalu berfikirlah ia akan perkataannya yang dijanjikannya di hadapan Sultan Ma’amun Al-Rasyid.

Kata yang empunya cetera ini, ada seorang sahayanya perempuan tua. Maka dipanggilnya akan dia hampir ke sisinya. Demi dilihat perempuan tua itu akan Fadzil duduk dalam percintaan, maka katanya, “Apa percintaan Tuan Hamba, terlalu amat masyghul hamba lihat?”

Maka, diceterakannyalah segala hal ehwalnya kepada perempun tua itu, serta katanya. “Hendaklah ambil akan daku daripada isteri Ali Jauhari itu akan suatu tanda yang memberi kenyataan dengan daku. Jika tiada engkau tolong akan daku, nescaya datanglah kebinasaanku.”

Maka kata perempuan tua itu, “Kerana kampung Ali Jauhari itu tujuh lapis pintunya. Pada suatu pintu tujuh orang sahayanya yang diharapnya mengawal-nya. Maka tiada dapat hamba lihat akan perbuatan yang demikian itu, tetapi pergi jua hamba dengan barang daya upaya hamba mudah-mudahan hasil kehendak Tuan Hamba itu.”

Maka pergilah ia, serta memakai baju jubah daripada suf[1] dan pada tangannya suatu tongkat dan suatu misbah[2] seperti kelakuan seorang ‘abid[3]. Maka berjalanlah ia ke kampung Ali Jauhari. Hingga sampailah ia ke pintunya lalu hendak masuk, tiada diberi orang penunggu pintu akan dia. Maka dipalunya akan orang penunggu pintu itu dengan tongkatnya. Maka kata perempua tua itu, “Akulah dayang-dayang Sultan Ma’amun Al-Rasyid, kerana aku disuruh Ali Jauhari kepada isterinya. Mengapa engkau larangkan aku masuk?”

Maka kata penunggu pintu itu akan dia, “Jika demikian nantilah hamba seketika, hamba hendak memberi tahu kepada Tuan hamba."

Hatta, maka ia pun pergilah kepada tuannya, serta katanya, “Bahawa ada seorang perempuan dayang-dayang Sultan Ma’amun Al-Rasyid datang hendak masuk. Tuan beri izinkah akan dia atau tiadakah?”

Maka pada sangka isteri Ali Jauhari, bahawasanya ia orang betul jua, maka diberinyalah izin akan dia. Maka perempuan tua itu pun masuklah serta menyelidik-lidik kampung Ali Jauhari itu serta menoleh ke kanan dan ke kiri hingga sampailah ia kepada isteri Ali Jauhari, serta ia memberi salam kepadanya. Maka dipermulianya akan perempuan tua itu dan didudukkannya hampir dengan dia dan diperjamu akan dia daripada makan-makanan dan minum-minuman.

Setelah itu, maka perempuan tua itupun berkata, “Maha suci Tuhan yang menjadikan Tuan Hamba. Demi Allah bahawa suami Tuan Hamba Ali Jauhari sangat-sangatlah ia kasih akan Tuan Hamba. Dan hamba datang ini hendak bermain-main dalam kampung Tuan dan dalam hamam Tuan dan kebun Tuan.”

Maka disuruh isteri Ali Jauhari bukai pintu hamam dan kebun. Maka dijabatnyalah tangan perempuan tua itu lalu masuklah ia ke dalam kebun. Dan adalah sebagai matanya terlihat-lihat pada kampungnya dan rumahnya. Dan diambil ingatnyalah beberapa tanda. Setelah sudah itu, maka masuk hamamlah keduanya, lalu mandi. Maka dilihat prempuan itulah suatu tahi lalat hitam pada dadanya isteri Ali Jauhari dan di atasnya tiga helai bulu roma. Setelah sudah maka keluar ia dari hamam.

Dan adalah adat isteri Ali Jauhari itu, apabila ia sudah mandi, maka pakaiannya yang dahulu itu tiadalah dipakainya lagi. Maka diberinya akan seorang sahayanya yang perempuan. Pada ketika itu, segala pakaiannya yang dipakai itu sekeliannya diberikannya kepada perempun tua itu. Dan adalah harganya segala pakaian itu seribu dinar. Maka perempun tua itu pun dibawa isteri Ali Jauhari pulang ke rumahnya. Maka dihadirkan segala makan-makanan yang baik-baik dan minuman. Maka makanlah ia dengan perempuan tua itu. Setelah sudah makan minum, maka perempuan tua itu pun minta izinlah keluar.

Maka berjalanlah ia hingga sampai ke rumah Fadzil, serta ditunjukkannyalah pakaian isteri Ali Jauhari itu kepada Fadzil, lalu masuk ke rumah Fadzil. Diceterakannyalah segala tanda kampung dan rumahnya dan kebunnya.

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/akibat-menukas-palsu-2

1. Bulu domba.

2. Pelita.

3. Orang yang berbakti kepada Tuhan.